Beberapa perubahan dapat dilihat menerusi penganjuran Anugerah Industri Muzik Malaysia 2009 (AIM 2009) yang juga anugerah kali ke-16 yang akan diadakan pada 2 Mei tahun depan. Perubahan yang ketara adalah menerusi penambahan bilangan kategori yang dipertandingkan iaitu daripada 22 kepada 27 kategori yang mana ia menyaksikan 7 kategori baru diperkenalkan. Kategori tersebut adalah Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Terbaik serta Lagu Tamil Terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa AIM, Freddie Fernadez, berkata, pertambahan kategori ini adalah untuk memberikan penghormatan terhadap bakat-bakat baru tempatan serta pengiktirafan kepada golongan artis, pemuzik, komposer serta penerbit yang terbabit secara langsung di dalam produksi rakaman album tanah air.
“Khususnya bagi mereka yang kini lebih cenderung berkarya dengan hanya mengeluarkan lagu atau single sahaja berikutan kemerosotan jualan album fizikal di pasaran sejak kebelakangan ini. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk terus menggalakkan mereka untuk menghasilkan lagu-lagu yang popular tetapi berkualiti serta digemari masyarakat”
Begitu pun kata Freddie, pertambahan ini turut menyaksikan 2 kategori yang sudah sedia ada dimansuhkan iaitu Artis Harapan serta Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bukan Bahasa Melayu) yang mula diperkenalkan tahun lalu.
“Kategori Artis Harapan dimansuhkan kerana ia tidak ada jauh bezanya dengan kategori Artis Baru Terbaik kerana kedua-duanya memberikan pengikrafan kepada bakat baru manakala kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bukan Bahasa Malaysia) pula dimansuhkan kerana ahli berpendapat muzik tidak seharusnya dibataskan dengan apa jua bahasa. Selaras dengan itu, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia) digantikan semula sebagai Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
KATEGORI VOKAL DINILAI MENERUSI LAGU
Menurut Freddie, beberapa anugerah kategori lain yang sudah sedia ada seperti Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Persembahan Vokal Wanita serta Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik pula kini tidak akan lagi dinilai menerusi sebuah album tetapi berdasarkan lagu.
“Perubahan lain termasuklah sistem penghakiman AIM yang sebelum ini dilakukan secara 2 peringkat yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu. Kalau sebelum ini, pemilihan peringkat pertama dilakukan menerusi pos (postal voting) yang telah mual dihentikan sejak AIM Ke-14 iaitu pada 2007, kini ia akan diganti dengan pemilihan menerusi Internet (online voting), ” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi RIM, Sandy Monteiro, pula berkata melihat kepada pertumbuhan serta perkembangan industri muzik tanah air yang kini lebih cenderung ke arah penjualan single atau album secara digital, Majlis Tertinggi RIM telah memutuskan untuk membuat rombakan tersebut secara secara berperingkat.
“Rombakan tersebut bukan saja dilihat sebagai sesuatu yang cukup wajar dilakukan tetapi sangat relevan dengan realiti perubahan yang sedang dilalui industri muzik tempatan pada masa sekarang. Apa yang penting sekali, semua pihak yang terbabit secara langsung di dalam industri ini akan dapat mengambil bahagian di dalam AIM. Ini adalah untuk kepentingan industri. Sebab itulah kita telah ambil keputusan untuk turunkan harga untuk setiap lagu yang dipertandingkan iaitu sebanyak RM50 bagi setiap lagu. Malah, kita juga turut memberi peluang kepada artis atau karyawan untuk menghantar album secara digital yang mana ia akan diikat menjadi satu album. Definisi sebuah album juga tidak lagi tertumpu kepada 10 lagu yang mempunyai durasi 40 minit atau 8 lagu (30 minit)sebagaimana yang pernah ditetapkan sebelum ini, sebaliknya, mereka yang mengeluarkan 5 lagu pun sudah dikira sebagai sebuah album,” katanya.