RTM MENUBUHKAN UNIT BENCANA BAGI MENYALURKAN LAPORAN TERKINI BERKAITAN KEJADIAN BENCANA DI SELURUH NEGARA.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menubuhkan Unit Bencana pada 6 November yang lalu. Objektif penubuhan unit khas ini adalah bagi menyalurkan laporan terkini berkaitan kejadian bencana menerusi siaran televisyen dan juga radio. Unit ini bertindak menyebar maklumat berkenaan cuaca, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, jerebu, ribut, paras air sungai, keadaan laut, air pasang dan bencana lain.
Selain itu, Unit Bencana RTM juga bertindak menyebarkan panduan keselamatan ringkas kepada masyarakat dalam menghadapi bencana dalam masa yang sama memupuk kesedaran di kalangan orang ramai perlunya mematuhi arahan pihak berkuasa ketika berhadapan dengan bencana.
Unit Bencana RTM yang diketuai oleh Encik Muhammad Yazid Mohd Naim berfungsi dalam membuat liputan dan laporan berita secara langsung atau ‘realtime’ dari seluruh negara supaya orang ramai mendapat maklumat yang sahih dan terkini. Unit Bencana RTM berpusat di Bilik Operasi, Rumah Eksekutif, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Bilik operasi ini dibuka selama 24 jam sehari manakala petugas ditempatkan secara bergilir setiap lapan jam. Nombor telefon Bilik Operasi, Unit Bencana RTM adalah 03-2282 7448.
Unit Bencana RTM juga menempatkan wakil di setiap stesen RTM di seluruh negara. Tugas wakil ini ialah bagi memantau dan menyelaras aktiviti liputan bencana selain memastikan stesen tempatan turut membantu dalam mengadakan liputan dan lintas langsung. Stesen radio tempatan juga akan menyebarkan maklumat terkini berkaitan kejadian bencana di tempat masing-masing dalam setiap warta atau program yang diterbitkan.
Bagi memastikan kelancaran dalam membuat liputan, Unit Bencana menjalinkan kerjasama yang erat dengan Jabatan Meteorologi, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Majlis Keselamatan Negara. Selain itu, unit ini juga mendapatkan kerjasama daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), RELA, NGO-NGO serta agensi di peringkat negeri juga daerah.
Sejumlah kakitangan RTM melibatkan 15 orang wartawan penyiaran, jurukamera, juruteknik dan Pengarah Studio akan digerakkan ke lokasi kejadian bencana bagi membuat liputan yang akan disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen dan radio.
Menurut Encik Muhammad Yazid Mohd Naim selaku Ketua Unit Bencana RTM sewaktu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada 6 Disember yang lalu, Unit Bencana RTM dengan dibantu unit-unit lain telah beroperasi di lokasi tanah runtuh selama 24 jam sehari sepanjang lima hari berturut-turut. Dalam tempoh tersebut RTM telah berjaya membuat lebih 100 lintas langsung ‘breaking news’. Kadar penonton atau ‘rating’ bagi setiap lintas langsung tersebut adalah antara 400,000 hingga hampir setuja orang penonton. Jumlah penonton ini adalah tidak termasuk kejadian tanah runtuh di Hulu Yam Perdana, Hulu Selangor pada 30 November 2008 dan juga kejadian tanah runtuh di Jalan Semantan, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2008.
Dalam masa yang sama Unit Bencana RTM juga telah menghantar wartawan ke beberapa lokasi di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk membuat liputan banjir dan mengadakan lintas langsung dari sana. Usaha ini dilakukan secara berterusan sehingga berakhir musim tengkujuh yang dijangka pada Mac 2009.
Bagi memastikan semua petugas memiliki kecekapan dan kemahiran dalam membuat liputan dan laporan yang tepat dan berkesan, Unit Bencana RTM mengambil inisiatif untuk mengadakan latihan khas kepada 40 orang petugas RTM dari seluruh negara dari 16 hingga 18 Disember ini bertempat di Angkasapuri, Kuala Lumpur.