in

SAH! Aaron Aziz Kini Penduduk Tetap Malaysia

Aaron Aziz Kini Sah Penduduk Tetap Malaysia. Akhirnya setelah bertungkus lumus buat permohonan dan mengotakan segala syarat, Artis Paling popular 2011 ABPBH Aaron Aziz kini secara rasminya telah menjadi penduduk tetap Malaysia. Tahniah Budiey ucapkan.

Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, selaku Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. Persoalan status penduduk tetap Aaron Aziz menjadi isu utama oleh pihak yang merasa tergugat.

“Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.” ujar Aaron.

“Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak,” jelas Aaron lagi.

Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak KDN untuk memberikan penjelasan.

“Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati syarat yang ditetapkan,” terang Aaron bersahaja.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.

Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian sejurus menjulang anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu itu menjadi kecoh setelah kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang ketika itu bercakap atas nama Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti itu dimenangi pelakon warga Singapura.

Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada KDN.

“Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen sulit pihak lain,” keluh Aaron Aziz pula.

Selamat maju jaya buat Aaron Aziz dan selamat memberikan sumbangan untuk industri hiburan Malaysia yang makin berkembang. Nantikan kemunculan Aaron Aziz dalam Filem KL Gangster 2 kelak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hairie Othman Sertai PAS

Showcase Reunion Semula Kumpulan Gersang