in

MUAZ KENDALIKAN PROGRAM KARYAWAN MUDA DI RTM1

Hadir dengan pakej wajah menarik untuk mengendalikan program di kaca televisyen serta suara yang mampu menambat hati pendengar, kehadiran Muaz, personaliti RTM yang semakin menyinar dalam bidang pengacaraan dan sebagai DJ Muzikfm sejak 7 bulan lalu itu ternyata semakin diterima masyarakat.

Cuba mengimbas kembali detik awalnya terlibat dalam bidang pengacaraan, pemilik nama sebenar Muazanazzudin bin Mohamed ini yang terdahulu mengendalikan program Lanskap terbitan Unit Pembangunan dan Pertanian, RTM selama dua musim berturut-turut menemui penonton setia RTM2. 

Kini langkahnya dalam bidang pengacaraan diteruskan setapak lagi dengan tampil mengacarakan program Karyawan Muda hasil usahasama antara Kementerian Penerangan Malaysia menerusi dua jabatan dibawahnya iaitu Filem Negara Malaysia (FNM) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). 

Program Karyawan Muda disiarkan di RTM1 setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 19 Julai lalu pada jam 5.30 petang. 

Program Karyawan Muda yang secara rasminya menggantikan Anugerah Filem Pendek pada 2006 ini telah berjaya menarik sebanyak 124 penyertaan iaitu 36 dalam kategori dokumentari, 48 dalam kategori Eksperimental, 17 Jenaka dan 23 Animasi. Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 30 tahun ke bawah yang tarikh penyertaannya telah ditutup pada 30 Oktober 2008 yang lalu. 

Muaz, 24, yang berkesempatan ditemubual di Filem Negara Malaysia baru-baru ini nyata gembira dengan peluang diberikan pihak penerbitan program ini kerana malah menurutnya kesempatan diberikan ini landasan terbaik buat dirinya menyalurkan bakat dalam bidang pengacaraan yang begitu diminatinya sejak di bangku sekolah lagi ini.

Segalanya bermula sejak 3 bulan lalu…

“Saya mula terlibat menyertai program Karyawan Muda sejak 3 bulan lalu setelah diberikan kepercayaan oleh penerbitnya, Hamiza Nazimuddin mengendalikan program setengah jam ini. Saya dipilih setelah penerbit melihat kemampuan saya sebelum ini mengendalikan program Lanskap ,” beritahu Muaz memulakan bicara.

”Program ini yang bertujuan untuk mengetengahkan bakat-bakat baru dalam industri perfileman yang boleh diasah bakat mereka selain memberi ruang kepada karyawan filem tempatan terutama karyawan baru untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka melalui penerbitan filem/video yang ditayangkan ini,” ujarnya.

Sokongan baik pihak penerbitan…

Dengan nada bersungguh, ketika diminta berkongsi pengalamannya mengacarakan program ini, Muaz menyatakan, “Sejujurnya saya gembira dan bersyukur dengan kerjasama diberikan pihak penerbitan yang sentiasa menyokong apa sahaja in put tambahan setiap kali bersiaran.”

“Malah pada masa sama situasi ini memberikan saya mood yang lebih santai dan tidak nampak kaku sewaktu mengacarakan program yang menyumbang dalam membangunkan intelektualisme perfileman bagi memajukan industri kandungan tempatan dan memperkukuhkan nilai-nilai dan identiti kebangsaan serta seni, budaya dan warisan peradaban bangsa melalui filem ini,” ujarnya yang sentiasa murah dengan senyuman.

Tambah pengetahuan…

Jejaka kelahiran Muar yang sememangnya memiliki latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dengan Kepujian (Penyiaran), UiTM Shah Alam ini memberitahu sebagai pengacara program ini adalah peluang terbaik untuk saya mengetahui latar belakang dan sejarah melibatkan program mengikut kategori jenaka, dokumentari, eksperimental dan animasi yang sebelum ini yang tidak diketahui secara lebih mendalam,” ujarnya lagi.

Pembahagian masa antara bidang pengacaraan dan DJ Radio…

Ditebak dengan soalan tidakkah jadual pengambaran Karyawan Muda yang baru selesai menjalani proses rakamannya di sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Cameron Highland sedikit sebanyak mengganggu tugasnya sebagai penyampai Radio Muzikfm, Muaz secara jujurnya menerangkan ia sememangnya awal-awal lagi dipastikan tidak bertentangan dengan jadualnya kerana pengambaran dilakukan waktu siang manakala dia bertugas di konti sebelah malam. Malah pada masa sama Muaz masih berkesempatan meluangkan masa melakukan hobinya termasuk melancong, muzik, futsal dan menonton wayang bersama teman-temannya.

Sebelum mengakhiri bicara petang itu, Muaz sempat berpesan kepada semua peminatnya supaya menonton Program Karyawan Muda disiarkan di RTM1 setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 19 Julai lalu pada jam 5.30 petang.

Muaz

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Khadijah Ibrahim: Pearl Anniversary Concerts at Dewan Filharmonik PETRONAS

PERTANDINGAN AKHIR BINTANG IRAMA MALAYSIA 2008