in

PENGACARA CHIKI BOOM TERBITAN RTM CERIA BERKONGSI CERITA CUTI SEKOLAH

Setiap kali menjelangnya penghujung tahun pastinya murid-murid sekolah individu paling gembira mahu memenuhi ruang cuti persekolahan mereka dengan pelbagai aktiviti menarik. Tidak kiralah sama ada aktiviti yang diaturkan oleh keluarga masing-masing atau pun menyertai program menarik yang dianjurkan pihak sekolah.

Hakikatnya situasi itu turut dikongsi sama pengacara rancangan popular kanak-kanak, Chiki Boom terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran menemui penonton setiap Sabtu, jam 10.05 pagi RTM1. 

Pastinya dalam kegembiraan meraikan cuti persekolahan ini, Chiki Boom yang menampilkan lima pengacara pelbagai bangsa menerusi watak Kak Chacha, Kisz, Isz, Harry dan Irene yang semakin dikenali ramai setelah memasuki musim ke tiga penampilannya kini teruja mahu berkongsi perancangan mereka sempena cuti sekolah mereka ketika ditemui sewaktu menjalani pengambaran program itu di Studio Pentas Bunyi, Filem Negara Malaysia itu.

Selama seminggu bermula 14 hingga 21 November 2008 lalu, meraka menjalani proses pengambaran Chiki Boom musim ke tiga yang masih mengekalkan penerbitnya, Farah Syahnaz Haji Ruslan dari Unit Hal Ehwal Awam RTM ini.

Aishah @ Kak Chacha
Jika anda pengikut setia program pastinya mengenali watak Kak Chacha yang cukup bersahaja penampilannya mengendalikan program Chiki Boom yang telah memasuki musim ke tiga siarannya ini. Hakikatnya Aishah Sarah Ismail yang lebih dikenali dengan Kak Chacha ini telah melibatkan diri dalam bidang pengacaraan dan lakonan sejak berusia 8 tahun lagi. Penuntut Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan St.John Kuala Lumpur ini merancang mahu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap bidang pelajaran kerana tahun hadapan dia bakal berdepan peperiksaan STPM. Justeru cuti persekolahan kali ini lebih banyak meluangkan masa mengulangkaji pelajaran di rumah. Namun paling mengujakan pelakon berusia 18 tahun ini pastinya perancangan diaturkan keluarganya mahu bercuti dengan mengunjungi destinasi menarik di Johor Bahru sebelum pulang ke kampung di Besut, Terengganu. Aishah yang sebelum ini pernah terlibat membintangi antaranya drama Gerak Khas, Pembantu Rumah dan Siapa Nak Potong Baju terbitan RTM.

Emira Qistina @ Kisz
Mengenali pemilik nama sebenar Emira Qistina Emirul Faizal yang lebih dikenali dengan watak Kisz dalam Chiki Boom ini sememangnya mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Jika teman-temannya yang lain seronok berkongsi perancangan pergi bercuti, sebaliknya menurut Qistina yang juga penuntut Tahun Lima Sekolah Rendah Taman Budi, Gombak ini jadualnya akan padat dengan pengisian menghadiri kelas tuisyen yang diaturkan keluarganya. Apatahlagi tahun hadapan Qistina bakal menghadapi peperiksaan UPSR dan ianya sebagai persediaan awal menentukan kejayaan pelakon yang bercita-cita tinggi mahu menjadi seorang doktor atau penyanyi ini. Selain itu, Qistina yang juga anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini mengambil kesempatan mengikuti kakak saudaranya, Diana Rashid yang terlibat menyertai persembahan fesyen selain membeli-belah bersama saudara terapatnya itu.

Ahmad Fadzli @ Isz
Usianya baru menjangkau 11 tahun, namun jika diajak berbual Ahmad Fadzli atau lebih dikenali menerusi watak Isz ini sememangnya matang daripada usia sebenar. Peminat setia pelakon tersohor Rosyam Nor ini turut mengangumi perantara Aznil Hj Nawawi dan penyanyi Mawi sebagai idolanya ini juga turut sama mahu berkongsi perancangan cuti sekolahnya mahu pulang ke kampung halamannya di Setiawan, Perak. Tetapi sebelum itu percutian kali ini cukup bermakna kerana Fadzli bakal melancong bersama keluarga ke Surabaya, Indonesia. Ditanya tentang hobinya pula, Fadzli gemar menonton wayang genre fantasi dan animasi dan bermain PS2 di rumah. Mensasarkan untuk memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang akan didudukinya tahun hadapan, awal-awal lagi dia sudah merancang untuk mengurangkan aktiviti seni termasuk bidang lpengacaraan yang diceburinya kini.

Aethan Eshmael Erwan Eshmael Pavlas @ Harry
Di kalangan pengacara rancangan Chiki Boom, Aethan yang paling muda namun gelagat pelajar berusia 9 tahun yang paling aktif dan spontan sepanjang sesi temubual dan fotografi berlangsung.
Anak kedua daripada tiga beradik ini gembira berkongsi cerita tentang hobinya iaitu suka meluangkan masa dengan berlakon dan menyanyi. Aktiviti lain yang dilakukan termasuklah menonton televisyen di rumah bersama adik-beradiknya yang lain. Di sebelah petang pula, Aethan gemar menghabiskan masa bermain tenis bersama temannya, Selvam. Selain itu Aethan sekeluarga turut merancang untuk bercuti ke Teluk Batik di Perak sebelum kembali memulakan sesi persekolahan dimana dia akan memasuki Tahun Empat di Sekolah .

Penny Ho Xin Ee @ Irene
Penny atau lebih mesra disapa Irene panggilan wataknya dalam Chiki Boom yang juga satu-satunya pengacara berbangsa Cina program kanak-kanak yang semakin bertambah jumlah pengikutnya ini. Penny, 12, yang sebelum ini seringkali muncul menerusi iklan antaranya Bank Rakyat dan Top sejak berusia 4 tahun lagi ceria mahu berkongsi perancangan cuti persekolahannya yang menarik kali ini untuk dikongsi sama dengan peminatnya. Awal-awal lagi Penny merancang mahu menyertai rombongan yang diaturkan pihak sekolahnya bercuti ke Singapura. Pastinya detik-detik mengujakan dalam diri pelakon cilik ini menghabiskan masa selama 4 hari mengunjungi pelbagai destinasi menarik di sana turut dikongsi teman-teman sekolahnya di Sekolah Taman Connaught, Kuala Lumpur. Malah Penny turut menambah, kesempatan masa terluang sepanjang cuti persekolahan ini mahu digunakan sepenuhnya untuk melakukan aktiviti kegemarannya menyanyi, menari, berenang, bermain komputer dan hulla hoop.
 
Penerbit Rancangan Chiki Boom…
Farah Syahnaz Hj Ruslan
Di sebalik program Chiki Boom yang telah memasuki musim ketiga siarannya, pastinya pemilik nama Farah Syahnaz Hj Ruslan adalah orang yang bertanggungjawab di sebalik tabir menjayakan rancangan ini. Dengan pengalamannya lima tahun menjadi penerbit rancangan di Unit Hal Ehwal Awam (HEA) RTM, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Seni Layar) UiTM ini menganggap pengalamannya bekerja dengan lima pengacara kanak-kanak dalam Chiki Boom ini perlukan kesabaran yang tinggi kerana sikap dan mood mereka yang sukar diduga.

Dengan nada bicara yang teruja apabila diminta berkongsi pendapatnya terhadap kelainan program Chiki Boom musim ke tiga yang baru selesai menjalani proses pengambarannya selama seminggu iaitu mulai 14 hingga 21 Disember 2008 lalu di Filem Negara Malaysia, Farah menegaskan, ”Antara kelainan ditonjolkan program ini tentunya menerusi segmen yang diketengahkan kerana menyelitkan pertukaran bahan dari Asia Broadcasting Union (ABU) di seluruh negara Asia dalam setiap episod siarannya.” Pastinya pendekatan ini dilihat mampu menarik tumpuan kanak-kanak berhibur dengan bahan yang lebih pelbagai selain berkongsi ilmu pengetahuan yang diselitkan dalam program menarik Chiki Boom terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran menemui penonton setiap Sabtu, jam 10.05 pagi RTM1. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Andrew Barton Life Can’t Wait

PR NANI LAKONAN YATT, INTAN AZURA, ROY AZMAN, ZAM-ZAM