CERITERA CINTA GERIMIS MENGUNDANG SAMBUTAN HANGAT DI KOTA KINABALU, SABAH DAN INDONESIA
Sebuah kisah cinta gabungan pelakon dari negara serumpun, iaitu KAMAL ADLI (MALAYSIA) juga OLIVIA LUBIS JENSEN (INDONESIA), telah seminggu di tayangkan di 4 buah Negara serentak dan di sambut baik terutamanya di Kota Kinabalu, Sabah dan Indonesia.
Promosi Gerimis Mengundang telah berjalan dengan lancar di sekitar Kota Kinabalu, Sabah sepanjang seminggu sebelum filem Gerimis Mengundang ditayangkan di Sabah. Promosi sesi bertemu artis ini telah diadakan di Megalong Mall Penampang, Centrepoint Mall, Servay Hypermarket di Likas, dan satu sesi makan petang ekslusif bersama artis juga telah diadakan di restoran Rafflesia Chicken Hut di Karamunsing Kompleks.
Selain itu, penyanyi dan pelakon Gerimis Mengundang di Sabah tidak ketinggalan untuk ke konti radio rasmi Gerimis Mengundang di Kota Kinabalu iaitu Era FM KK 102.4 dan dua penyanyi versi baru Gerimis Mengundang, Brenda Anura dan Budi Doremi turut dijemput ke Suria FM 105.9 FM dan KK FM. Serta diakhiri dengan sebuah mini teater muzikal Malam Gerimis Mengundang yang telah diadakan pada 18 Mei yang lalu di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah sebagai hari kemuncak promosi di Sabah.
Promosi ini telah berjaya mendapat sambutan hangat sepanjang sesi bertemu artis dan telah berjaya mendapat jualan tertinggi di panggung-panggung Kota Kinabalu pada 5 hari pertama yang sedang di tayangkan di GSC One Borneo, Megalong Penampang dan Growball Centrepoint. Memandangkan sambutan di Kota Kinabalu adalah baik, dua lagi panggung telah dibuka untuk ditayangkan di Sabah sehingga 13 Jun ini iaitu Star Cineplex Tawau dan Sandakan.
Selain itu, filem GERIMIS MENGUNDANG juga telah berjaya menembusi ketiga-tiga buah Negara jiran, terutamanya di Indonesia yang masih ditayangkan di pawagam dan di sambut baik oleh rakyat Indonesia. Promosi yang diadakan telah berjalan lancar dan jayanya sepanjang dua minggu dengan pelbagai jemputan acara temu bual yang popular di Indonesia iaitu Bukan Empat Mata (Trans7), 100% AMPUH (GLOBAL TV), Dahsyat (Rajawali Citra Televisi Indonesia RCTI) , Mantap di Bogor (ANTV), Intermezzo Show (MNCTV) dan beberapa radio nasional dan daerah di Indonesia iaitu Radio Republik Indonesia, Radio POP FM, MSTRI FM Jakarta, OZ Radio Jakarta, Bens Radio 106.2FM Betawi, SONORA 92.0 FM Jakarta, 8EH 104FM Bekasi, M2 88.0 FM Bekasi.
TAYANGAN PERDANA GERIMIS MENGUNDANG yang telah diadakan di Epicentrum, Cinemas XX1 Jakarta pada 31 Mei telah dihadiri 1,500 penonton dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Informasi Republik Indonesia, Bapak Tifatul Sembiring dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim serta delegasi Malaysia dari Pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pelakon-pelakon ternama Malaysia seperti Lisa Surihani, Farid Kamil, Diana Dianelle, Intan Ladyna, Zizan Nin dan Hasnul Rahmat.
Penerbit Eksekutif GERIMIS MENGUNDANG DATUK MD. AFENDI HJ HAMDAN, Pengarah Urusan ERAMA CREATIVE menjelaskan, “Filem Gerimis Mengundang telah memberikan peluang kepada filem Malaysia untuk menembusi pasaran Indonesia dan berharap menjadi fenomena buat filem-filem Malaysia yang lain pada masa terdekat ini agar hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia sebagai dua Negara rumpun terus terjalin erat dengan adanya seni sama ada filem, lagu mahupun drama cerekarama pada masa akan datang melalui Kolaborasi Perfileman Malaysia Indonesia (KOPI MALINDO) yang telah di sempurnakan pelancarannya oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim tempoh hari”.
Majlis pelancaran KOPI MALINDO ini telah dihadiri oleh produser-produser Malaysia dan Indonesia, iaitu Datuk Yusof Haslam (SKOP Productions), Encik Garuna Moorthi (Lotus Film), Encik Ahmad Idham (Excellent Pictures), Tn Hj Burhanuddin (Les Copaque Productions), Puan Gayatri Pillai (Astro Shaw), Encik Yusry Abdul Halim (KRU Studios), Encik Richard Ung (Sheunik Sdn Bhd) dan ketua-ketua persatuan produser Indonesia dari H Naldy N Haroen, HM Firman Bintang, Ketua Umum Persatuan Artis Sinetron Indonesia H Anwar Fuady, Produser Indonesia PT Surya Kirpa Resources K.P Nanik dan President Director Metro TV.
Promosi Gerimis Mengundang akan diteruskan lagi untuk menghargai orang ramai yang telah menonton Filem Gerimis Mengundang ini dengan memberi peluang kepada empat pemenang bertuah daripada Indonesia untuk bercuti ke Kota Kinabalu. Pemenang bertuah ini akan di umumkan di acara temu bual Ceriwis (Trans TV) oleh pengacara selebriti Indonesia terkenal Indra Bekti bersama Kamal Adli dan dua pemenang bertuah daripada Kuala Lumpur pada bulan Julai ini akan diumumkan di official website, facebook dan twitter Erama Creative. Kempen Promosi ‘A Sabah Adventure with Kamal Adli & Indra Bekti’ untuk ke Kota Kinabalu ini di sponsor oleh Lembaga Pelancongan Sabah sepenuhnya.