Hiburan Santai D’ Pantai Dekati Artis Di TVi
Berhibur dengan lagu-lagu popular di samping ketahui perkembangan terbaharu mereka menerusi sebuah program terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Santai d’ Pantai yang menemui penonton sejak 4 Mei lalu.
Menariknya program 13 episod yang menampilkan Nabil Raja Lawak sebagai pengacara ini disuntik dengan konsep berbeza kerana setiap episod artis undangan akan meluangkan masa dan bermalam di Resort Santai d’ Pantai. Selain daripada meluangkan masa berbual tentang perkembangan terkini berkaitan kerjaya, penonton dapat berhibur dengan lagu-lagu nyanyian mereka.
Artis popular yang diundang menghiburkan penonton setiap Jumaat, jam 9.00 malam menerusi stesen saluran remaja RTM, TVi (Saluran 180 Astro) adalah Mila, Aliff Satar, Lufya, Haziq, Amanda Imani, Kumpulan Tilu, Riz, Adam, Sani, Aisha Hasnaa, Kumpulan Cherita, Qalisha dan Nazira.
Saksikan episod menarik antaranya bersama Kumpulan Tilu yang dijemput oleh Nabil untuk bercuti di Resort Santai d’ Pantai. Kedatangan mereka disambut meriah seperti biasa oleh Nabil. Nabil berkenalan dengan setiap ahli kumpulan Tilu dan meminta mereka menyanyikan lagu pertama mereka yang bertajuk “Diam-Diam”. Kemudian Nabil bertanya semula kepada Tilu mengenai nama kumpulan mereka, kreativiti mereka dalam menghasilkan lagu serta inspirasi. Tilu dengan besar hati menyanyikan lagu kedua mereka yang bertajuk “Yang Ku Ingin Cinta”.
Nabil dan Tilu meneruskan perbualan mereka dan Tilu meneruskan nyanyian untuk lagu yang ketiga bertajuk “Jangan-Jangan Cuba”. Kemudian Nabil bertanya mengenai artis yang menjadi inspirasi dan idola kepada Tilu, banyak artis yang menjadi idola kepada Tilu tetapi mereka memilih lagu Sheila Majid yang bertajuk “Dia” untuk dinyanyikan istimewa buat Nabil.
Tilu menyanyikan lagu kelima yang bertajuk “Kau Selalu Ada”. Atas permintaan khas dari Nabil untuk mendengar lagu terakhir dari Tilu, mereka sudi menyanyikan lagu “Ku Bukan Aku”. Setelah puas bercuti di Resort Santai d’ pantai kumpulan Tilu mengambil keputusan untuk pulang dan Nabil menghantar mereka hingga ke jeti.
Menerusi episod lain pula, suasana meriah dan kecoh Resort Santai d’ Pantai apabila penyanyi Adam sampai dan terus menyanyikan lagu pertamanya yang bertajuk “Robot”. Kemudian barulah Nabil datang menyambut kedatangan Adam. Kemudian Adam menyanyikan lagu keduanya pula yang bertajuk “Jatuh”. Nabil mengajak Adam berborak sambil Adam menyanyikan lagu ketiga pula berjudul “Joget Lambak”.
Malam menjelma sambil duduk berborak di tepi laut Nabil dan Adam menikmati panorama waktu malam di Resort Santai d’ pantai. Adam menyanyikan lagu Inggeris yang digemarinya yang bersesuaian dengan konsep santai iaitu lagu yang dipopularkan oleh Westlife bertajuk “More Than Words”. Nabil menikmati nyanyian Adam sendirian, kemudian dia meminta Adam menyanyikan lagu terakhirnya iaitu “Kubertanya”.
Luangkan masa berhibur dengan program ini hanya di TVi.