in

Produksi Upin & Ipin Jawab Dikatakan Berbohong

Berikut petikan dari Mstar Online yang bertajuk ‘Produksi Upin & Ipin Berbohong’ – KP Istana Budaya

Pementasan Upin & Ipin gagal menandingi “Lat The Kampung Boy.”

PETALING JAYA: Pihak Istana Budaya (IB) terkejut dengan tuduhan tidak benar syarikat produksi Les’Copaque Production Sdn Bhd (LCPSB) kononnya agensi itu menolak permohonan bagi mementaskan semula teater Upin & Ipin The Musical.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, dia tidak pernah menerima permohonan secara rasmi daripada pengarah urusan syarikat berkenaan, Burhanuddin Md Radzi bagi menyambung semula pementasan tersebut.

“Apa yang dinyatakan Burhanuddin kebanyakannya tidak benar. Beliau hanya bertanya kepada saya secara lisan hasratnya untuk melakukan pementasan semula teater itu pada musim cuti sekolah hujung tahun ini.

“Jadi, saya memintanya menyediakan kertas cadangan untuk dihantar kepada pihak pengurusan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

“Sama juga saya menjelaskan kepadanya bahawa dia tidak mungkin mendapat slot pada cuti sekolah ini kerana jadual di IB sudah penuh diisi dengan teater-teater lain,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Akhbar Utusan Malaysia pada Rabu melaporkan rasa tidak puas hati Burhanuddin mengenai tindakan IB yang enggan memenuhi permohonan syarikat produksi LCPSB bagi menyambung pementasan teater muzikal Upin & Ipin yang telah melalui 30 pementasan bermula pada 14 April hingga 6 Mei lalu.

Burhanuddin turut dilaporkan tidak senang dengan bayaran sewa bagi mementaskan muzikal berkenaan iaitu RM15,000 (sehari) di Panggung Sari yang dianggap mahal tidak termasuk sewaan lain seperti Bilik Nilam bagi meraikan tetamu yang dikenakan kadar sebanyak RM8 bagi sebuah kerusi.

Menjelaskan perkara itu Mohamed Juhari berkata, kadar sewa di Bilik Nilam tidak perlu dibangkitkan kerana secara keseluruhannya, IB meletakkan harga sewa yang murah berbanding di tempat lain.

“Sebenarnya harga sewa RM15,000 yang diberikan bukan hanya tertumpu di Panggung Sari sahaja, sebaliknya ia termasuk pakej mendapat khidmat tenaga kerja teknikal selain diberi kebenaran menggunakan lobi untuk membuat sebarang promosi,” katanya.

Beliau menambah, walaupun teater muzikal itu dikatakan mendapat sambutan hangat tetapi kutipannya tidak berjaya menandingi teater Lat The Kampung Boy yang berjaya meraih jumlah penonton tertinggi iaitu sebanyak 33,000 orang bagi 22 kali pementasan,” ujarnya.

Mohamad Juhari turut bertegas pihaknya tidak pernah bersikap birokrasi terhadap mana-mana produksi seperti yang dikatakan Burhanuddin.

“Selalunya menjadi amalan pementasan ulangan akan diadakan setahun atau dua tahun selepas pementasan pertama sekiranya ia mendapat kutipan pecah panggung dan sepatutnya LCPSB harus mengikut garis panduan tersebut,” kata beliau.

Produksi Upin & Ipin Jawab 

Pada hari ini juga produksi Upin Ipin telah mengeluarkan kenyataan tentang isu ini yang dihantar oleh Hj. Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.

Kami ingin membuat kenyataan akhbar mengenai pementasan semula Teater Musikal Upin dan Ipin seperti yang dilaporkan olih Utusan Malaysia pada 8hb Mei 2012 dan Berita Harian serta MStar pada 9hb Mei 2012.

1. Permohonan untuk mementaskan semula Teater Musikal Upin dan Ipin

Sememangnya kami belum pernah membuat sebarang permohonan bertulis kepihak IB untuk mementaskan Teater tersebut pada musim cuti sekolah hujung tahun ini. Sebaik sahaja kami mendapat permintaan dari penaja untuk mementaskan teater ini pada musim cuti sekolah dan selepas meneliti program pementasan IB yang mana kami mendapati Teater Musikal P.Ramlee telah mengundur diri disebabkan tiada penaja, kami telah mengajukan permohonan lisan tersebut kepada Dato Mohammad Johari sendiri.

Malangnya ia ditolak dengan alasan bahawa belum ada pementasan yang diulang dalam tahun yang sama dan pementasan semula hanya dibenarkan selepas tempoh setahun pementasan yang sama. Beliau juga mencabar kami supaya membawa perkara ini kepada akhbar mau pun kepada Menteri, kerana kami telah merayu untuk mengisi slot yang dikosongkan bagi memberi peluang kepada ramai lagi kanak-kanak menyaksikan teater tersebut. Walau bagaimana pun, kami akan mengajukan permohonan rasmi untuk pementasan itu selewat-lewatnya esok dan akan tetap merayu kepada Menteri yang berkenaan sekiranya di tolak olih pihak IB.

2. Pementasan Semula

Kenyataan pihak IB yang belum pernah mengadakan pementasan semula jika belum cukup setahun adalah pembohongan atau pun pihak IB tidak mempunyai rekord yang betul. Teater Puteri Gunong Ledang telah di persembahkan pada 10-24 Feb 2006 dan diulang kembali pada 6-21 Aug 2006.

3. Pecah Panggung

Sememangnya kami sudah menjangkakan bahwa Teater kami tidak dapat menandingi Teater Lat the Kampong Boy untuk jumlah penonton kerana ia diadakan bukan dalam cuti sekolah. Tetapi kami menerima tarikh yang ditetapkan olih IB kerana kami telah mendapat penaja dan menjangkakan kami tidak akan mengalami kerugian. Jumlah penonton mengikut perkiraan IB adala bergantung kepada teket “bud” yang mereka kutip sewaktu penonton masuk kedalam panggung. Kami dapati, banyak kerusi yang kami jual secara pukal kepada badan-badan korporat pada hari kerja telah tidak disi. Ini kami paham, kerana kemungkinan ibu bapa yang mendapat teket dari majikan tidak berpeluang untuk pergi atas desakan kerja atau pun anak pulang lewat dari sekolah petang.

Ini berbeza dengan teater yang lain kerana penonton mereka bukan anak-anak dan tiada halangan untuk menonton pada hari kerja. Jika diperhatikan, pada hujung minggu, sememangnya teater ini mendapat sambutan yang luar biasa sehingga teket habis terjual.

Mengikut perkiraan kami, tidak mungkin 33,000 orang penonton dapat mengisi IB untuk 21 persembahan ( Sebelum ini IB melaporkan sehingga 40,000 orang penonton dan merupakan teater paling berjaya) Teater Lat the Kampong Boy. Ini disebabkan mengikut portal rasmi IB, Panggung Sari hanya mempunyai tempat duduk sebanyak 1,413 kerusi sahaja.

4. Tujuan dan matlamat pementasan

Kami tidak pernah bertujuan untuk mengadakan pementasan ini untuk mencipta rekod dan bersaing dengan Teater sebelumnya. Jika ia menjadi pecah panggung, alhamdullilah. Tujuan kami hanyalah untuk peminat Upin dan Ipin, yang semestinya kanak-kanak didedahkan dengan persembahan teater yang semakin pupus kerana kos pembuatannya terlalu mahal. Seperti yang saya nyatakan diatas, apabila ia diadakan bukan waktu cuti sekolah dan penonton yang kami sasarkan adalah anak-anak, sudah tentulah ia menjejaskan bilangan penonton.

Apa pun, kami berbangga kerana, begitu ramai sekali (hampir 60%) penonton yang pertama kali menjejakkkan kaki ke IB dan mendedahkan pentujukkan teater kepada anak-anak serendah umur 2 tahun yang begitu khusuk sekali menyaksikan persembahan tersebut. Semoga mereka berminat untuk menghidupkan teater apabila mereka besar nanti.

Kami bercadang untuk menurunkan harga teket lebih rendah lagi jika kami diberi peluang mementaskannya dimusim cuti sekolah yang akan datang kerana kehadiran lebih banyak penaja. Ini akan dapat memeberi peluang kepada lebih ramai lagi penonton menyaksikan persembahan ini nanti.

Kami masih mengharapkan, agar semua pihak yang bertanggung jawab terhadap Istana Budaya dapat menimbangkan permohonan kami ini dan menyokong usaha kami membantu menyemarakkan industri teater negara.

Terima kasih.

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Anugerah RM3.16 Juta Biasiswa Untuk Pelajar Sarjana Muda

Win Limited Edition Touch ‘n Go Cards With #GalleryNote