BERSAMAMU MUSIM BARU
Bukan Sekadar Linangan Airmata
Program realiti amal bersamamu kini menjangkau musim yang ke-13. Sejak ke udara mulai Mei 2005, program ini menampilkan komitmen pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu dan memberi semangat kepada golongan kurang berkemampuan agar hidup lebih sempurna.
Kehadiran musim terbaru, menyuntik rasa kebersamaan dalam masyarakat dengan mengetengahkan konsep `gotong-rotong’. Pelbagai pihak dipelawa untuk turut serta membantu keluarga yang dipaparkan seperti agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat atau pelajar universiti dan sekolah.
Gandingan muafakat ditonjolkan menerusi aktiviti membersih, membaiki dan membina rumah serta memberi khidmat kaunseling, tuisyen, kemahiran dan pemeriksaan kesihatan.
Kegetiran hidup insan yang dikongsikan bersama penonton, bukanlah sekadar menerbitkan rasa simpati tetapi menuntut kefahaman daripada pelbagai pihak. Esak tangis yang menyebak hati bukan lagi untuk meratapi untung nasib tetapi mengiringi kecekalan diri untuk mengubahnya. Mereka bukan sahaja dibantu dari segi kewangan malah diberi kemahiran dan sokongan moral untuk memperbaiki kehidupan.
Sehingga kini sudah 6 episod disiarkan. Gotong-royong yang membabitkan penyertaan khususnya daripada penduduk kampung, memberi impak dalam membangkitkan semangat individu atau keluarga yang dibantu untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Jika dahulu ada di antara mereka yang menebal rasa rendah diri, kini mula mengorak langkah untuk membina hidup baru.
Hasil kerjasama yang dijalin bersama beberapa agensi kerajaan dan sokongan dana daripada dermawan budiman, tiga keluarga menerima rumah baru (1 kes di Melaka, Selangor dan Kedah) manakala empat lagi (2 kes di Perak dan masing-masing 1 kes di Kelantan dan Perak) mendapat bantuan memperbaiki rumah yang kesemuanya dijalankan secara bergotong-royong.
Penerbitan bersamamu musim baru diterajui penerbit, Kamaruza’ain A. Kadir dan Kalijahwati Md Kassim sebagai penerbit bersama. Mereka dibantu wartawan penyiaran Johari Abu Bakar.
Pemilihan individu atau keluarga yang layak untuk dibantu menerusi program bersamamu, dilakukan oleh sebuah unit komunikasi penerbitan yang diketuai oleh Pn. Ratnawati Jamil. Tugasan membuat tinjauan ke lokasi bagi mengenalpasti mereka yang layak, dilakukan sebulan lebih awal. Dalam tempoh berkenaan juga, pihak berkuasa tempatan, ketua kampung dan pelbagai organisasi dihubungi untuk memberi kerjasama dan terbabit dalam aktiviti gotong-royong.
Penggambaran dilakukan antara 3 hingga 4 hari yang merakamkan kegiatan mereka seharian, kepayahan yang dialami, usaha yang dilakukan bagi memperolehi sumber pendapatan dan gotong-royong.
Program Bersamamu musim ke-13 bersiaran setiap Rabu, jam 9.30 malam. Ia ditaja secara bersama oleh Syarikat Faiza Sdn. Bhd. dan Bank Muamalat.
Dengan hasrat menggunung untuk membantu insan yang memerlukan, bantuan yang diberikan menerusi program ini hanyalah sebagai pemangkin bagi mereka mempergiat usaha mengecapi kehidupan lebih sempurna. Ia sebagai pembuka jalan untuk memperbaiki sikap.
Mengambil berat sesama anggota masyarakat tanpa mengira batas warna kulit dan budaya, menyuntik rasa saling memerlukan dan sikap terbuka untuk hulurkan tangan, ringankan beban. Tiada apa yang lebih membanggakan selain melihat adanya perubahan memberangsangkan di kalangan individu atau keluarga yang diberi bantuan menerusi program bersamamu.