Konflik BUKAN UNTUKMU tiba ke penghujungnya
Hukum agama dipandang ringan oleh Iskandar demi mendapatkan kembali bekas isterinya, Nadia. Walaupun pelbagai rancangan yang diusahakan tidak berjaya, Iskandar masih tidak boleh menerima hakikat bahawa jodoh mereka telah pun berakhir. Mungkinkah Nadia akan menerima semula Iskandar sebagai suaminya? Semuanya akan tersingkap di dalam episod terakhir drama bersiri Bukan Untukmu pada hari Isnin, 30 April, jam 8.30 malam melalui slot Ratu eksklusif di TV9 (Saluran 119).
Drama bersiri Bukan Untukmu lakonan Ako Mustapha dan Memey Suhaiza yang mula bersiaran pada 12 Mac lalu kini tiba ke penghujungnya. Ia mengisahkan tentang kehidupan sepasang suami isteri yang hidup bahagia bersama dua orang cahaya mata berubah dengan sekelip mata apabila si suami, Iskandar, secara bergurau telah melafazkan cerai talak lima terhadap isterinya, Nadia. Menurut hukum agama, Nadia perlu berkahwin dan bercerai dengan lelaki lain dahulu, barulah mereka boleh bersama semula. Pelbagai rancangan dilakukan dan banyak calon dicari untuk dijadikan ’cina buta’ bagi mendapatkan Nadia, namun semuanya gagal belaka.
Lama-kelamaan, Nadia mula menerima hakikat bahawa jodohnya dengan Iskandar sudah berakhir. Nadia jatuh cinta dan berkahwin dengan Hafiz, namun Iskandar masih tidak berpuas hati dan terus berusaha untuk mendapatkan kembali bekas isterinya. Sama-sama kita saksikan kesudahan drama Bukan Untukmu pada 30 April ini.
Duka Seorang Wanita Dalam LARA HATI
Berakhirnya drama Bukan Untukmu, slot Ratu akan meneruskan sajian drama hebat dengan drama bersiri Lara Hati yang akan mula bersiaran pada 1 Mei 2012, setiap Isnin dan Selasa, 8.30 malam semestinya di TV9 (Saluran 119). Lara Hati tampil dengan gandingan mantap pelakon serba boleh Noorkhiriah dan Rusdi Ramli dalam sebuah cinta yang penuh konflik.
Drama bersiri 14 episod ini mengisahkan tentang Roseida (Noorkhiriah) yang menjadi kegilaan ramai lelaki sejak di bangku sekolah lagi tetapi fokusnya hanya untuk belajar dan mengubah nasib keluarganya. Keharmonian keluarganya mula terganggu apabila ibunya (Lydiawati) mengahwini Mat Isa. Roseida berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjalinkan hubungan dengan Hadeef lakonan Rusdi Ramli. Kehidupannya mula berubah apabila bapa tirinya meninggal dunia dan memberi kesan pada kedudukan kewangan keluarganya. Untuk menampung perbelanjaan Roseida di universiti, ibunya memaksa dia berkahwin dengan seorang pegawai pemasaran, Roslin (Faizal Hussein). Tidak lama selepas perkahwinan mengejut itu Roseida disahkan mengandung dan Roseida tidak lagi mahu meneruskan pengajiannya di universiti.
Sepuluh tahun kemudian, semasa Roseida ke hospital untuk melawat suaminya yang koma akibat ditimpa kemalangan, dia terserempak dengan cinta pertamanya Hadeef. Setelah Roslin pulih daripada koma, dia diceraikan. Tidak ingin terus dihimpit kesedihan, Roseida nekad untuk memulakan hidup baru. Roseida berbaik semula dengan Hadeef namun terpaksa memendam perasaan apabila mendapat tahu bahawa Hadeef adalah teman lelaki adiknya Roseliza (Sharifah Sakinah).
Haruskah Roseida mengalah demi kebahagiaan adiknya atau terus mengejar kebahagiaan yang telah lama diimpikannya?