Aaron Aziz Membintangi Filem 3D Animasi, Supertots Supersquad The Movie
Netcarbon Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 iaitu Aaron Aziz yang membintangi watak sebagai Laksamana Aaron dalam filem 3D Animasi, Supertots Supersquad The Movie.
Supertots Supersquad The Movie adalah filem yang berdasarkan siri animasi Supertots yang memenangi anugerah Animasi Terbaik di Anugerah NEF-AWANI daripada ASTRO pada tahun 2010 dan kini Supertots akan ditayangkan kembali dalam versi Bahasa Melayu di TV3 pada bulan Mei nanti.
Filem Supertots Supersquad The Movie adalah filem 3D animasi pertama di Malaysia yang menggunakan teknik “Hybrid Motion-Capture” yang telah juga digunakan dalam filem Avatar dan Adventures of Tin-Tin.
Filem ini mengisahkan pengembaraan lima adiwira yang terpaksa merentas masa untuk menentang makhluk asing dari menguasai bumi di zaman ini. Sebuah filem epic komedi aksi, Supertots Supersquad The Movie mengandungi babak peperangan di angkasa, pertempuran di sebuah kampung dan babak cemas apabila makhluk asing mendarat di Bandaraya Kuala Lumpur.
Artis-artis terkenal tanahair juga membintangi filem ini iaitu Dafi sebagai Kapten Danny, Diana Danielle sebagai Elly, Radhi Khalid sebagai Blinq, Marina Tan sebagai Alan, Elza Irdawati sebagai Sasha, Naa Murad sebagai Dragonlord, Maya Arisa sebagai Ratu dan Megat Shahrizal sebagai Zeeboz.
Supertots Supersquad The Movie dijangka akan ditayangkan di Malaysia pada hujung tahun 2013 disusuli dengan tayangan di peringkat antarabangsa di lebih 20 buah negara.