Terkini lagi sensasi! Sebaik sahaja sidang media Pra Tonton Filem Selamat Pagi Cinta tengahari tadi berakhir, semua wartawan telah ‘mengadap’ Pierre Andre untuk bertanyakan tentang kontroversi yang melanda dirinya termasuklah wartawan Bi Pop – Berita Harian, Zubir. Budiey kira ini adalah kali pertama pertemuan media bersama dengan Pierre setelah isu kontroversi meletop-letop tentang Pierre bercinta perempuan misteri bernama Maya.
Budiey pun mulanya hairan dengan kehadiran wartawan sensasi ini. Terdetik dalam hati, mesti ada sesuatu yang tidak kena dan akan berlaku. Budiey dapat rasakan sesuatu akan berlaku apatah lagi melihat dengan gaya dan reaksi yang agak mencurigakan dari air muka Zubir.
Dan segalanya terjawab apabila setelah selesainya interbiu bersama media, Zubir telah bangun lalu dan mengatakan dengan nada yang agak tinggi, “Dua wartawan dur***** yang dimaksudkan oleh Pierre Andre adalah saya dan Michelle.
Kemudian, Budiey terdengar Pierre bercakap sesuatu kepada wartawan dalam nada berbisik. Sementara Zubir pula menerjah berkali-kali menggesa supaya Pierre bercakap benar di hadapan media. “Jangan jadi hipokrit Pierre. Baik kau buat pengakuan di hadapan semua media!”
Ketika itu, Pierre telah bangun dan menyuruh pembantunya untuk merakam percakapan antara dia dan Zubir. Kemudian, Pierre Andre cakap dia tidak mahu berkata apa lagi selain… “Inilah yang saya maksudkan (wartawan yang tidak beretika).”
Ketika Pierre Andre ingin meninggalkan wartawan, beberapa pembantu Pierre telah menarik Pierre untuk keluar dari Restoran Lemon. Namun, wartawan ruangan gossip itu menghalang Pierre dari keluar sambil berkata, “Baik buat pengakuan sekarang, Pierre!”
Kemudian, Pierre Andre bersama dengan beberapa orang pembantunya meluru laju keluar dari restoran Lemon, The Mines tetapi diikuti dan terus dikejar oleh Zubir sepanjang 20 meter yang bertalu-talu inginkan kepastian dan pengakuan dari Pierre. Sekali lihat macam ada tragedi rompakan kedai mas pulak kat The Mines. Semua pengunjung kat situ nampak tertanya-tanya dengan aksi kejar mengejar. Ingat ke ada pengambaran filem. Kalau ada pengambaran pun, mesti tajuk dia akan tukar jadi…”Jangan Terjah!”
Sebenarnya tadi, Pierre Andre pun naik bengang sebab ekoran dari isu terjah di lokasi Jangan Tegur, Pierre tidak dapat melunaskan beberapa scenes dan shot untuk filem tersebut. Ekoran dari itu, hanya 90% sahaja yang diarahkan oleh Pierre dan selebihnya oleh orang lain yang dilantik sendiri oleh Metrowealth. Itu yang buat Pierre mahu membuat tindakan mahkamah terhadap wartawan yang datang mengganggu kerjanya pada pagi tersebut.
Budiey lihat pada ketika semua wartawan agak terdiam di tempat duduk dan masih panik. Cuma ada dua orang sahaja kameraman dan ada satu video kamera merakamkan peristiwa ini. Terdengar di telinga Budiey, ada wartawan cakap, Zubir terlalu desperate sangat untuk mengorek cerita dan tak patut bertindak sedemikian rupa. Sebab pada masa itu Pierre dah cakap, dia akan buat sidang media khas tentang isu tersebut.
Sebenarnya, Budiey pun panik dan tak dapat buat apa-apa. Cuma sempat merakamkan dua keping gambar sahaja dan merakam satu video peristiwa tersebut.
Ini ada dua gambar yang Budiey rakam… lepas tu panik… then terus kejung… melihat detik-detik yang begitu dramatik dan mendebarkan… mau kalah citer James Bond – Quantom of Solace… Huhu!
“Pierre, u sudah ganggu kerja-kerja wartawan!”
Nak tengok klip video? Haaa… ni dia…
Budiey suka sekali baca blog Saniboey dan dia pun ada komen pasal isu ini:
“Tahap kebodohan cerita tentang Pierre ini is one thing tapi tahap kebodohan nilai journalism yang diamalkan oleh kedua-dua wartawan ini lagi busuk. Aku ni bercakap bukan sekadar bercakap tapi aku tahu apa aku cakap. Aku jadi wartawan pada 1991 dan saat itu Zubir ni masih kerja eksekutif di Human Resource di NSTP dan aku fikir Michelle masa tu masih tak pandai basuh kencing lagi.”
Korang boleh baca komen lanjut Saniboey di:
http://akubimbo.blogspot.com
===
Tulisan Zubir di Bintang Popular:
SEJAK Ogos lalu apabila media mendedahkan gosip ‘percintaan’ pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre dengan seseorang yang dikenali sebagai Maya Darina Dahlan Hain, beliau sukar ditemui dan sering mengelak untuk ditemubual wartawan bagi mendapatkan pengesahan siapakah sebenarnya Maya? Maya juga sering dikaitkan sebagai gadis sama yang bernama Elie, Molie dan Melia. Persoalannya, apakah benar Maya Darina wujud atau sekadar ilusi Pierre atau cuma gosip semata-mata?
Namun, akhirnya Pierre hadir dan bersedia menemui wakil media selepas majlis pratonton filem lakonannya, Selamat Pagi Cinta di Tanjung Golden Village (TGV), Seri Kembangan, 5 November lalu. Selain Pierre, turut hadir ialah pelakon lain filem itu seperti Nur Fazura, Que Haidar dan Sharifah Amani, selain pengarahnya, Norliana Samsudin atau Yana, bekas kekasih Pierre.
“Saya tak suka tekanan. Kalau diberi tekanan, saya takkan beri kerjasama. Saya malas nak layan benda-benda karut. Macam-macam benda keluar di akhbar mengatakan saya bercinta dengan halimunan. Kalau saya bercinta dengan hantu, apa masalahnya? Ini hal peribadi saya. Saya tak buat salah, saya tak pernah kena tangkap basah!
Saya tak bercinta dengan sesiapa, saya single. Memang saya akui, saya mencari seseorang untuk saya berkongsi apa saya nak buat. Saya dapat message ketika saya shooting dengan Julia (Ziegler) di Indonesia, daripada Elie yang bekerja dengan Metrowealth. Elie beritahu saya, ada seorang perempuan nak buat filem, nak melabur dalam filem. Salah seorang pekerja Metrowealth, Zubir yang minta saya mengenalinya.
Sebelum ini, dia orang cakap, Maya dah berkenan dengan Farid Kamil. Tapi benda dah tangkap cintan cintun pula. Kalau nak buat filem, kita buat. Saya memang tak pernah jumpa Maya, tapi saya pernah bercakap dengannya di telefon. Dia banyak pengetahuan mengenai filem apabila saya sangat teruja dengan teorinya.
Tapi, sampai sekarang saya belum pernah berjumpa dengannya (Maya). Saya hanya berkesempatan, kononnya hanya berjumpa dengan sepupunya, apa nama sepupunya, saya dah lupa. Saya selalu berdoa agar benda (isu) ini dipendekkan, sebab tu saya tak nak buat apa-apa kenyataan. Biar diam macam tu sajalah.
Artis bukan milik masyarakat
“Saya terus terang, saya tak pernah antiwartawan. Saya memerlukan wartawan lebih daripada saya memerlukan udara. Wartawan seperti keluarga saya. Saya antiwartawan yang tak ada etika kewartawanan. Saya tak nak cakap siapa. Jangan panjangkan benda yang karut marut, benda yang boleh mengaibkan saya.
Saya ada hak untuk tidak bercerita. Saya nak ingatkan, artis atau selebriti bukan milik masyarakat! You nak tahu siapa milik masyarakat – polis, bomba. Pasal apa, kita bayar cukai!
Saya dah lama tidak menghubunginya (Maya). Kalau you nak buat filem, buat filem, jangan buang masa saya. Saya tak salahkan sesiapa dalam hal ini.
Setiap kali saya nak bercinta, memang akan dipermain-mainkan, terutama artis, saya serik dengan artis. Saya faham tugas wartawan. Saya pun harap mereka pun faham kerja saya. Saya pun tak buat perkara yang mengaibkan keluarga. Tapi, dalam situasi begini, saya adalah mangsa. Saya nak ucap terima kasih kepada semua yang ada di dalam ini (wartawan) kerana menghargai saya sebagai selebriti.”
‘Metrowealth bukan majikan saya’
“Kalau saya berdiri di tempat yang benar, saya akan mempertahankannya. Saya perlu berubah kerana saya terlalu banyak dengar cakap orang. Apa yang orang nak, saya sentiasa beri sehingga tidak memikirkan diri sendiri. Kali ini, sesiapa nak cakap dengan saya, cakap terus. Metrowealth bukan majikan saya. Saya bukan bekerja di bawahnya, dibayar gaji setiap bulan. Saya dan Mr David Teo adalah rakan perniagaan. Saya jual kreativiti saya.
Saya hormat dia sebagai bos kerana saya anggap dia seperti bos. Mr David adalah orang yang sangat baik, berani. Saya kurang setuju apabila dia cakap dia adalah majikan saya. Dia tidak bayar saya gaji bulan.
Cuma saya agak terkilan apabila penggambaran semula Jangan Tegur ketika saya didatangi malam itu (merujuk kepada kehadiran penulis dan wakil Melodi ke lokasi pada 23 September lalu), saya terpaksa pulang ke rumah emak dan datang semula selepas dua setengah jam apabila saya tidak dapat meneruskan penggambaran satu babak, ketika itu sudah 5.30 pagi, saya kena break untuk krew bersahur.
Saya ada 15 shot, bayangkan 5.30 hingga 6.30 pagi, satu jam (sebelum siang), maksimum saya boleh buat lapan shot saja. Saya cakap wrap, kalau ada apa-apa biar saya dan Mr David bincang. Saya balik rumah, Julia telefon saya dia kata dia masih shooting. What the ‘xxxx…’ (mencarut) is this! Saya minta maaf bahasa saya.
Saya sangat marah dengan perkara itu. Mungkin yang pertama, gangguan (kehadiran media), kedua, team saya tidak menghormati saya sebagai pengarah. Saya cakap wrap, wrap!
Pierre tuduh wartawan ceroboh tempat kerja
“Tapi, ada orang yang baik hati membantu saya mengarah babak terakhir itu. Saya dah tawar hati bekerjasama dengan mereka (krew). Mereka langsung tidak menghormati saya. Saya ingat pada malam itu saya ada masalah, mereka sokong, tapi tidak sebaliknya memberi masalah kepada saya. Saya sangat kecewa.
Saya cuba menyelamatkan filem itu. Saya minta maaf jika ending filem itu macam tahi atau apa saja. Itu bukan dibuat oleh saya. Saya ada 15 shot, yang saya dengar cuma dibuat tiga, empat shot saja. Sebenarnya saya tahu malam itu saya boleh habiskan (penggambaran) jika saya tidak diganggu. Tapi, saya dapat tahu daripada krew, mereka (penulis dan Melodi) diberi alamat dan datang macam mana, itu yang saya betul-betul marah.
Kenapa tak beri saya suatu waktu, biar saya buat sidang media saya sendiri? Jangan datang waktu saya kerja. Tapi, saya terbaca satu artikel, benda ini dibuat tanpa Metrowealth. Maka, you (wartawan) melanggar etika kewartawanan, you menceroboh tempat saya. Saya boleh ambil tindakan!
Artikel mengenai saya shoot Jangan Tegur, tujuh babak tanpa lighting, xxxx….(mencarut). Saya shoot setiap hari ada lighting, itu fitnah! Di panggung mungkin boleh nampak, apa yang saya nak, gelaplah. Macam kita tengok Batman pun gelap. Tapi, masalahnya apabila keluar di TV jadi gelap. Mungkin saya akui kesilapan saya. Tapi, saya buat filem, bukan buat drama TV! Saya tak kisah benda tu keluar di TV gelap atau tak.
Sebenarnya banyak benda saya nak bercerita, tapi apabila saya buka mulut, ramai yang aib. Nak cakap saya kena tipu ke, ada halimunan nak bercinta dengan saya ke, tak kisahlah, biar saya seorang yang kena. Saya sangat kesal apabila saya putus (cinta) dengan Yana dulu, tapi ada hikmah di sebaliknya. Apabila kami putus, saya jadi pengarah, dia pun jadi pengarah sekarang ni. Mungkin apabila kami bersama, tak ada kejayaan.”
Pierre lari masuk lif
Ketika penulis masih mengajukan soalan kepada Pierre, dia terus bangun dan meninggalkan sidang media yang sedang berlangsung. Berkali-kali penulis cuba mengajukan soalan kepadanya, tapi dia terus bergegas meninggalkan sekumpulan media sambil berkata dia tidak menghargai wartawan tidak beretika (sambil meminta pembantunya, Norzairi Zainal atau Itik merakamkan perbualan kami).
Pierre terus berusaha mencari ruang melarikan diri dari Restoran Lemon, Seri Kembangan (lokasi sidang media). Sekalipun cuba diekori, Pierre terus berjalan keluar dengan laju tanpa mahu menjawab soalan penulis sambil tangannya memegang perakam suara merakamkan audio penulis yang memintanya menjawab soalan.
Keadaan bertambah kecoh apabila Itik menghadang pergerakan penulis dengan menggunakan badannya sebagai halangan, sekali gus mengganggu tugas wartawan. Dalam masa sama, Itik menggunakan kamera telefon bimbitnya merakamkan segala aksi yang berlaku.
Seterusnya berlaku aksi kejar mengejar antara penulis dan Pierre sekitar pusat membeli belah Mines dalam usaha Pierre memboloskan dirinya. Pada masa sama, tiba-tiba muncul seorang lelaki berbadan besar dipercayai teman Pierre, sekali lagi menghadang pergerakan penulis yang sedang mengejar Pierre dengan menggunakan badannya sebagai halangan.
Sejurus kemudian, dilihat Pierre bersama Itik berlari menuju ke arah lif sambil ketawa, mungkin melihat penulis tidak lagi mampu berlari laju mengejar mereka.
Nampaknya ‘drama bersiri’ Pierre dan Maya Darina yang disangkakan akan berakhir tidak menjadi kenyataan apabila dia masih tidak mahu menjawab beberapa soalan yang bersarang di fikiran penulis, sekali gus mengesahkan siapakah wanita berbaju kurung warna coklat yang bergambar bersamanya dalam satu majlis.