in

Anugerah Sukan Negara 2011

TV2 SIAR SIARAN LANGSUNG ANUGERAH SUKAN NEGARA 2011

Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dikenali dengan tagline ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’ bakal menyiarkan siaran langsung majlis berprestij Anugerah Sukan Negara 2011 edisi ke-46 tahun ini pada 17 April 2012, jam 10.00 malam menerusi saluran TV2.

Majlis penuh gilang gemilang yang dipancarkan secara langsung dari Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor ini merupakan anugerah tertinggi kepada atlet, pegawai, badan dan pertubuhan sukan sama ada diperingkat amatur atau profesional sebagai penghargaan dan sumbangan cemerlang yang telah diberikan dalam pembangunan sukan negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan berangkat dan menyampaikan anugerah-anugerah utama yang dipertandingkan.

Penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati masing-masing bakal membawa pulang RM20,000 berbanding RM10,000 tahun sebelumnya. Dua atlet bergelar Datuk, Lee Chong Wei dari sukan badminton dan ratu skuasy Negara, Nicol Ann David terus menjadi calon popular tersenarai bagi merebut Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011.

Menariknya tahun ini menyaksikan hadiah wang tunai untuk pemenang bagi kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan dan Pasukan Wanita Kebangsaan yang mana masing-masing akan menerima M20,000 atau RM3,000 seorang berbanding RM10,000 atau RM1,500 seorang pada tahun sebelumnya.

Antara senarai calon kategori Olahragawan Kebangsaan, Chong Wei akan disaingi oleh Sazali Abdul Samad (bina badan), Cheng Chu Sian (memanah), Bryan Nickson Lomas (terjun), Adrian Ang Hsien Loong (tenpin boling) dan Leong Tze Wai (karate). Bagi calon Olahragawati Kebangsaan, Nicol dicabar oleh Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Fatehah Mustapa (berbasikal), Pandelela Rinong (terjun), Jacqueline Jenelee Sijore (tenpin boling) dan Chai Fong Ying (wushu).

Turut dipertandingkan Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan dan Jurulatih Wanita Kebangsaan juga Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Majlis ini juga akan menganugerahkan Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Tokoh Sukan dan Anugerah Khas sebagai menghargai individu yang terlibat dalam pembangunan sukan negara sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

Sama-sama kita saksikan siapakah atlet yang dipilih memenangi anugerah yang dipertandingkan dalam Anugerah Sukan Negara 2011 hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Rhythm Of the Soul Menampilkan OPICK

Zizan Dilayan Seperti Anak Sultan?