WILLIAM & KATE: A FIRST ANNIVERSARY CELEBRATION
Meraikan Saat Manis Ulang Tahun Perkahwinan Diraja Eksklusif di ntv7
Tanggal 29 April 2012 ini genaplah setahun tempoh perkahwinan pasangan diraja yang menjadi ikon dunia – Putera William dan Kate Middleton. Malah tidak keterlaluan jika dianggap seluruh dunia sudah mengetahui lakaran perjalanan kisah cinta romantis mereka.
Mana tidaknya, acara perkahwinan pasangan diraja Britain itu sendiri menjadi tatapan berbillion masyarakat dunia tatkala dilangsungkan di Westminster Abbey. Tidak ketinggalan adalah penonton setia stesen ntv7 yang terpaku di kaca TV pada 29 April tahun lalu untuk menyaksikan kegemilangan majlis perkahwinan diraja ini yang umpama sebuah kisah dongeng yang kini menjadi kenyataan.
Tahun ini, stesen ntv7 pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk membawa penontonnya untuk turut serta dalam ulang tahun pertama Putera William bersama suri idamannya dalam sebuah rancangan dokumentari istimewa William & Kate: A First Anniversary Celebration yang bakal bersiaran secara eksklusif pada hari Ahad, 29 April ini jam 8.30 malam secara eksklusif buat para penonton Saluran Ceria Anda, ntv7.
Dokumentari khas ini bakal berkongsi kisah lanjut pasangan ini setelah hampir setahun lensa media tidak tertumpu kepada mereka. Pasti ramai yang tertanya-tanya dan ingin tahu mengenai perkembangan mereka. Masih mekarkah kisah cinta mereka? Adakah sebarang anjakan di dalam hidup mereka? Apakah rancangan mereka kini? Atau apa sahaja spekulasi yang membabitkan pasangan ini pasti bermain di minda. Justeru, stesen ntv7 berbesar hati untuk membawakan penonton kisah pasangan ini yang selanjutnya.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Puan Airin Zainul berkata bahawa rancangan dokumentari ini dibawakan khas kepada para penonton ekoran sambutan menggalakkan mereka ketika majlis perkahwinan diraja ini disiarkan tahun lalu.
“Seramai 2.3 juta penonton bersama kami tahun lepas bagi menyaksikan sendiri perkahwinan diraja ini. Jadi tahun ini kami bawakan kisah selanjutnya mengenai mereka bagi meraikan ulang tahun mereka yang pertama. Keputusan kami untuk menyiarkan dokumentari khas ini adalah untuk berkongsi dengan penonton Malaysia mengenai perkembangan pasangan ikon dunia ini yang sememangnya sesuatu yang istimewa untuk ditonton,” kata Airin.
Dokumentari William & Kate: A First Anniversary Celebration yang disiarkan selama satu jam di ntv7 ini akan membawa penonton untuk mengetahui perkembangan pasangan ini sepanjang melayari gerbang perkahwinan mereka sejak tahun lalu. Antara yang menarik adalah saat-saat indah mereka juga akan dikongsikan yang pastinya memukau para penonton nanti. Temubual bersama tetamu istimewa yang mahir dalam soal urusan diraja, rakan-rakan terdekat dan mereka yang pernah berkesempatan bertemu dengan pasangan ini akan berkongsi maklumat dan pandangan mereka kepada para penonton.
Ramalan mengenai pasangan ini untuk fasa seterusnya juga bakal menjadi input yang menarik buat tatapan ramai. Semuanya dan banyak lagi bakal dibincangkan di dalam dokumentari ini tatkala pewaris takhta Britain ini meneruskan tugas rasminya serta tentang hala tuju pasangan dua sejoli ini sebagai seorang raja dan permaisuri.
Terdahulu dokumentari berjudul Prince William & Harry into the Future (15 April) dan Kate: The New Diana (22 April) telah disiarkan lebih awal bagi memberi peluang kepada para penonton untuk memahami lebih lanjut mengenai institusi keluarga diraja Britain ini.
Jangan lepaskan peluang untuk bersama Saluran Ceria Anda, ntv7 untuk meraikan ulang tahun pertama pasangan romantis ini melalui dokumentari khas William & Kate: A First Anniversary Celebration pada hari Ahad, 29 April 2012, jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam, eksklusif buat anda.
Selain itu sebuah peraduan sempena dokumentari khas sempena ulang tahun pasangan diraja ini juga akan diadakan di mana peserta hanya perlu mengambil gambar ulang tahun mereka sendiri dan kongsikannya bersama ntv7 di ruang laman sosial Facebook ntv7. Maklumat lanjut boleh didapati di www.facebook.com/ntv7.feelgood.
Layari juga laman sesawang www.ntv7.com.my untuk lebih maklumat mengenai rancangan-rancangan di ntv7. Mereka yang terlepas peluang menonton dokumentari William & Kate: A First Year Anniversary Celebration bolehlah menontonnya di www.tonton.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 melalui Facebook dan Twitter.