Pop! Hotel Festival Citylink Bandung: Murah & Meriah!
oleh Shah Shamshiri
Tampil dengan konsep dan jenama yang tersendiri, Pop! Hotel merupakan rangkaian hotel terbaru di bawah kumpulan syarikat Tauzia yang juga pemilik hotel-hotel Harris di Indonesia. Di Bandung, hotel ini terletak dalam kompleks membeli-belah yang sama dengan Hotel Harris iaitu di Festival Citylink Mall.
Apa yang membezakan Pop! dengan Harris adalah harganya yang jauh lebih murah serta imejnya yang lebih muda dan ranggi. Ibarat ‘adik’ kepada hotel Harris, ia menawarkan perkhidmatan asas dalam dunia penginapan namun tetap berkualiti dan terjamin.
Memang banyak hotel zaman sekarang yang muncul dengan konsep ‘budget’ atau murah dan masih selesa didiami namun Pop! nampaknya menerajui hotel-hotel dengan konsep ini. Berbekalkan 175 bilik-bilik ceria yang berwarna-warni, Pop! di Festival Citylink Bandung nampaknya bakal menjadi pilihan ramai pengunjung.
Selain harganya yang sangat menarik (harga bilik semalam bermula pada 288 ribu Rupiah, sekitar RM96), ia menawarkan bilik yang lebih luas daripada hotel murah biasa dan ditambah lagi dengan kemudahan-kemudahan terbaik untuk keselesaan para tamu.
Semua bilik lengkap dengan TV layar leper dan juga kemudahan wi-fi internet secara percuma, ia juga mempunyai sebuah bilik mandi yang unik dan kompak yang digelar ‘shower pod’ di dalam Bahasa Inggeris (bersesuaian dengan bentuk uniknya).
Ini ditambah lagi dengan senireka dalamannya yang berwarna-warni serta lokasi strategiknya yang berkongsi dengan pusat membeli-belah. Faktor ini memudahkan para pengunjung untuk membeli barangan keperluan serta menjamu selera di aneka tempat makan yang tersedia. Lebih canggih lagi, perkhidmatan daftar-masuk atau ‘check-in’ dilakukan dengan iPad oleh para petugas hotel. Anda hanya perlu menandatangan di atas iPad dan segalanya beres.
Untuk sarapan pagi, Pop! menampilkan konsep ‘quick-bites’ di mana nasi bungkus kecil tersedia menanti para pengunjung di ‘Quick-Bite area’ bersebelahan lobi. Dengan konsep yang sangat unik dan asli ini, pasti ramai yang tertarik untuk cuba bermalam di Pop! Festival Citylink Mall sekiranya ke Bandung nanti. Pendek kata, hotelnya sangat praktikal serta murah, para pekerjanya ramah dan suasananya meriah!
Pop! Hotel juga merupakan hotel yang sangat mesra-alam. Ini kerana ia hanya menggunakan bahan bina yang selamat untuk alam sekitar, dan turut menggunakan tenaga suria (solar) di dalam hotel. Penggunaan kertas juga sangat minimal demi mengurangkan bahan buang dan sampah.