in ,

NTV7 Siar Drama Korea Sassy Girl Chun Hyang

KISAH CINTA TERHALANG DALAM SASSY GIRL CHUN HYANG

BILA MAHU TAPI MALU DAN BENCI BERUBAH CINTA

Siapa menyangka perasaan benci mampu bertukar kepada perasaan cinta. Mungkin pada mulanya pertemuan yang tidak disangka hanya hadir sebagai sebuah penyesalan namun tiada siapa juga yang menduga apabila ia mungkin mengukir sebuah lagi kisah percintaan yang romantis. Bermula 11 April ini, sebuah lagi drama bersiri Korea akan menemui penonton Saluran Ceria Anda, ntv7 dengan judulnya, Sassy Girl Chun Hyang setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 12 tengah hari sebanyak 24 episod.

Sassy Chun Hyang Poster

Sassy Girl Chun Hyang mengisahkan kisah cinta terhalang di antara Sung Chun Hyang (Han Chae Young) dan Mong Ryong (Jae Hee) yang bertemu tanpa disangka akibat satu salah faham. Di sebalik semua kejadian yang menimpa diri mereka berdua dan pertengkaran mereka yang melucukan akhirnya melahirkan perasaan cinta. Ternyata tiada jalan mudah untuk mendapat kesudahan yang mebahagiakan kerana cinta mereka bakal diuji dengan kehadiran watak Hong Chae Rin (Park Si-Eun) yang merupakan bekas kekasih Mong Ryong dan Byeon Hak Do (Uhm Tae-Woong) seorang yang berpengaruh dan tidak pernah berputus asa dalam mendapatkan cinta Chun Hyang.

Kisah bermula apabila Mong Ryong seorang pelajar nakal yang sering menimbulkan masalah di sekolah kini terpaksa berpindah dari Seoul setelah ayahnya yang merupakan seorang ketua pegawai polis ditukarkan ke ke wilayah Utara Jeolla, Namwon. Mong Ryong yang sangat mencintai Chae Rin tetap cuba berhubung dengannya walaupun hanya bertepuk sebelah tangan.

Pada suatu hari, Mong Ryong yang sering mengambil video untuk dikongsinya bersama Chae Rin, tanpa disengajakan telah merakam aksi Chun Hyang yang memalukan. Insiden bertukar telefon bimbit juga menyebabkan mereka terpaksa sering berhubung. Sehinggalah mereka menyedari bahawa mereka sebenarnya menuntut di sekolah yang sama.

Sejak awal lagi, penonton bakal tertawa dengan sifat keanak-anakan mereka yang sering bercakaran dan perbalahan yang melucukan. Penceritaan drama ini semakin menarik apabila mereka berdua terpaksa berkahwin walaupun masih bersekolah akibat sebuah lagi salah faham di mana Mong Ryong yang terminum jus memabukkan menyebabkan dia terlena di katil Chun Hyang. Walaupun tiada apa yang terjadi, tetapi demi menjaga nama baik keluarga mereka terpaksa berkahwin walaupun masih bersekolah.

Chae Rin yang selama ini memainkan perasaan Mong Ryong mula cemburu semenjak itu. Dalam masa yang sama, Chun Hyang yang merupakan seorang pelajar yang rajin cuba membantu Mong Ryong untuk berjaya dalam pelajarannya. Niatnya kini untuk menyatukan semula Mong Ryong dan Chae Rin sekiranya mereka bertemu semula di Universiti Han Guk tempat Chae Rin melanjutkan pelajaran. Ternyata Chun Hyang juga ditawarkan universiti yang sama.

Tidak mampu membayar yuran kerana kemiskinannya, Chun Hyang terpaksa menipu Mong Ryong agar bertemu di sana. Tatkala Chun Hyang tiada di sisinya, Mong Ryong mula menyedari bahawa dia sememangnya mencintai Chun Hyang sepenuh hatinya. Dia kemudiannya cuba mendapatkan Chun Hyang dan menyatakan perasaannya. Alangkah kecewa Mong Ryong apabila di saat dia menyatakan perasaannya, Chun Hyang menafikan perasaan itu dan menolaknya. Chun Hyang terpaksa menolak kerana tidak dapat menerima kenyataan daripada Chae Rin bahawa semua yang dilakukan Mong Ryong adalah kerana sifat kasihannya terhadap kedaifan Chun Hyang.

Masa berganti masa, Mong Ryong dan Chun Hyang berjaya melafazkan perasaan mereka masing-masing. Namun ada saja halangan yang menimpa. Chun Hyang yang pernah juga menolak cinta Byeun Hak Do kini terpaksa menerima natijahnya kerana sebuah lagi halangan bakal menimpa kisah cintanya.

Ternyata lakonan Uhm Tae Woong melalui watak Byeun Hak Do bakal membuatkan para penonton untuk merasa marah dengan segala niat jahatnya. Malah lakonannya yang berkesan telah membuat pelakon lelaki tampan ini tersenarai sebagai salah seorang pemenang di dalam KBS Acting Awards 2005 kerana kecemerlangan lakonannya.

Tatkala, Chun Hyang dan Mong Ryong bakal disatukan sebagai suami isteri buat sekali lagi, Hak Do memulakan perancangan jahatnya dengan memerangkap Mong Ryong. Mong Ryong yang cuba menyelamatkan seorang wanita kini dilihat sebagai seorang penjenayah akibat suntingan rakaman yang dibuat mengenai kejadian itu. Hak Do yang merupakan seorang yang berpengaruh dan merupakan seorang Pengarah Agensi di dalam dunia penyiaran kini menggunakan segala kepakarannya untuk mendapatkan semula cinta Chun Hyang dengan mengugut untuk menyerahkan pita rakaman yang telah disunting itu kepada pihak berkuasa.

Sememangnya drama bersiri Sassy Girl Chun Hyang penuh dengan halangan dalam mendapatkan kebahagiaan sebuah cinta. Dapatkah Chun Hyang dan Mong Ryong meraih semula cinta suci mereka? Bagaimanakah nasib kesudahan mereka berdua? Apakah yang bakal terjadi dengan pita rakaman tersebut? Nantikan drama bersiri Korea yang berjaya memenagi beberapa anugerah di KBS Acting Awards 2005, Sassy Girl Chun Hyang akan menemui penonton setiap setiap Isnin hingga Jumaat, bersiaran selama satu jam pada pukul 12 tengah hari bermula 11 April ini, tentunya di Saluran Ceria Anda, ntv7.

Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan ini, layari www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan ntv7 di Facebook mahupun Twitter.

L-Han Chae Young as Sung Choon Hyang & Jae Hee as Lee Mong Ryong (1)  쾌걸춘향_041209_24

My Sassy Girl Chun Hyang (1)쾌걸춘향_041209_18

R- Jae Hee as Mong Ryong

Sassy Girl Chun Hyang (2)

Sassy Girl Chun Hyang (1)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adam Lambert Releases Single Never Close Our Eyes

Teater Eksperimental Tepuk Amai-Amai