Konflik Seorang Bapa Dalam Drama Bersiri Pesona Kasih Mengisi Slot Arca Di TV1
Kebiasaannya kita berkongsi kisah suka duka seorang ibu dalam membesarkan anak-anak sendiri tanpa kehadiran seorang suami di sisi. Namun menerusi slot Arca yang menemui penonton RTM mulai 5 April 2012, setiap Khamis, jam 10.00 malam di TV1, penonton berkongsi kepayahan dan konflik dihadapi seorang ayah berdepan dengan kerenah lima orang anak lelaki setelah isterinya meninggal dunia.
Drama bersiri bertajuk Pesona Kasih sepanjang 13 episod siarannya ini dibintangi oleh Shaharudin Thamby yang membawakan watak utama seorang bapa di samping Syed Aiman, Maria Farida, Shahrul Nizam, Ana Dahlia, Hafiz Halim dan Julia Hana.
Kisahnya bermula dengan babak memperkenalkan watak Dr. Adam Jamil, usahawan bio-tech yang sudah lama kematian isteri. Atas dasar setia pada Maria arwah isterinya, Dr. Adam menutup pintu hatinya terhadap wanita. Lantas menghambakan seluruh hidup hanya untuk dua perkara – perniagaan dan anak-anak. Dan kesetiaannya itu dibuktikan melalui sebuah diari hitam yang sentiasa dibawa ke mana-mana. Diari itu mengandungi luahan hatinya di mana ingatan dan kasihnya pada arwah tidak berkurangan walau sedikit pun.
Jadi, pada anak-anaklah Dr. Adam berkasih sayang. Namun, dek kerana keterlaluan dan menyayangi dan melindungi mereka, Dr. Adam tidak sedar yang dia telah menjadi seorang bapa yang autokratik. Lantas dia membesarkan dengan pelbagai syarat dan peraturan. Syarat utama, lima beradik itu wajib tinggal sebumbung walau apa pun berlaku.
Anak sulungnya Danial, patuh pada peraturan itu walau sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Isteri Danial, Rozie, adalah satu-satunya wanita di banglo mewah Dr. Adam. Rozie cuba menyesuaikan diri dalam keluarga bapa mertuanya itu.
Namun, sayang Dr. Adam lebih kepada anak kedua, Jimmy yang menurut jejaknya sebagai saintis bio-tek. Pada Jimmy diharapkan untuk mengembangkan formula produk kesihatan ciptaannya yang menjadikannya seorang jutawan terkenal. Dan ada satu lagi alasan untuk Dr. Adam terlalu menjaga hati Jimmy. Lima tahun lalu anak ketiganya, Sam, telah merampas kekasih Jimmy, Fiona. Satu tamparan buat Dr. Adam apabila Sam berkahwin dengan Fiona lalu keluar dari rumah untuk tinggal berasingan.
Sejak itu, Dr Adam meletakkan satu lagi peraturan kepada anak-anaknya. Tidak seorang pun dibenarkan lagi merampas teman wanita masing-masing. Justeru, apabila anak keempat, Eddy, rapat dengan Sofia, kekasih anak bongsunya, Johan, Dr. Adam mula bimbang.
Sam yang kemudiannya hampir bankrap telah kembali ke rumah Dr. Adam atas desakan dan pujuk rayu Fiona dengan Dr. Adam. Sesuatu yang sukar buat Jimmy apabila Fiona, bekas kekasih kini tinggal sebumbung sebagai adik iparnya. Dr. Adam cuba merawat luka Jimmy dengan memperkenalkan beberapa gadis.
Sehinggalah muncul Maya, guru tuisyen Dafi, anak Danial. Tetapi Maya jatuh hati pada Dr. Adam. Di saat hati Jimmy terbuka untuk Maya, hati Dr. Adam turut terbuka hati untuk Maya. Dr. Adam yang tidak sedar perasaan Jimmy, mula mendamba kehidupan romantik yang lama ditinggalkan.
Terjadilah konflik cinta tiga segi yang rumit dalam diam di bawah satu bumbung. Apatah lagi apabila syarat yang ditetapkan oleh Dr. Adam ke atas anak-anaknya, kini terkena batang hidungnya sendiri. Sanggupkah Dr. Adam berkorban perasaannya?