Vanila Coklat, sebuah drama romantik komedi yang menampilkan Izara Aishah sebagai Zara, Aiman Hakim Ridza (Mentor 5) sebagai Aamir, Iqram Dinzly sebagai Kamal dan Bella Daly sebagai Liana mengisi slot Lestary sejak mula diperkenalkan 20 Disember lalu. Drama bersiri 13 episod ini diarahkan oleh Emi Suffian Sabhe, skrip ditulis oleh Panel AMC dan diterbitkan oleh Asia Media Content.
Vanila Coklat mengisahkan tentang Zara, 19 tahun dan Aamir, 20 tahun yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi. Zara dan Aamir saling membenci antara satu sama lain dan masing-masing sudah mempunyai kekasih. Aamir sering mengusik Zara kerana Zara merupakan pelajar cemerlang dan pelajar contoh di kolej manakala Zara membenci Aamir kerana baginya, Aamir seorang kaki perempuan.
Malam Selasa ini (esok) merupakan episod kemuncak yang bakal menguraikan dilema di antara Zara & Aamir yang pada mulanya benci kemudian dipaksa kahwin tetapi dipaksa bercerai oleh kedua ibubapa mereka. Mampukah mereka hidup bahagia kembali?
Bagi menyemarakkan lagi episod terakhir drama ini, TV3 akan mengadakan mengadakan viewing party khusus kepada tetamu jemputan yang terdiri daripada sebilangan para peminat serta barisan pelakon utama Vanila Coklat seperti Izara Aishah, Aiman Hakim Ridza, Iqram Dinzly dan ramai lagi. Turut memeriahkan majlis, nantikan kemunculan Tam Spider yang akan membuat persembahan istimewa menyumbangkan lagu runut drama ini.
Tarikh : 13 Mac 2012 (Selasa)
Masa : 8.00 malam – pendaftaran media & jamuan
8.30 malam – persembahan Tam Spider
9.00 malam – tayangan drama
10.30 malam – bersurai
Tempat : RASTA @TTDI, Jln Datuk Sulaiman, Kampung Sungai Penchala