Walaupun persembahannya bertambah baik tetapi Miza Azura terpaksa akur kepada keputusan SMS yang dihantar oleh penonton apabila dia terpaksa pergi meninggalkan pentas Pilih Kasih musim ketiga (PK3) pada minggu kelima.
Lakonannya sebagai Puteri Sendayu dalam persembahan teater Si Bongkok arahan Erma Fatima dipuji pengkritik tetap, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Fauziah Nawi. Malah penasihat PK3, Umie Aida menyukai lakonan Miza yang bertenaga dan ada jiwa.
Bagaimanapun semua pujian itu tidak dapat membawa Miza ke minggu seterusnya, namun Miza tetap bersyukur kerana selama lima minggu bersama barisan tenaga pengrah PK3 dia belajar pelbagai perkara mengenai dunia lakonan. Meskipun agak terkilan dengan penyingkiran itu namun Miza gembira kerana sekurang-kurangnya dia sudah membuktikan bakat lakonannya dan Rosyam Noor sendiri yakin Miza boleh pergi jauh dalam bidang seni.
Dua lagi artis PK3 yang mendapat markah tercorot adalah Nizen Ayob dan Airil Refa. Sejak penyingkiran yang pertama pada minggu ketiga berlangsungnya PK3, Rosyam sudah mengingatkan kepada penonton supaya mereka bijak membuat pilihan kerana keputusan berada di tangan mereka. Jelasnya, rupa yang kacak dan jelita adalah bonus tetapi mereka juga mestilah berbakat dan memberi komitmen yang tinggi.
“Saya mohon kepada penonton dan peminat undilah mereka yang benar-benar berbakat supaya industri dapat menerima mereka. Kita perlukan bakat baru yang berjiwa besar dan tidak gentar untuk menghadapi persaingan. “Industri perfileman semakin berkembang maju dan kita perlukan bakat baru untuk memeriahkan lagi industri. Oleh itu pilihlah mereka yang benar-benar layak dan jangan hanya pentingkan paras rupa. Saya mahu melahirkan artis PK yang menunjukkan kesungguhan mereka untuk berjaya pada masa depan dan bukannya artis yang tenggelam timbul.
“Ramai muncul artis baru tetapi jarang yang kekal lama. Baru berlakon satu dua drama, dah ‘hilang’,” katanya. Secara keseluruhannya Dr Abu Hassan dan Fauziah mula menyukai serta memuji persembahan artis PK3 minggu ini yang kelihatan menonjol dalam ketiga-tiga segmen iaitu teater, monolog dan drama. Pun begitu, monolog mendapat komen yang berbeza berdasarkan persembahan setiap artis.
Sekali lagi untuk segmen monolog, Naqia Nasution, gagal menghayati tugasan yang diberikan. Bukan kali pertama tetapi pada minggu keempat pun Naqia seperti tidak serius dengan tugasannya itu. Selepas gagal pada segmen monolog minggu lalu, Rosyam sudah memberi amaran keras padanya supaya dia dapat melakukan lebih baik pada pementasan minggu kelima PK3. Tetapi nampaknya minggu ini Naqia masih gagal sehingga ‘angry bird Malaysia’, Dr Abu Hassan memberi kritikan keras kepadanya dengan berkata, “Persembahan awak paling teruk malam ini!” Selain itu Hakim Yazid turut mendapat kritikan keras, “Awaklah baldi yang akan dilastik oleh angrybird”.
Pentas PK3 minggu kelima bersiaran dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Senawang, Negeri Sembilan dan disiarkan secara langsung di TV2, setiap Ahad, jam 9 malam.
Artis PK3 yang masih bertahan, Ai Iqmal, Fareth Agang, Heri Aszmo, Hakim Yazid, Jalius Jaibin, Reen Rahim, Miza Azura, Theera Alias, Sura Sojanga, Hiera Hassan, Naqia Nasution, Nizen Ayob dan Marina Jose.
Jangan lupa untuk terus menyaksikan Kisah PK pada setiap Khamis dan Jumaat jam 2 petang, ZooOM PK setiap Sabtu jam 4.30 petang dan Pentas PK secara langsung, setiap Ahad, jam 9 malam. Semuanya di TV2.