Semalam telah berlangsung satu sidang media pelancaran Jalan-Jalan Cari Makan Musim Terbaru di Restoran Rebung pada jam 4 petang.
Pada Budiey, bila dah sebut sahaja ‘Jom kita pi jalan-jalan cari makan’ akan terlintas wajah montel pengacara popular Maria Tunku Sabri. Kalau tak silap Budiey, hos yang petah bercakap ini adalah cucu saudara kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman.
Semalam, Budiey berpeluang bertemu mata untuk kali pertama dengan Kak Maria… mmm sangat mesra dan dia begitu menghormati semua media. Respek betul dengan Kak Maria! Patutlah ramai orang suka dengan dia…
Budiey pernah dengar dulu satu kes mahkamah Kak Maria, kalau tak silap Budiey pada tahun 2004, Kak Maria menuntut agar persetujuan ditunaikan. Dalam persetujuan itu, Wan Johani berjanji akan membayar kepada Maria RM5.5 juta sebagai ganjaran tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau kerana enggan berkahwin dengannya seperti yang dijanjikan.
Pada 8 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan buat keputusan menolak rayuan Maria Tunku Sabri, bagi mengemukakan semula saman terhadap ahli perniagaan, Wan Johani Wan Hussin, 55, yang didakwanya melanggar perjanjian penyelesaian berkaitan perkahwinan membabitkan RM5.5 juta.
Tapi apabila ditanya, Kak Maria tidak mahu mengulas lanjut tentang isu ini.
Apa-apa pun, kali ini Budiey nak ucapkan tahniah sebab Kak Maria sekarang bukan sahaja jadi pengacara untuk program ini malah menjadi penerbit! Satu tanggungjawab yang besar!
Untuk musim ke-11, JJCM dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura membawa penonton menyeberangi Selat Tebrau untuk meninjau keunikan kota Singapura yang indah dan memperkenalkan restoran-restoran yang menyediakan pelbagai makanan lazat sesuai untuk dikunjungi oleh pelancong dari serata dunia.
Budiey difahamkan sebanyak 8 episod telah menjalani pengambaran dan rakaman dibuat sekitar Singapura antaranya Vivocity, Bugis Junction, Arab Street, Orchard Road dan Clarke Quay. Penonton dapat saksikan episod pertama JJCM pada 19 Oktober bersiaran setiap Ahad, jam 12 tengahari. Kiranya sebelum Melodi bersiaran la ya.
Selain makanan, Maria Tunku Sabri juga menyelongkar sejarah tempat yang dilawatinya.
Ketika sidang media pelancaran, media turut dipertontonkan sneak peak untuk program yang diterbitkan bersama KM Baskaran ini. Selain itu, dua orang media iaitu Farihad Shalla dan Yus dari Media Hiburan turut menemani Maria dan seorang tukang masak dari Restoran Rebung bernama Chef Norma memasak makanan dari Singapura. Memang sedap Farihad masak. Hehe…
Farihad, wartawan Berita Harian kena dera oleh Kak Maria.
Dua tempat makan yang diperkenalkan dalam episod pertama ini iaitu Mckenzie Rex, restoran yang popular dengan hidangan nasi ayamnya dan menerima ramai pengunjung beragama Islam. Restoran Yantra pula menghidangkan makanan India Utara dengan konsep tempat memasak tandoori terbuka dan amat menarik dan selesa untuk menjamu selera bagi seisi keluarga.
Maria Tunku Sabri kata:
“JJCM sentiasa mendapat maklum balas daripada penonton samada untuk mengetahui lebih lanjut mengenai restoran yang diperkenalkan mahupun memberikan komen membina untuk perkembangan yang positif. Kini, JJCM beralih angin ke Singapura untuk mengetahui kemeriahan makanan kat sana pula.”
JJCM dijayakan oleh 6 krew penerbitan yang berkampung selama 3 minggu bermula pada 15 Julai hingga 5 Ogos untuk menjayakan rakaman ini. Sidang produksi JJCM ke 11 ini dibarisi oleh KM Baskaran sebagai penerbit ekskutif, Maria sebagai Hos dan penerbit, Mohd Zaidy Saling (Penolong Penerbit) dan Wan Fariha Atis Fathilah (Pembantu Penerbitan), Faizal Afandi (Jurukamera), Amran Salleh (Jurulampu) dan Roslan Romli (Juruteknik).
Jadi, jangan lupa untuk menikmati keunikan Singapura dengan menonton JJCM musim ke 11 bermula pada 19 Oktober setiap Ahad jam 12 tengahari.