DOKU KHAS AIDILFITRI, SEMBANG PAGI RAYA (1 OKTOBER 2008) DAN FORUM PERDANA (2 OKTOBER 2008) DI RTM1
Dalam kerancakan menyiarkan program hiburan, drama, filem sepanjang lebaran ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga menyediakan program dokumentari istimewa, Sembang Pagi Raya (1 Oktober 2008), jam 10.00 pagi dan Forum Perdana Ehwal Islam pada 2 Oktober 2008 (Khamis), jam 10.00 malam, keduanya-duanya menerusi RTM1 khas sempena Aidilfitri.
Doku Khas Sembang Pagi Raya yang berkonsepkan bicarawara santai membincangkan dua topik yang lebih tertumpu kepada rutin masyarakat Malaysia pada pagi 1 Syawal dalam budaya masyarakat Malaysia.
Sembang Pagi Raya menggandingkan dua orang penyanyi nasyid sebagai pengacara iaitu Nabil Ahmad (Far East) dan Muadz Zulkifli yang akan berinteraksi dan berkongsi pendapat dengan penonton di studio untuk menyuarakan masing-masing aktiviti yang menjadi kelaziman mereka lakukan di pagi raya.
Perbincangan pagi raya ini melibatkan tetamu undangan iaitu Ruminah Sidek, Siti Fairuz dan Dr. Ashraf Wajdi Dato’ Dusuki yang berkesempatan berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa menyambut raya, kebiasaan yang dilakukan pagi raya selain komen yang salah dilakukan oleh masyarakat Islam semasa pagi raya.
Malah istimewanya program ini turut mengundang penonton dari luar negara meluangkan kesempatan berinteraksi tentang perbezaan menyambut raya di negara mereka dan di Malaysia.
Manakala perbicangan dengan tetamu golongan remaja dan dewasa di studio menyentuh soal amalan ziarah, bersalaman dan pastinya melibatkan soal pemberian duit raya. Turut menyerikan program diselang-selikan dengan persembahan nyanyian dari dua kumpulan nasyid iaitu Kumpulan Far East dan In Team.
Rancangan dimulakan dengan gandingan dua pengacara mendendangkan lagu raya malar segar Satu hari Di Hari Raya sebelum diteruskan dengan perbincangan bersama tetamu dan penonton di studio.
Menyusul kemudiannya Kumpulan Far East dan In Team menyampaikan lagu Aidilfitri. Begitu pun paling istimewa apabila dua kumpulan nasyid ini berganding suara bersama tetamu-tetamu yang lain berkongsi pentas menyanyikan lagu Suasana Hari Raya.
Esoknya, 2 Oktober 2008 (Khamis) menyusul Forum Perdana Ehwal Islam yang mengupas dua topik menarik istimewa Aidilfitri ini iaitu Alam dan Manusia Terpisah Tiada sebelum menyusul tajuk Saat Yang Bahagia.
Sepanjang sejam bersiaran, Forum Perdana Ehwal Islam yang memilih lokasi bersiaran di Dewan Bengquiet Universiti Putra Malaysia Serdang Selangor ini dipengerusikan oleh Dr. Khairul Azmi Mohamad (Pengerusi Eksekutif Yayasan Ilmuwan).
Manakala Dua panel yang dijemput membincangkan topik menarik ini iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail (Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ) dan Us. Badli Shah Alauddin (Al- Fadhil Qadhi Daerah Temerloh).
Penonton yang terlibat bertanyakan soalan iaitu iaitu Mazisalwani Mahyuddin, Abdul Rasyid Zainal, Mohd. Zulhafis Zulkeply dan Mislah Badli.
Bagi berkongsi keberkatan Syawal yang mulia dengan meluangkan masa menonton dua program istimewa ini, usah lepaskan peluang menyaksikan Sembang Pagi Raya (1 Oktober 2008), jam 10.00 pagi dan Forum Perdana Ehwal Islam pada 2 Oktober 2008 (Khamis), jam 10.00 malam.