TINJAUAN BARU GLOBAL MENDEDAHKAN RISIKO TINGGI KEHILANGAN KESERONOKAN ALAM KANAK-KANAK
85% ibubapa di Malaysia inginkan anak-anak mereka mendapat lebih masa untuk menikmati alam kanak-kanak
Laporan global baru yang diumumkan pada Februari oleh jenama OREO dan Jabatan Perhubungan Awam Ipsos menyatakan bahawa keseronokan alam kanak-kanak mungkin akan lupus buat selamanya di seluruh dunia dari Malaysia ke India dan Mexico ke Portugal. Kajian tersebut menunjukkan sebahagian besar kanak-kanak hari ini membesar lebih cepat berbanding generasi sebelumnya. 8 dari 10 ibubapa di Malaysia menyatakan anak-anak mereka sepatutnya mempunyai lebih banyak masa untuk “menikmati alam kanak-kanak” tetapi tidak kesempatan, mungkin kerana tekanan kehidupan harian.
Pendapat bahawa keseronokan alam kanak-kanak semakin terhakis bukan saja tertumpu kepada kanak-kanak tetapi juga melibatkan golongan dewasa. Setiap ibubapa inginkan saat gembira yang dinikmati sewaktu kecil. Malah kebanyakan ibubapa diseluruh dunia termasuk di Malaysia mengeluh bahawa kehidupan mereka tidak menyeronokkan dan mereka jarang mengalami kegembiraan seperti sewaktu mereka masih kanak-kanak.
“Global Spirit of Childhood Report” kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perhubungan Awam Ipsos bagi pihak OREO untuk menilai tahap keseronokan alam kanak-kanak di seluruh dunia, bertujuan untuk memahami jika pengguna, samada muda atau tua, berpeluang meluangkan masa menikmati keseronokan sebagai seorang kanak-kanak.
Sunil Sethi, Pengarah Urusan Kraft Foods Malaysia berkata, “Kajian global ini telah membuka mata ibubapa tentang kepentingan untuk mereka dan anak-anak mereka meluangkan masa menikmati keseronokan seharian, samada bermain permainan board, melakukan aktiviti kraftangan atau menjelajah alam semulajadi. Apa yang penting ialah meluangkan masa bersama dan berkongsi kenangan yang berkekalan seisi keluarga.”
Keseronokan Keluarga: Tidak Ternilai
Meskipun kenangan manis zaman kanak-kanak di kalangan ibubapa mungkin semakin pudar, tetapi keinginan mereka untuk berseronok bersama anak-anak tidak pernah padam. Sebahagian besar ibubapa termasuk dua pertiga ibubapa di Malaysia mengatakan yang menghabiskan masa berseronok bersama anak-anak mereka lebih penting bagi mereka berbanding apa yang dilakukan oleh ibubapa mereka sewaktu mereka kecil.
Peluang untuk berseronok kini begitu jarang bagi ibubapa dan anak-anak mereka hinggakan ia seumpama segunung emas. Ibubapa biasanya menghabiskan masa paling banyak untuk bekerja. Kesimpulan dari kajian tersebut ialah 92 peratus ibubapa Malaysia mengakui salah satu sebab utama pekerjaan diutamakan ialah untuk menjamin masa depan yang cerah untuk anak-anak mereka. Lebih dari 50% ibubapa di negara-negara seperti Malaysia, Mexico dan Peru berkata mereka sanggup bertukar pendapatan mereka untuk lebih masa bersama anak-anak mereka. Malah, 92 peratus ibubapa di Malaysia mengatakan bahawa berseronok bersama keluarga adalah “lebih penting dari segala-galanya”. Meskipun begitu, 57 peratus keluarga di seluruh dunia berkata mereka masih tidak meluangkan masa berseronok bersama setiap hari.
Teknologi: Bagaikan Pisau Bermata Dua
Dalam kerancakan dunia 4G, kesan teknologi dan media sosial kepada keutuhan kehidupan berkeluarga semakin meningkat. Walaupun 70 peratus ibubapa di seluruh dunia bersetuju bahawa teknologi membantu menghubungkan keluarga mereka, namun ia ada keburukannya. Sewaktu bersama keluarga, hampir separuh dari ibubapa berkata keluarga mereka terganggu oleh teknologi. Gangguan yang paling teruk dialami oleh ibubapa yang bekerja, di mana lebih dari 50 peratus berkata peralatan mudah alih dan teknologi komputer bermaksud mereka sentiasa “bertugas” dan terus bekerja semasa bersama keluarga samada di rumah atau dalam perjalanan.
Bagi kanak-kanak zaman kini yang membesar bersama teknologi, kehadirannya mempengaruhi cara mereka meluangkan masa dengan ibubapa dan keluarga. Lebih kurang satu pertiga ibubapa di seluruh dunia mengatakan mereka lebih banyak berkomunikasi dengan anak mereka melalui teknologi berbanding pertemuan secara langsung. Di negara yang ekonominya bergerak pantas seperti China dan India, kajian menunjukkan teknologi memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, di mana ia meningkat ke lebih dari 50 peratus dan 42 peratus.
Masih Ada Harapan
Walaupun terdapat tekanan dan gangguan yang menjejaskan masa yang diluangkan bersama keluarga dan kekurangan keseronokan alam kanak-kanak kini, masih ada harapan untuk merubahnya. 88 peratus ibubapa seluruh dunia dan 92 peratus ibubapa di Malaysia mengatakan mereka komited untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlepas keseronokan alam kanak-kanak dan sebahagian besar berkata mereka sendiri inginkan kebebasan keriangan.
“Budaya yang berlainan mungkin memisahkan kita, tetapi kita berkongsi satu matlamat, iaitu membelai semangat kanak-kanak dalam jiwa kita. 2012 menandakan tarikh lahir OREO ke-100. Untuk mengiktiraf peristiwa bersejarah ini, kami akan meneroka lebih banyak cara untuk meraikan keseronokan alam kanak-kanak dan menjadikan ianya sesuatu yang istimewa, saat-saat gembira untuk keluarga dan peminat OREO di Malaysia dan seluruh dunia,” tambah Sunil.
Mengenai Tinjauan ini
Tinjauan ini dijalankan selama enam minggu dari November ke Disember 2011. Lebih dari 7,000 ibubapa yang mempunyai anak-anak berusia di bawah 18 tahun mengambil bahagian dalam kajian ini. Tinjauan tempatan dilakukan melalui online dan wawancara secara langsung dalam 20 negara termasuk: Kanada, China, Colombia, Costa Rica, Ecuador, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Malaysia, Mexico, Peru, Poland, Portugal, Puerto Rica, Romania, Sepanyol, England, Amerika Syarikat dan Venezuela.