in

Program Menarik Sempena Maulidur Rasul di TV9

ISTIMEWA MAULIDUR RASUL BERSAMA TV9

Setiap tahun, umat Islam akan menyambut hari paling bersejarah iaitu Maulidur Rasul yang juga merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah, motivasi dan sebagainya.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW :
“Barangsiapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”

Sehubungan itu, TV9 juga tidak ketinggalan untuk menyambut hari paling bersejarah ini bersama penonton dengan sajian pelbagai program menarik menerusi slot Raudhah dan drama. Antara program yang telah disusun khas buat penonton setianya ialah :

SEMANIS KURMA – KASIH ABADI
2 Februari, 9.30 malam-10.30 malam

Datuk Ustazah Siti Noorbahyah dan suami akan menceritakan tentang percintaan Rasullullah s.a.w. terhadap keempat-empat isteri baginda. Pada masa yang sama pasangan romantis ini akan berkongsi petua untuk menangani masalah dalam rumahtangga. Turut dijemput untuk memeriahkan program ini ialah Ustazah Norhafizah Musa yang akan memberikan tips dalam hubungan suami isteri agar kasih sayang bersemi hingga ke akhir hayat.

Semanis Kurma 1

TANYALAH USTAZ – DAKWAH RASULULLAH
3, 4 & 5 Februari, 7.00 pagi-8.00 pagi

Ustaz Mohd Erfino Johari akan menceritakan tentang Rasulullah s.a.w yang tidak pernah jemu untuk berdakwah bagi menegakkan agama Islam. Peribadi Rasulullah s.a.w. adalah antara daya penarik utama dakwah baginda, Sifat terpuji yang ditonjolkan berjaya menambat hati golongan penentang mengenali Islam seterusnya menghayati agama ini.

USRAH 2012 – KEKASIH ALLAH
3 Feb, 11.00 -11.30 pagi

Menampilkan gandingan mantap dua pendakwah terkenal tanahair iaitu Ustaz Muhammad Abdullah dan Ustazah Asni. Kedua pendakwah terkenal tanahair ini akan menggunakan teknik penyampaian dakwah melalui pendekatan yang lebih praktikal dalam suasana yang santai serta mudah difahami. Topik perbincangan yang disampaikan adalah tentang amalan mendapat cinta Allah s.w.t. dan anjuran mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu para kekasih Allah s.w.t.. Perbincangan ini juga adalah berdasarakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith sahih serta Kitab-kitab Muktabar yang akan menyentuh seluruh aspek kehidupan seperti bab Aqidah, Akhlak, hukum Feqah dan Muamalat.

Ustazah Asni

TANYALAH USTAZAH – MENUJU MAHABBAH RASULULLAH
3 Februari, 11.30 pagi-12.30 tengah hari

Kembalinya bulan Rabiul Awal mengingatkan kita tentang bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. manusia paling agung dan diiktiraf sebagai kekasih Allah s.w.t. Mencintai Rasulullah s.a.w. adalah merupakan kewajipan setiap umat Islam. Sebagai umat yang beriman, kita bukan sahaja dituntut untuk menghayati ajaran baginda namun juga memantapkan penghayatan dan rasa cinta terhadap jasa dan pengorbanan baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam. Apakah cinta terhadap Rasulullah ada persaingan dengan cinta-cinta yang lain? Saksikan kupasan istimewa sempena Maulidur Rasul bersama Ustazah Nurhafizah Musa dalam rangkuman Tanyalah Ustazah, 3 Feb, jam 11.30 pagi.

HALAQAH – SEPASANG SEPATU RASUL
3 Februari, 10.30 malam-11.30 malam

Dari redup cahaya pelita menerangi rumahnya yang kosong tanpa perabot itu, angin bertiup dan helaian langsir beralun lembut dan menjadikan malam itu penuh tenang dan indah. Keluarlah seorang lelaki, berpakaian serba putih, badan dan wajahnya terang mengeluarkan cahaya. Di tangan membawa sebuku roti, lalu roti itu dicubit dan dihulurkan kepada?indahnya akhlakmu duhai Rasulku, akhlak teragung, terpuji yang tiada tandingannya. Untuk kupasan lanjut, pastikan temujanji anda bersama pengacara Halaqah Ustaz Badli Shah Alauddin Ahli bersama pendakwah Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

MUHAMMAD THE IDOL
5 Februari, 10.00 pagi-11.00 pagi

Muhammad The Idol telah dirakamkan semasa acara Raudhah Di Hatiku baru-baru ini bersama pendakwah terkenal luar negara iaitu Imam Suhaib Webb. Beliau akan menyampaikan dakwah beliau secara santai di dalam bahasa Inggeris tentang mencintai, mengagungkan dan mencontohi sifat-sifat terpuji Rasulullah s.a.w dari segala aspek kehidupan dan rohani manusia.

KALAM SYURGA
5 Februari, 12.30 tengah hari – 1.00 tengah hari

Kalam Syurga merupakan kisah benar yang boleh dijadikan iktibar dan dorongan kepada semua. Wee Soon Yen, seorang remaja Hokkien kelahiran Bachok, Kelantan amat meminati Bahasa Arab (Kalam Syurga/Bahasa Syurga). Minatnya berputik setelah dia melihat rakan-rakan beragama Islam mempelajari tulisan Jawi ketika di sekolah rendah. Seawal 7 tahun, Soon Yen mengambil keputusan mengikuti Kelas Fardhu Ain walaupun dia bukan seorang Muslim. Setelah menanam minat mempelajari subjek penulisan Jawi, Al Quran, Bahasa Arab dan Agama Islam selama 2 tahun, akhirnya ibu dan bapa Soon Yen telah melarang dia mengikuti Kelas Fardhu Ain di sekolahnya kerana mereka bukan beragama Islam.

Minatnya terus dipendam sehinggalah Soon Yen memasuki tingkatan satu dan memilih Bahasa Arab Komunikasi sebagai subjek pilihan. Malangnya dia sekali lagi berdepan halangan kedua orang tua yang bimbang dia akan gagal dalam subjek itu. Namun kali ini Soon Yen tidak berpaling ke belakang, dia nekad meneruskan minatnya. Kerisauan ibu bapanya berakhir apabila remaja itu memperoleh keputusan 9A dalam PMR 2010. Malah anak sulung daripada dua orang adik beradik itu ialah calon tunggal bukan Islam berjaya mendapat gred A dalam subjek Bahasa Arab. Lebih memeranjatkan mereka sekeluarga apabila Soon Yen telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 2011. Kriteria pemilihan Wee Soon Yen untuk menerima anugerah itu, berdasarkan pencapaian dan minatnya terhadap Bahasa Arab.

TELEMOVIE MAULIDUR RASUL – SUAMI TERPUJI
5 Februari, 8.30 malam

Drama menarik Maulidur Rasul ini dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Bell Ngasri, Rozita Che Wan, Wahid Senario, Hamid Gurka, Norkhiriah. Drama ini mengisahkan tentang dua buah keluarga yang hidup berjiran. Fariz dan isterinya Fara mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun, bernama Ain. Keputusan peperiksaan Ain amat mengecewakan Fara dan dia berusaha mencari guru agama untuk membimbing Ain. Pak Mud, bapa mertua Fara mencadangkan Cikgu Nini untuk mengajar Ain.

Sementara itu, jiran mereka pula adalah Muda dan Manis. Mereka amat rapat dan sering berkongsi masalah bersama. Suatu hari ketika di pejabat, Fariz ternampak seorang pekerja dinaikkan pangkat dan mendapat pujian daripada ketuanya kerana pekerja tersebut mengamalkan gaya hidup Rasulullah. Sejak hari itu Fairiz mahu berubah menjadi baik dan mengamalkan gaya hidup Rasulullah. Namun perubahannya itu adalah untuk menunjuk-nunjuk. Perubahan drastik Fariz membuatkan Fara begitu terkejut.

Pada masa yang sama, Muda pula terpikat dengan Cikgu Nini terutamanya apabila mendengar kemerduan suara Cikgu Nini ketika mengaji. Suatu hari, Muda bercerita dengan Fariz yang dia berminat dengan Cikgu Nini dan bertanyakan pendapat Fariz jika dia berkahwin dua. Fariz pula berbincang dengan ayahnya Pak Mud. Namun, belum sempat menceritakan hal sebenar, Pak Mud bersetuju agar Fariz berkahwin dua mengikut jejak langkahnya.

Farah mula naik angin dan ditenteramkan oleh Manis. Akhirnya Fariz menjelaskan perkara sebenar kepada mereka dan ini membuatkan Pak Mud menjadi risau dan tersentap. Kenapa pula Pak Mud berkelakuan begitu? Siapa Cikgu Nini sebenarnya?

Teruskan bersama kami sempena sambutan Maulidur Rasul ini dengan rancangan-rancangan yang lebih menarik.

Selamat menonton!

Ustaz Muhammad Abdullah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

U Mobile Postpaid Customers Rewards Bcard

Drama Bersiri Tanah Kubur Kekal Paling Popular