Pada 8 Ogos 2008, Primeworks Studios Sdn. Bhd., pengendali produksi untuk TV3, NTV7, 8TV, TV9 dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. telah dilancarkan dengan matlamat untuk membawa hasil kerja tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Meski bernaung sebagai anak syarikat bebas milik Media Prima Berhad (MPB), istimewanya, Primeworks Studios turut menjadi ‘orang tengah’ dalam memasar dan mengendalikan program-program berkualiti kepada RTM, Astro dan pihak luar.
Ketika pelancaran, Estranged dijemput untuk menyanyikan dua buah lagu.
Dan ada cabutan bertuah juga. Gimik pun boleh tahan.
“Kita berhasrat untuk menghasilkan kandungan program yang baik serta bertindak sebagai pemangkin dalam membawa industri televisyen serta filem tempatan ke tahap tinggi dengan mewujudkan peluang baru. Primeworks Studios juga berhasrat untuk membangunkan kandungan program tempatan yang berkualiti ke tahap ia boleh dieksport ke pasaran luar,” kata Ketua Pegawai Operasi Primeworks Studios, Farisha Pawanteh.
Menurut Farisha, Primeworks Studios adalah sebuah syarikat bebas dan ia tidak terikat untuk mengendalikan program-program di empat buah stesen milik MPB.
Farisha… cantik orangnya. Macam selebriti la pulok!
Jelasnya, pertemuan telah pun dilakukan dengan RTM dan Astro bagi membolehkan Primeworks Studios menawarkan segala kepakarannya kepada dua stesen berkenaan.
“Kita juga memberi jaminan bahawa setiap hasil produksi yang dikendalikan oleh Primeworks Studios tidak akan bertindih antara stesen-stesen televisyen. Astro, contohnya, ia punyai saluran yang banyak dan masih kekurangan bahan penghasilan program. Untuk itu, kita menawarkan kepada Astro membentuk program-program baru melalui pakar-pakar produksi yang ada dalam Primeworks Studios,” ujarnya.
Ditanya mengenai kaedah membawa produk tempatan ke negara luar, Farisha memberitahu bahawa pihaknya positif akan dapat membantu dalam mengglobalkan produk tempatan.
Gelung rotan… dijadikan logo dan imej kepada Primeworks Studios.
Buat masa ini, katanya, Primeworks Studios telah pun menjalin kerjasama dengan beberapa stesen televisyen luar seperti Filipina, Vietnam, Singapura dan Brunei.
“Sebab itu kita akan kukuhkan dan perbaiki kualiti produk tempatan bagi membolehkannya dipasarkan ke luar. Kita juga boleh menjual format atau konsep bagi sesuatu program melalui kerjasama erat Primeworks Studios dengan negara luar. Jika kita tidak mulakan dari sekarang, kita tidak mampu untuk membawa produk tempatan ke luar,” katanya.
Tahniah! Selamat datang Primeworks~!