in ,

Bicara Filem KUNTILANAK vs URBAN LEGEND, Dari Susur Galur Hingga Apakah Ia Wujud

Tayangan Unggul telah membuka tirai tayangannya dengan filem seram dari Indonesia, KUNTILANAK. Baru-baru ini saya dijemput oleh Tayangan Unggul untuk sama-sama menyaksikan sendiri filem yang diarahkan oleh Rizal Mantovani bersama selebriti tanahair dan rakan media. Ternyata filem ini bagi saya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Rizal Mantovani sebelum ini gah dengan sebuah filem seram berjudul Jelangkung (2001) dan sebuah filem romantis berjudul Jatuh Cinta Lagi. Rizal memulakan kariernya sebagai sutradara video muzik yang paling berpengalaman di Indonesia. Merupakan salah seorang daripada 4 sutradara ternama yang mengeluarkan KULDESAK (1999), sebuah filem yang mendorong bangkitnya kembali aura perfileman di sana.

Ternyata garapan Rizal untuk Kuntilanak berbeda dengan apa yang kita tonton dalam Jelangkung. Dari sudut suntingan dan cinematografinya ada sedikit peningkatan. Yang paling mengkagumkan saya ialah prop dan juga susun atur lokasi filem ini yang diatur dan disolek sebegitu rapi.

Walaupun terdapat kesamaran dalam konsep penceritaan Kuntilanak itu sendiri, namun saya boleh menerima filem ini seadanya. Juga katanya kedudukan rumah kos-kosan di sebelah kubur itu adalah tidak masuk akal, namun pada saya elemen kubur dan pokok itu sendiri adalah asas kepada jalan cerita ini.

Mungkin susur galur dan asal usul Kuntilanak yang tidak jelas mengajak kita untuk lebih bersedia dengan menambah fakta dari luar. Tidak semua fakta tentang Kuntilanak ini ada dalam filem ini terutamanya soal mengapa Sam dijadikan objek untuk dirasuk dan membunuh mangsa.

Juga mengapa tiada lanjutan antara sub plot di mana ayah Sam yang kejam tidak diberi hukuman dalam cerita ini? Filem ini tidaklah banyak berahsia sebenarnya kerana ianya diterangkan secara imbas kembali dan dialog dengan tuan empunya rumah misteri itu.

 Dengan tema pakaian serba putih pada malam gala menjadikan suasana bertambah seram. Sedangkan filem ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan warna tema tersebut. Kecuali untuk filem Pocong memang sesuai! Mungkin ianya sekadar ingin mencipta suasana yang unik barangkali.

Mengikut yang saya tahu, Kuntilanak adalah hantu perempuan tua berkaki kuda yang biasanya muncul menjelang waktu senja. Kalau bunyi hilaiannya jauh, bermakna Kuntilanak itu berada dekat dengan kita. Begitulah sebaliknya. Tinggal di pokok dan keluarnya melalui pelbagai pintu atau cara termasuklah dari cermin.

 Jalan ceritanya digarap dengan konsep Urban Legend. Di mana pembunuhan oleh Kuntilanak akan berlaku secara berulang-ulang. Mangsanya akan menerima habuan yang sama cuma situasi yang berbeda. Ini sudah tentu menjadikan filem ini klise dan dapat dijangka oleh penonton.

Namun saya kira, objek dan tarikan utama dalam cerita ini ialah misteri apakah yang tersembunyi dalam bilik rahsia di rumah kos-kosan tersebut. Objek ini membuatkan penonton tertanya-tanya dan ternanti-nanti apakah yang bakal terjadi seterusnya.

Lakonan Evan Sanders yang dulunya kita saksikan lakonannya dalam DEALOVA (2005) tidak ada banyak peningkatan. Pada saya, lakonannya sama yang pernah kita tonton sebelumnya.

Kekadang gerakannya agak kaku. Ekspressi wajah Evan banyak dipengaruhi oleh objek-objek halus dalam beberapa adegan seperti adegan dalam kamar rahsia.

Pemilihan Julie Estelle yang berperanan sebagai watak SAM atau SAMANTHA dalam filem ini sangat sesuai. Dikatakan model produk kecantikan ini akan bakal menggantikan lagenda dan ikon seram iaitu Suzanna.

Ternyata pada saya, mutu lakonan Julie memang mengkagumkan. Terutamanya ketika dirasuk Kuntilanak dengan menyanyi lagu etnik jawa. Memang berbeza sepenuhnya dengan watak yang dimainkan dalam filem Alexandria (2005).

Atas dasar konsep asas filem ini digarap untuk menjadikan penonton ketakutan, saya kira hanya 70% ianya telah berjaya direalisasikan. Rupa hantu kuntilanak masih terbayang-bayang di minda saya sehingga terbawa-bawa dan seakan mengekori saya sampai ke rumah. Unsur ketakutan ini biasanya terpengaruh dengan mainan gambar, kesan bunyi dan kejutan yang diitonjolkan.

Dengan acuan yang sederhana dan bercorak hiburan dengan sedikit jenaka menjadikan filem ini antara filem yang boleh kita tonton. Pastikan goncangan adrenalin anda akan terus berada di tahap yang terkawal ketika menonton filem ini.

Kata Rizal, filem ini tidak habis di sini. Ada sambungannya, mungkin Kuntilanak II. Saya kira nanti, sekuel filem ini akan ada kesinambungan dan memperbaiki kelemahan pada naratif yang lemah serta lebih menggunakan unsur-unsur yang menyeramkan penonton.

Bulan Februari depan, filem Puaka Tebing Biru akan menemui peminat filem seram. Juga dibawakan oleh Tayangan Unggul. Nampaknya, tahun ini terlalu banyak penonton akan disogokkan dengan filem-filem seram. Jadi, berjayakah trend bermusim ini akan meningkatkan mutu perfileman Malaysia? Tepuk dada tanya selera…

UPDATED! Mengikut sumber yang boleh dipercayai, pengambaran sekuel Kuntilanak II dan III akan dirancangkan serentak. Bermakna kedua-dua filem akan dibuat pada tempoh yang sama.  Boleh saya andaikan, filem kedua akan ditayangkan pada 2007 dan filem ketiga akan ditayangkan pada 2008. Alah, bak kata pakar filem yang sorang ni, ianya macam pembikinan filem Lords of The Rings… tak gitu?

 BACA ULASAN LAIN:

1. Bicara Skrip – Mari belajar struktur cerita seram?

2. Fadz Tonton Filem

Artikel Berkaitan filem:

1. Rasukan Filem Seram 

2. Ulasan Filem Syaitan 

3. Filem Syaitan?

 Berikut ini adalah ulasan dari wartawan Utusan Malaysia:

Kuntilanak menjadi mitos kota?

WATAK pontianak dalam cerita-cerita seram atau hantu tempatan mempunyai aura dan mitosnya sendiri. Pontianak menjadi antara cerita rakyat yang cukup popular dan mitosnya terus kekal sehingga ke hari ini. Begitu popular, watak pontianak telah difilemkan dan mendapat sambutan yang cukup hebat.

Pontianak yang popular di Tanah Melayu juga popular di Indonesia dengan panggilan “kuntilanak??. Bukan itu sahaja industri filem Thailand telah berkembang dengan pesatnya hasil daripada kejayaan sebuah filem yang membawa kisah pontianak yang lebih dikenali sebagai Nang Nak.

Pada umumnya mitos pontianak atau kuntilanak adalah berkaitan dengan kisah seorang wanita yang teraniaya dan mati dalam keadaan tragis semasa melahirkan anaknya.

Sungguhpun pada dasarnya kisah pontianak ini adalah kisah yang amat menyeramkan, tetapi ia juga sebuah kisah yang cukup romantis dan menyedihkan. Bagaimanapun kisah pontianak dalam kebangkitan filem Asia hari ini telah diberikan nafas baru.

Dalam filem Nang Nak, selain kisah pembunuhan wanita yang ngeri dan tragis itu, filem ini mengisahkan tentang kesetiaan dan kasih sayang seorang wanita terhadap suami dan anaknya.

Nang Nak masih mengekalkan plot tradisi pontianak sepertimana yang kita ketahui. Sementara Shuhaimi Baba dalam Pontianak Harum Sundal Malam mengekalkan kisah pontianak sepertimana dalam versi tradisinya, tetapi Shuhaimi juga memberikan nafas feminisme dalam filem tersebut.

Pontianak menjadi simbol wanita yang membalas dendam terhadap penganiayaan yang dilakukan terhadapnya oleh kaum lelaki.

Rizal Mantovani salah seorang pengarah filem generasi baru Indonesia yang terkenal nampaknya turut memberikan tafsiran baru terhadap watak pontianak ini melalui filemnya yang terbaru Kuntilanak. Rizal bersama Mira Lesmana dan Nas T. Achnas adalah antara pengarah yang bertanggungjawab menaikkan semula industri filem Indonesia melalui filem arahannya Kuldesak (1999).

Kemudian dia turut menghasilkan sebuah filem seram iaitu Jelangkung (2001), iaitu sebuah filem seram yang dihasilkan selepas era filem-filem seram murahan Indonesia (selepas era filem seram murahan dan stereotaip ini industri filem Indonesia merudum jatuh).

Selain daripada filem, Rizal juga banyak menghasilkan klip video lagu dan kerana itu tidak menghairankan filem-filem Rizal turut dipengaruhi oleh imej dan stail video MTV.

Kuntilanak yang ditulis oleh Ve Handojo membawa tafsiran baru watak pontianak atau kuntilanak. Kuntilanak tidak lagi berlatarkan kehidupan dan suasana desa, dan tidak lagi akibat kematian wanita mengandung atau beranak.

Sebaliknya kuntilanak di sini adalah hantu yang boleh diwarisi dan dia menjadikan sebuah rumah besar di kota sebagai sarangnya sejak puluhan tahun yang lalu dan menunggu masa untuk diwarisi oleh wanita lain.

Sementara itu, seorang mahasiswa cantik bernama Samantha (Julie Estelle) yang melarikan diri daripada gangguan bapa tirinya selepas kematian ibunya telah mendiami salah satu bilik di rumah besar bekas kilang batik itu.

Hasil mentera yang diajar oleh pewaris rumah itu Sam telah diresapi oleh roh kuntilanak dan akibat daripada diresapi oleh kuntilanak itu teman-teman Sam yang memusuhinya seorang demi seorang ditemui maut.

Dan akhirnya teman lelaki Sam sendiri, Agung (Evan Sanders) hilang dan bakal maut oleh angkara kuntilanak, maka Sam perlu menyelamatkannya daripada dikorbankan oleh kuntilanak.

Kuntilanak yang sekian lama menjadi mitos rakyat diberikan rupa dan tafsiran baru oleh Rizal Mantovani. Kuntilanak bukan lagi mitos seram di desa tetapi telah dipindahkan untuk menjadi sebahagian daripada kisah urban legend atau mitos kota. Kuntilanak yang mendiami banglo usang sejak puluhan tahun, mampu meresapi gadis kota yang moden dan digunakan untuk membalas dendam hanyalah elemen dalam urban legend.

Sebagai sebuah filem seram, kejayaan Kuntilanak adalah pada keupayaannya menampilkan elemen seram. Dengan hanya menggunakan sebuah rumah sebagai setnya, Rizal perlu bergantung pada kekuatan rekaan set, fotografi dan efek khasnya.

Pengalamannya menghasilkan banyak klip video lagu turut mempengaruhi filem ini dari sudut rekaan set dan imej visualnya.

Jika filem-filem pontianak, mangsanya adalah orang-orang yang mengkhianati pontianak, tetapi dalam filem ini pontianak bertindak bagi pihak Sam. Plot membalas dendam begini sudah menjadi stereotaip sepertimana beberapa buah filem seram yang biasa.

Rizal menggunakan imbasan lintasan bayang-bayang lembaga untuk mewujudkan elemen cemas dan seram tetapi apabila lembaga yang dikatakan kuntilanak itu akhirnya muncul perasaan seram itu sudah hilang.

Filem Kuntilanak muncul ketika genre ini telah membanjiri industri filem Asia. Lambakan filem-filem dalam genre ini dari satu segi telah membina khalayaknya tetapi pada masa yang sama ia mencabar kreativiti pembikin filem.

Filem: Kuntilanak

Arahan: Rizal Mantovani

Lakon layar: Ve Handojo

Pelakon: Julie Estelle, Evan Sanders, Ratu Felisha, Alice Iskak, Lita Soewardi, dll.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siri Drama EMIL EMILDA Lakonan Aaron Aziz & Sharifah Amani

Di Sebalik Sinopsis Filem QABIL KHUSRY QABIL IGAM