Motivasi Seorang Ibu Tunggal Dalam Drama Bersiri Bukan Aku di TV1
Kisah Zainun yang kematian suami terpaksa memikul tanggungjawab suaminya sebagai ibu dan bapa kepada anak-anaknya. Pasa masa sama dia turut menguruskan syarikat Kumpulan Usahajaya Sdn. Bhd. Zainun telah melantik Iman, anak tirinya menjawat jawatan besar di syarikat tersebut namun ia tidak disenangi oleh Ahli Lembaga Pengarah. Mereka mahukan Zainun memikul tanggungjawab itu. Pelbagai dugaan datang dalam usaha Zainun menjaga hati dan kepentingan semua pihak.
Plot menarik ini mewarnai drama bersiri 13 episod mengisi slot Bidadari bertajuk “Bukan Aku” mulai 26 Januari 2012, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi di TV1 lakonan berkesan Rosnah Johari sebagai watak utama di samping Hairee Othman, Aliza Rafar, Shafiq Isam, Akma Abdullah, Noris Ali dan Shajiry.
Kisahnya bermula dengan kematian Hamdan akibat serangan jantung, benar-benar memberi pukulan hebat kepada Zainun. Selain memikirkan tentang anak-anak, Iman, Alisya dan Sofea, Zainun turut berdepan dengan amanah Hamdan supaya mengurus dan mengendali syarikat Kumpulan Usahajaya Sdn. Bhd. di mana Hamdan merupakan pemegang saham terbanyak dalam syarikat berkenaan dan bertindak sebagai Pengarah Urusan serta Pengerusi syarikat semasa hayatnya.
Memang Zainun seorang wanita terpelajar, pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di sebuah syarikat kosmetik terkenal. Tetapi selepas berkahwin dengan Hamdan lapan tahun lalu, Zainun telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi perhatian sepenuhnya terhadap rumah tangga.
Justeru, Zainun agak keberatan untuk menerima amanah Hamdan supaya menjadi Pengerusi Kumpulan Usahajaya dan bersetuju menyerahkan jawatan tersebut kepada Iman yang telah pun dilantik sebagai Pengarah Eksekutif semasa hayat Hamdan masih ada. Tetapi keputusan Zainun tidak disenangi oleh Lembaga Pengarah. Bagi mereka, Iman terlalu mentah jika hendak dibandingkan dengan Zainun yang pernah mencipta nama dalam dunia korporat tidak lama dulu. Kejayaan Zainun mempopularkan beberapa jenama kosmetik tempatan termasuk ke peringkat antarabangsa diyakini dapat menaikkan lagi Kumpulan Usahajaya Sdn Bhd.
Begitu juga peguam syarikat, Helmi yang juga rakan karib Hamdan. Helmi menasihati Zainun memegang jawatan tersebut untuk sementara waktu kerana dia bimbang Alisya dan Sofea tersalah anggap terhadap Iman. Meskipun Alisya dan Sofea hanya anak tiri Hamdan, namun Hamdan telah menyenaraikan mereka sebagai pewaris hartanya. Zainun memberi alasan yang anak-anaknya tidak akan beranggapan sedemikian, tetapi Helmi berkeras agar Zainun meneruskan legasi Kumpulan Usahajaya Sdn Bhd. Helmi yakin, mesti ada sebab kenapa Hamdan membuat keputusan tersebut.
Dalam waktu yang sama, Zainun turut berdepan dengan pandangan sinis komuniti setempat apabila ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan tentang hubungan Iman, Alisya dan Sofea yang tinggal sebumbung dengan Zainun kerana hubungan mereka adalah adik beradik tiri. Dari segi hukum, mereka bukan muhrim dan sah nikah.
Dalam usaha menyelamatkan keadaan, Iman berhasrat untuk berpindah dan tinggal berasingan, sementelahan pula rumah tersebut telah diwasiatkan oleh Hamdan untuk Zainun. Bagaimanapun Zainun tidak bersetuju dengan cadangan Iman dan menganggap tindakan Iman sebagai memprotes wasiat Hamdan.
Lalu bagaimanakah kesudahannya? Mampukah Zainun menunaikan wasiat arwah suaminya meneruskan legasi Kumpulan Usahajaya Sdn Bhd dan sekaligus memuaskan hati semua anaknya? Saksikan kesudahannya dalam drama rantai Bukan Aku hanya di TV1.