Keteguhan Hati Seorang Gadis Dalam 13 Episod Drama Bersiri Nilai Cinta Diana Di TV1
Pergolakan hidup suka duka ditempuhi seorang gadis bernama Diana dalam melayari bahtera kehidupan melatari drama rantaian terbaharu mengisi slot Cindai bertajuk Nilai Cinta Diana yang disiarkan mulai 25 Januari lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.05 petang di TV1 lakonan Siti Fathiyah, Shahrizal Jaafar, Dewi Seriestha, Firdaus Affandy, Ridzuan Hashim, Roslan Salleh dan Sarimah Hj Mahran.
Drama berkongsi kisah kemasyarakatan ini mengetengahkan watak Diana menjadi mangsa fitnah bekas teman lelakinya, Rashid yang cuba mengambil kesempatan mencabul kehormatannya namun sempat diselamatkan oleh Faizal. Rentetan itu dia membawa diri melanjutkan pengajian ke UNIMAS, Sarawak dan meninggalkan ayahnya seorang peneroka di Perak.
Di sana dia bersahabat baik dengan Agnes, gadis Bidayuh yang memiliki masalah keluarganya sendiri juga menjalin hubungan yang rapat dengan Hayati dan Latifah. Agnes sendiri tidak tahu akan peristiwa hitam yang pernah dilalui oleh Diana. Agnes lebih gemar melayan kegembiraan mereka walaupun Agnes juga menghadapi masalah keluarganya. Diana tempat untuk Agnes meluahkan perasaannya apabila maknya, Dorthy kemurungan akibat kematian ayahnya.
Diana dihimpit pemuda bernama Junaidi yang begitu menaruh hati terhadapnya. Pada masa sama Junaidi diminati oleh Sharon, gadis pilihan mama Junaidi yang juga sekuliah dengannya. Pelbagai cara dilakukan Junaidi untuk memikat hati Diana namun gadis itu tetap menolaknya. Memori pahit bersama kekasih lamanya membuatkan Diana fobia untuk menerima cinta baru dalam hidupnya. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Sharon untuk merebut cinta Junaidi.
Konflik dalam hidup Diana bermula apabila rahsia besar dirinya hamper dirogol terbongkar dan manjadi bahan usikkan rakan-rakan sekuliahnya. Diana menuduh Agnes curi-curi membaca diari dan menyebarkan cerita tentang dirinya. Agnes kecewa lalu cuba mencari siapakah yang bertanggungjawab menjaja kisah Diana.
Akhirnya Agnes berjaya memerangkap Latifah yang menjadi duri dalam daging. Dia menerima upah daripada Sharon untuk memburuk-burukkan Diana. Perkara itu disampaikan kepada Diana dan Diana meminta maaf terhadap Agnes atas keterlanjurannya namun tidak mahu perkara itu diperbesarkan dan memalukan Latifah kembali.
Di saat hati Diana lembut untuk menerima Junaidi, dia menerima tamparan hebat apabila dia dan bapanya dihina kerana kemiskinan mereka oleh ibu Junaidi, Rosnah. Tanpa diduga ayah Diana diserang sakit dan meninggal dunia. Ini menjadikan Diana semakin jauh dan memusuhi keluarga Diana.
Ketika itu muncul Faizal yang pernah menjadi penyelamat empat tahun dahulu. Diana lupa akan wajahnya tetapi Faizal masih mengingati gadis yang diselamatkan itu dengan jelas.
Di penghujung jalan cerita adakah Diana menerima Junaidi? Berjayakah Diana membersihkan kembali namanya yang tercemar akibat fitnah dilontarkan orang yang memusuhinya? Saksikan kesudahannya dalam Nilai Cinta Diana di TV1.