in

Bujang Telajak Hasil Komedi Tahap Maksima

GABUNGAN TERHEBAT TIGA PELAWAK TERSOHOR MALAYSIA MENGHASILKAN TAHAP KOMEDI PALING MAKSIMUM – BUJANG TERLAJAK BELUM TERLANJUR

“Susah untuk menggabungkan mereka bertiga dalam satu filem”, itulah kata awalan daripada produser filem komedi pembuka tahun baru ini, ‘Bujang Telajak Belum Terlanjur’ iaitu A. Latiff Mohaideen. Tiga tunjang utama filem ini bukanlah calang-calang orang dalam industri hiburan ini. Disebabkan itu, mereka ini sentiasa sibuk dengan urusan kerja sehinggakan jadual yang dipegang pengurus masing-masing tidak ada lagi ruang kosong. “Namun kami bertuah kerana berjaya juga mencuri masa mereka untuk digabungkan dalam filem ini dan chemistry mereka bertiga memang sangat mengujakan!” sambungnya lagi.

Tiga penggerak utama filem ini, tidak lain tidak bukan tiga pelawak paling popular di Malaysia iaitu Saiful Apek, Johan Maharaja Lawak dan Nabil Maharaja Lawak. Sebuah filem terbitan bersama Line Clear Motion Pictures (LCMP) dan Wayang Studios International (WSI) ini sudah menemui penonton pada 19 Januari 2012 lalu. Filem yang dikatakan mampu mencipta tahap komedi paling maksimum 2012 ini juga menampilkan pelakon cantik, Nur Fazura sebagai heroin untuk mewarnai lagi keceriaan yang tersulam menerusi filem ini. Sungguh tepat percaturan pelakon-pelakon utama oleh pengarah filem ini, Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

bujang telajak

Filem yang menelan belanja sebanyak RM 1.5 juta ini cuma mengambil masa selama 17 hari penggambaran. Mungkin faktor lokasi penggambaran yang hanya dibuat di sekitar Shah Alam seperti Glenmarie, Bukit Jelutong dan Taman Tasik menjadikan proses penggambaran berjalan lancar, malah komitmen yang diberikan oleh kru produksi dan para pelakon juga menjadikan urusan kerja bertambah mudah.

‘Bujang Telajak Belum Terlanjur’ yang menyingkap kisah 3 sekawan (lakonan Saiful Apek, Johan dan Nabil) yang masih belum bertemu jodoh sehinggalah mereka berkenalan dengan Puteri (lakonan Nur Fazura). Akibat desakan keluarga masing-masing yang mahukan mereka cepat berkahwin, ketiga-tiga mereka terpaksa bersaing sesama sendiri untuk memikat Puteri. Akhirnya mereka menemui satu cara terbaik untuk memenangi hati Puteri iaitu menyamar sebagai orang kurang upaya (buta,pekak dan bisu). Maka berlakulah peristiwa-peristiwa yang menggelikan hati sepanjang proses mengorat sehingga kadang-kadang hampir mengantoikan mereka sendiri. Namun, Puteri bijak menilai mereka dan dia memilih seorang dari mereka untuk dijadikan teman hidup. Jadi, antara Saiful, Johan dan Nabil, siapakah yang paling hebat di mata Puteri? Semuanya akan terjawab di akhir cerita.

Walaupun jalan ceritanya seakan tampak ringkas namun penonton pasti akan terkejut dengan ‘pemberian’ komedi dari Apek, Johan dan Nabil ini. Gabungan mereka jelas mencetuskan klimaks ketawa yang cukup maksimum untuk menghiburkan hati anda. Seperti kata produsernya, “Apa yang cukup istimewanya filem ini adalah kita memiliki Apek, Johan dan Nabil. Penonton tidak akan dapat menduga aksi lawak apa yang mampu mereka lakukan ketika ketiga-tiganya bergabung. Jika lawak salah seorang dari mereka sudah cukup menggelikan hati penonton apatah lagi jika bertiga? Lawak akan menjadi double? Tidak, ia triple! Malah Fazura sendiri kepenatan ketika di lokasi. Bukan sebab penat berlakon tetapi penat ketawa melayan gelagat Apek, Johan dan Nabil”.

Sebuah gubahan lagu yang diadaptasi dari lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ‘Maafkan Kami’ oleh Damien Mikhail (bekas ahli VE) yang dinyanyikan oleh 5Forty2 juga menjadi salah satu tarikan dalam filem ini. Penonton dihidangkan dengan persembahan rapping dan tarian istimewa dari ketiga-tiga pelawak unggul ini. Percaya atau tidak, pengarah filem ini sendiri yang menjadi kareografernya dan mereka cuma memerlukan sehari untuk berlatih tarian tersebut.

Keserasian Apek, Johan dan Nabil memang tidak dapat disangkal lagi. Bukan saja di dalam filem malah sepanjang penggambaran berlangsung. Kru-kru produksi hilang segala penat lelah setelah dihiburkan 24 jam oleh ketiga-tiga pelawak ini. Bayangkan sejurus pengarah melaungkan cut saja, mereka menyambung lakonan mereka sendiri sehinggakan kru yang masam mencuka mula ketawa terbahak-bahak. Yang memang tengah gembira pula berguling-guling gelaknya. Fazura juga sudah pandai buat lawak. Meriah sungguh sepanjang penggambaran filem ini dan tidak hairanlah jika hasilnya memang layak dilabelkan sebagai filem paling kelakar 2012.

Turut menambah gelak tawa penonton nanti ialah penampilan Ebby Yus sebagai bapa Nabil, Mustapha Kamal dan Susan Menon sebagai ibubapa Puteri dan pendatang baru, Shaheed Salim sebagai adik angkat Puteri selain dibantu oleh Azlee Khairi, Cico Harahap dan ramai lagi.

Apa yang jelas, kita mahu mencari siapa yang terhebat antara Saiful, Johan dan Nabil dalam usaha memikat Puteri. Itu hanya Fazura boleh tentukan. Siapa pula antara mereka yang paling terhebat dalam memikat hati penonton dengan lawak mereka? Itu hanya anda yang boleh tentukan!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Peserta What Men Want NTV7

Another Branding Recognition For Tune Hotels