in

Episod Terakhir Karma Penuh Kejutan

EPISOD TERAKHIR KARMA PENUH KEJUTAN & PENGAJARAN
Terbalaskah segala lara?

Drama tragis “Karma” yang telah bersiaran di kaca TV9 sejak bulan November lepas kini sudah pun hampir ke minggu penamatnya iaitu pada hari Isnin dan Selasa ini (9 & 10 Januari 2012). Drama yang dibintangi oleh pelakon-pelakon serba boleh seperti Fouziah Gous, Ziela Jalil, Aaron Aziz, Dato’ Ahmad Tarmimi, Sharifah Aleya dan ramai lagi ini telah berjaya menambat hati peminat-peminat drama tempatan.

Karma

Karmila (Fouziah Gous) merupakan seorang gadis muda yang telah berkahwin dengan Tan Sri Fahrul Sani (Dato’ Ahmad Tarmimi), seorang lelaki berkerjaya yang jauh lebih tua darinya. Walaupun beza usia yang agak ketara tetapi kerana amat mencintai Tan Sri Fahrul Sani, Karmila sanggup menjadi isteri keduanya dan tidak menyimpan apa-apa niat untuk mengejar harta Tan Sri. Pelbagai dugaan dan musibah telah dilaluinya, lebih-lebih lagi apabila madunya, Puan Sri Waheeda (Ziela Jalil), enggan berbaik dengannya walaupun sudah banyak kali Karmila cuba membuktikan bahawa dirinya ikhlas dan tidak berniat jahat.

Konflik mula menggunung apabila anak Tan Sri Fahrul Sani sendiri iaitu Qayyum (Aaron Aziz) telah menaruh perasaan terhadap Karmila. Qayyum selesa dengan kehadiran Karmila di dalam keluarganya dan tersentuh dengan kelembutan dan keikhlasan yang terpancar dari dirinya. Sebagai ibu tiri kepada Qayyum, memang sukar dan rungsing buat Karmila apabila terpaksa berdepan dengan situasi sebegini. Seperti jatuh ditimpa tangga, sekali lagi Karmila dihimpit dengan kecelakaan apabila Tan Sri meninggal dunia selepas dia melahirkan anak mereka. Ini membuatkan Karmila hilang upaya untuk berfikiran dengan waras lantas dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan akibat “sakit meroyan”.

Memang sejak bergelar “madu”, hidup Karmila disulami dengan begitu banyak pancaroba dan dugaan sehingga dia hampir menjadi gila. Sebahagian harta yang seharusnya diwarisi oleh anak Karmila setelah Tan Sri meninggal dunia, telah disekat oleh Puan Sri Waheeda kerana tidak mahu madu dan anak tirinya mendapat walau sesen dari harta Tan Sri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sama dengan memasukkan api ke dalam perut mereka dan mereka yang demikian akan ditempatkan di dalam api neraka Sa’ir yang menyala-nyala.”
(Surah an-Nisa’, ayat 10)

Di dalam segala cabaran itu, hadir Ustaz Haikal (Fizz Fairuz), adik kandung kepada Tan Sri, yang begitu mengambil berat tentang Karmila dan bersedia untuk menjaganya serta anaknya yang masih kecil itu. Tan Sri telah memberi amanah kepada adiknya itu untuk melindungi dan memberi tunjuk ajar yang benar kepada Karmila walaupun tanpa kehadiran seorang suami di sisinya.

Hidup keluarga Tan Sri setelah ketiadaannya semakin tunggang langgang dan bercanggah dari ajaran agama Islam. Anak perempuannya, Wafida (Sharifah Aleya), sudah mula berani membawa teman lelaki ke rumah dan tidak segan silu untuk menghirup air arak di khalayak ramai. Kerana telah buta akibat harta duniawi, dia telah lupa tentang tanggungjawabnya sebagai seorang wanita Islam. “Ibu borek, anak rintik”, itulah pepatah yang sesuai apabila Puan Sri Waheeda juga ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki muda yang baru dikenalinya. Qayyum semakin malu dengan segala perkara ini dan walaupun sudah berkali-kali menasihati ibu dan adik perempuannya, mereka tetap tidak mahu mendengar kata-katanya.

Bolehkah Qayyum dan Ustaz Haikal menunjukkan keluarga tercintanya ke jalan yang lurus dan benar? Atau mungkinkah penyeksaan Karmila yang dialaminya selama ini tidak akan berakhir? Semuanya akan terjawab di dalam MINGGU TERAKHIR Karma yang akan bersiaran pada 9 & 10 Januari ini (Isnin & Selasa) jam 8.30 malam hanya menerusi slot Ratu di TV9.

Selamat menonton dan semoga drama ini dapat menjauhkan kita dari segala perkara yang tidak dingini dan sekaligus mendekatkan kita dengan Allah SWT…

Karma

Karma

Karma

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Secrets For Sale di ntv7

Dina Reveals Her Fantastic Year 2011