Mencari Ketenangan di Tengah Kota di Grand Blue Wave Hotel Shah Alam
oleh Shah Shamshiri
Setiap kali kita bersiar-siar di luar kota untuk menenangkan fikiran pernahkah terlintas di fikiran untuk bermalam di tengah kota di luar Kuala Lumpur demi mencari ‘ketenangan’ yang berlainan? Maklumlah, sekarang kita sering sibuk dengan tanggungjawab kerja dan tugasan sehingga kadang-kadang waktu untuk membeli-belah dan mencuba tempat-tempat makan terbaik di ibukota sendiri pun tiada.
Namun semua itu boleh berubah sekiranya anda cuba untuk bermalam di tengah bandaraya Shah Alam. Satu malam sahaja sudah memadai untuk menikmati prasarana moden yang tersedia di ibu negeri Selangor ini. Dan di manakah tempat yang paling sesuai untuk bermalam di Shah Alam kalau bukan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam.
Seperti namanya, hotel mewah bertaraf antarabangsa ini menawarkan perkhidmatan yang gah atau ‘grand’ buat setiap para pengunjungnya. Ia tersergam indah di tengah-tengah kawasan paling penting di Shah Alam . Dengan lokasi strategiknya yang berdekatan dengan pusat membeli-belah, serta Masjid Shah Alam yang indah (terkenal dengan gelaran masjid biru) hotel ini menepati citarasa ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Hotel yang menyediakan 341 buah bilik ini menampilkan suasana yang indah serta selesa buat para pengunjung. Dilengkapi dengan tingkat eksekutif (tingkat 18 dan 19) serta tingkat khas buat wanita sahaja (tingkat 17), pusat kesihatan serta spa, dan sudah tentunya sebuah kolam renang yang hebat, hotel ini dikatakan memenuhi setiap kehendak penghuninya.
Ditambah pula dengan kemudahan lain seperti ruang-ruang mesyuarat dan dewan, hotel ini mampu menampung acara-acara tertentu. Selain itu, hotel ini juga menyajikan hidangan terbaik mereka di Semarak Cafe, sebuah restoran keluarga yang memenuhi keperluan selera pengunjung.
Tidak kira sajian Asia atau barat, semuanya ada di sana. Selain Semarak Cafe, terdapat juga Borak-Borak, sebuah kafe yang sesuai untuk bersantai dan merehatkan minda sambil menikmati secawan kopi dan hidangan ringan.
Buat yang sukakan sajian Jepun pula bolehlah singgah di Agehan Japanese Restaurant dan Restoran Cina Tung Yuen untuk makanan menu Cina yang lazat.
Jadi buat anda yang tidak pernah terfikir untuk mencuba bermalam di pusat kota Shah Alam, ini mungkin masanya. Dengan pelbagai tarikan seperti I City dan lain-lain di bandaraya ini, Grand Blue Wave pasti pilihan yang bijaksana. Tak percaya? Cubalah sendiri, anda pasti puas hati!