SLOT CITRA : SENYUMLAH PAPA 12 SEPTEMBER 2008 DI RTM2
Realiti bergelar bapa tunggal tidaklah semudah disangka. Dua tanggungjawab sekaligus terpaksa dipikul dalam satu masa apatahlagi untuk melayan kerenah anak-anak yang memasuki tahap usia menjengah remaja yang sememangnya menuntut kesabaran untuk ditangani satu persatu secara berhemah.
Dengan ditunjangi pelakon utama Zamarul Hisham dan Zizie Ezette selain dibantu Mohd Syafie Naswip, Maysarra, Watie Elite, Angelina Tan dan Gana Paragasam, RTM2 membawakan drama Senyumlah Papa (12 September 2008), Jumaat, jam 10.00 malam mengisi slot Citra yang mengajak penonton berkongsi plot kisah bapa tunggal yang realitinya turut berlaku dalam masyarakat kita.
Senyumlah Papa mengisahkan renteten kehidupan seorang bapa tunggal bernama Khalid yang mempunyai dua anak, Qayyum dan Hawa. Kematian isterinya telah merubah sikapnya secara mendadak dari seorang yang terlalu mementingkan kerjaya kepada seorang bapa yang ingin menjadi sahabat kepada anak-anaknya.
Kematian isterinya akibat leukemia juga telah membuka mata dan menyedarkan Khalid untuk menjalani gaya hidup yang sihat demi memastikan anak-anaknya tidak mewarisi penyakit genetik arwah isterinya.
Hawa yang masih kecil gembira dengan perhatian penuh yang diberikan ayahnya itu tetapi sebaliknya pula bagi Qayyum yang menginjak remaja kerana beranggapan hilang kebebasan seperti yang dikecapi teman-teman sebayanya kerana tindakan ayahnya yang telah mengaturkan jadual seharian mereka.
Sekali lagi dugaan datang dalam keluarga mereka apabila Hawa disahkan turut menghidap leukemia. Khalid mula hilang arah dan cuba mengumpul kekuatan untuk menghadapi situasi sukar dalam hidupnya itu demi janjinya terhadap arwah isterinya.
Sejak itu Khalid tanpa jemu mencari penawar kepada penyakit Hawa. Terlalu obses mencari penawar membuatkan Khalid mengenepikan masa-masa gembira di samping keluarga yang diperlukan oleh anak-anaknya.
Dapatkah Hawa kembali pulih seperti biasa? Apakah tindakan yang diambil Qayyum dan Hawa untuk memastikan ayah mereka kembali ceria? Untuk itu saksikan drama menyentuh hati terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd, Senyumlah Papa (12 September 2008) mengisi slot Citra, Jumaat, jam 10.00 malam di RTM2.