Suara lunak merdunya tidak menjana tarikan yang segah mana. Buktinya, Mila tidak mempunyai kelab peminat seawal penubuhan kelab peminat Heliza dan Dafi. Mengapa ini berlaku?
Segalanya berubah dari minggu ke minggu, vokal Mila menampakkan satu kualiti yang berhasil. Kita telah saksikan pada malam ini Mila telah melalui fasa peningkatan yang begitu ketara. Saya kagum dengan pencapaian Mila.
Suaranya sudah matang dan mempunyai tone yang dikehendaki dalam industri muzik tempatan. Lagu pop dan balada seolah menagih sentuhan suara Mila selepas ini.
Keselesaan Mila ketika mendendang lagu Pudar (Rossa) dengan gerak tari keceriaan serta vokal yang mantap bikin ramai yang jatuh hati dengan Mila. Bukan setakat itu sahaja, Mila mencatas halangan demi halangan.
Ternyata untuk lagu duetnya, My Heart bersama Ebi terus membuka laluan cemerlang dengan persembahan dramatis yang cukup romantis. Satu-satunya aksi roman percintaan yang tidak terduga, kreatif dan inovatif dari Mila & Ebi.
Begitu menjadi dan cocok sekali. Secara umumnya, Mila akhirnya meletop dengan magik memberangsangkan dalam konsert ke 9 ini. Syabas Mila! Sebagaimana yang diduga, Mila menerima biasiswa yang lumayan untuk ke pentas akhir minggu hadapan. Tahniah!
Mungkinkah Mila akan melakukan magiknya lagi? Mungkinkah magik Mila bakal menggendong Mila kepada trofi kejuaraan AF5? Kalaulah benar menjadi realiti, nampaknya kita terpaksa akur, juara AF5 dimiliki oleh pelajar perempuan.
Dan ini yang anda ingin lihat bukan? Kita dah jemu melihat klisenya 4 juara berderet-deret digondol oleh kaum Adam, mengapa tidak kali ini anda naikkan nama Mila sebagai juara? Anda bersetuju? Teruskan mengundi Mila!