Padah Percaya Si Mulut Manis Dalam Telemovie Manis-Manis Mulut Di TV1
Seseorang itu pastinya mudah terpedaya dengan janji-janji dan mulut manis terutama bila ianya diucapkan oleh seorang wanita. Namun tidak terkecuali juga jika seorang lelaki yang mengucapkannya dengan tawaran lumayan yang bakal diberikan jika memenuhi kehendak mereka.
Begitu kisah yang berlaku dalam diri Badrul lakonan Azhar Sulaiman di samping Acong Sweetchild, Anita Baharom, Atie AF, Fathil Dani, Watie Sadali dan Atty Sulaiman dalam drama kekeluargaan, Mulut-Mulut Manis mengisi slot Panggung Seri pada 17 Disember ini, jam 9.00 malam di TV1 yang realitinya berlaku di kalangan masyarakat kita yang beristeri lebih daripada satu.
Azhar Sulaiman bersama kedua-dua isterinya lakonan Atie AF dan Anita Baharom
Bertitik tolak cuba untuk memenuhi tuntutan kedua-dua isterinya yang pada mulanya aman bahagia bermadu namun kemudiannya berubah jadi saling berbalah, Badrul cuba untuk menambah pendapatan keluarga dengan mencari kerja sampingan. Dia sedar, pendapatannya sebagai penceramah dan pakar jualan di sebuah syarikat jualan langsung atau MLM bukanlah sebanyak mana. Justeru dia terpaksa mencari jalan memuaskan hati kedua-dua isterinya. Apatahlagi mereka sering mempertikaikan kelakuan Badrul yang tidak berlaku adil kepada mereka. Badrul mula pening kepala.
Jadi Badrul mula mencari jalan untuk menambah pendapatannya. Dia secara senyap terpaksa memberi ceramah jualan di sebuah syarikat yang menjadi pesaing kepada syarikatnya sekarang. Kehebatan Badrul telah lama diketahui oleh Salim, juga seorang pengusaha syarikat jualan langsung. Jadi, untuk memenuhi kehendak kedua-dua isterinya, Badrul terpaksa berulang alik antara kedua-dua syarikat itu.
Oleh kerana terlalu sibuk dengan tugasan barunya, Badrul sering lewat pulang ke rumah. Masanya kini terlalu terhad untuk dibahagikan antara isterinya dan kerja. Ini menimbulkan kecurigaan di fikiran Rita dan Ima. Mereka telah berpakat untuk mengintip segala pergerakan Badrul bagi memastikan apa yang diberitahunya benar belaka. Kadang-kala Badrul diserang hendap oleh mereka sehingga membuatkan dirinya teramat marah dengan situasi yang dihadapinya.
Di dalam kebingungan ini, Badrul mendapat durian runtuh apabila Salim menawarkan jawatan lembaga pengarah syarikat, gaji tinggi dan mendapat saham syarikat 51% tanpa mengeluarkan modal. Dia begitu gembira lalu terus menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang. Setelah menerima tawaran Salim, Badrul mula yakin yang hidupnya kembali indah seperti sebelum ini dengan pendapatannya yang bertambah. Dia mula mencari rumah untuk menempatkan isteri keduanya Ima. Dia berjumpa dengan seorang ejen hartanah bernama Fida. Fida seorang yang cantik, bergaya dan pandai bercakap seperti Badrul juga. Badrul sungguh teruja dan tertarik dengan kecantikan dan keyakinan Fida.
Sejak pertemuan itu, Badrul banyak menghabiskan masa bersama Fida. Badrul mula angau memikirkan Fida. Fida pun melayan segala kerenah Badrul walaupun tahu dia berkemungkinan menjadi isteri ketiga. Badrul ajak Fida berkahwin tetapi sebelum sempat apa-apa berlaku, Rita dan Ima mengetahui rancangan Badrul lalu memulakan perang dan meminta cerai. Kawan Ima, Samy seorang peguam perceraian memberi nasihat kepada Ima supaya harta Badrul dibahagikan sama rata.
Badrul terkejut dengan desakan penceraian dan agihan harta dari isteri-isterinya. Dia tidak mahu hidup susah lagi dan tidak mahu hilang rumah yang baru dibeli melalui Fida. Fida memberi idea untuk meletakkan rumah baru itu di bawah namanya untuk sementara sehingga kemelut ini berakhir dan Badrul bersetuju.
Sesudah Badrul selesai bercerai dengan Rita dan Ima serta mengetahui pembahagian harta, dia dikejutkan di pejabatnya dengan surat dari peguam yang menyatakan syarikat Salim sebenarnya menanggung hutang yang banyak. Badrul cuba menghubungi En Salim tapi tidak berjaya. Kini barulah Badrul sedar yang dia telah teraniaya oleh kata-kata manis Salim. Badrul akan diistiharkan muflis jika tidak dapat membayar hutang syarikat. Sudah jatuh, ditimpa tangga pula.
Lalu bagaimanakah kesudahannya? Dapatkah Badrul mengembalikan kebahagiaan dalam keluarganya atau segalanya sudah jadi sia-sia belaka?