RTM Siar Konsert Jamal Abdillah J2011 Lagenda Pada 12 Disember Di TV1
Peminat penghibur tersohor negara, Jamal Abdillah, tidak seharusnya melepaskan peluang yang diberikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang akan menyiarkan Konsert Jamal Abdillah J2011 Lagenda, yang dipersembahkan di Istana Budaya pada Januari lalu menerusi saluran TV1.
Konsert Jamal Abdillah J2011 Lagenda adalah tribute Jamal kepada penyanyi lagenda nusantara seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, M.Bakri, Oslan Husin, S. Affendi, Ismail Harum, Eddy Silitongga, Yopie Latul dan Datuk Ahmad Jais. Lagu-lagu terpilih untuk dinyanyikan diberi nafas baru dengan gubahan muzik yang lebih segar dari komposer Eddie Marzuki dan penampilan khas dari peniup seksofon terkenal, Datuk Ahmad Nawab.
Konsert hebat yang bakal menemui penonton pada 12 Disember 2011, jam 9.30 malam ini, pastinya mampu dijadikan kayu pengukur kepada kemampuan penyanyi berumur 51 tahun ini, dalam menyampaikan lebih 30 buah lagu yang hampir kesemuanya bernada tinggi sepanjang dua jam persembahannya.
Generasi yang lahir pada era 70-an dan 80-an kebanyakannya meminati suara emas Jamal Abdillah. Atau paling tidak pun meminati lagu dan membesar dengan lagu-lagu seperti Derita Cinta, Azura, Perpisahan Tanpa Relamu dan sebagainya. Namun menerusi konsert ini Jamal bertindak bijak dalam pemilihan lagu dengan membawakan lagu yang jarang dinyanyikan sebelumnya termasuklah lagu Di Sudut Kamar Hatiku, Aku, Penyiksaanku dan Sepi Seorang Perindu. Penonton pasti teruja menyaksikan persembahan Jamal menyampaikan lagu Jeritan Batinku dengan iringan peniup seksofon memukau Datuk Ahmad Nawab.
Kepada peminat Jamal Abdillah, usah ketinggalan menyaksikan konsert ini HANYA DI TV1.