Kenali Warisan Malaysia Dalam Dokumentari Selayang Pandang Di TV1
Pendekatan menerbitkan dokumentari sememangnya langkah terbaik dalam menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk mendalami sesuatu perkara berbanding penyampaian maklumat menerusi bahan bacaan atau sebagainya.
Justeru pendekatan sama diambil Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal menyiarkan dokumentari terbaharu bertajuk Sealayang Pandang Warisan Malaysia mulai 29 November ini, setiap Selasa, jam 9.30 malam menerusi TV1 yang berkongsi memaparkan warisan kebudayaan negara untuk dikongsi dengan penonton setianya.
Dokumentari ini pastinya bakal menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk mengenali dengan lebih rapat mengenai warisan tanah air selain turut menyuntik kesedaran masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tentang pentingnya usaha memelihara warisan kebudayaan dan semulajadi negara ini.
Menerusi dokumentari ini juga generasi lama boleh mengulangkaji semula tentang warisan tanah air dan bagi generasi muda pula, ia satu pengalaman baru untuk mereka mengetahui lebih mendalam tentang pengertian warisan negara.
Penonton pastinya bukan sahaja berpeluang menyaksikannya pada masa kini sebaliknya dokumentari yang telah pun dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ini boleh disimpan dan dijadikan rujukan bagi generasi akan datang.
Dokumentari enam episod ini dimulakan siarannya dengan tajuk mengenali Warisan Kita diikuti episod Warisan Seni Bina, Warisan Arkeologi, Warisan Semula Jadi, Warisan Budaya dan Tokoh-tokoh Warisan.
Selain memaparkan tentang kekayaan warisan Malaysia yang merangkumi sejarah budaya dan nilai-nilai jati diri rakyatnya, dokumentari ini juga meliputi warisan seni bina, arkeologi, khazanah alam semula jadi, tokoh orang hidup, adat dan budaya, seni persembahan, bahasa dan kesusasteraan.
Pada masa sama, dokumentari ini dianggap sebagai cabaran untuk mencari lebih banyak warisan yang terbiar agar usaha negara memelihara warisan kebudayaan dan semula jadi Malaysia dapat diteruskan.