in

Review Bali Niksoma Boutique Beach Resort

Kelibat Ketenangan di Bali Niksoma
oleh Shah Shamshiri

Dengan seribu satu tarikan di sekitarnya, tidak hairanlah sekiranya Pulau Bali di Indonesia digelar sebagai salah satu destinasi percutian pantai paling popular di dunia. Dan atas dasar itu jugalah, terdapat ribuan tempat penginapan bagi pilihan para pengunjung. Namun ada beberapa tempat penginapan yang lebih menarik daripada biasa dan di antaranya adalah Bali Niksoma Boutique Beach Resort.

niksoma 2

Tersergam indah di tepian pantai peribadi di kawasan Legian, resort yang penuh gaya dan berkonsep butik ini menampilkan 57 buah bilik yang sangat cantik. Ini terdiri daripada 10 bilik Superior, 34 bilik deluxe, 8 Junior Suite, 4 suite dan juga sebuah villa khas yang mempunyai 2 bilik serta sebuah kolam mandi peribadi. Setiap bilik menghidupkan suasana tenang buat para tamu dengan sentuhan hiasan yang sangat menepati persekitarannya.

Ini diindahkan lagi dengan kewujudan sebuah spa dan juga kolam mandi bertingkat yang menawarkan pemandangan mengagumkan di tepi pantai. Sambil menikmati hidangan lazat di Restoran Hitana di tepi kolam renang resort ini, para tamu dapat juga menghayati pemandangan alam sekeliling yang dibina di sebuah kawasan taman tropika.

Direka secara unik oleh jurubina tersohor Indonesia, Hadiprana, Bali Niksoma menggabungkan senibina hebat Bali serta senibina moden masa kini. Di samping senibina serta senireka dalaman dan luaran yang menarik, para pekerja di sini juga menawarkan kualiti perkhidmatan yang sangat baik setaraf hotel-hotel lima bintang di dunia. Setiap tamu dilayan mesra dan tidak pernah diabaikan sekiranya memerlukan bantuan.

Jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila resort ini dinobatkan anugerah “The Indonesia Leading Boutique Hotel 2010” oleh pihak Indonesia Travel & Tourism Awards yang sama-sama diberikan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia. Proses pemilihan pemenang anugerah diterajui oleh juri-juri profesional yang terdiri daripada pakar dunia perhotelan dan pelancongan serta undian secara on-line.

Untuk itu, jikalau anda berwisata ke Bali, pastikan Bali Niksoma Boutique Beach Resort menjadi pilihan penginapan anda kerana perkhidmatan dan kemudahannya memang luar biasa. Setelah bermalam di sini, sudah tentu anda mahu berkunjung lagi!

niksoma 3

niksoma 1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adibah Nor dalam Skuad FAB TV3

Gambar Sekitar Karnival Upin Ipin TV9