in

Drama Nasuha & Hati Yang Mengerti

TV2 Siar Dua Drama Sempena Maal Hijrah 1433H : Nasuha Dan Hati Yang Mengerti

Menghitung hari sambutan Maal Hijrah 1433H yang diraikan seluruh umat Islam 27 November depan pastinya antara saat yang mengujakan semua. Mana tidaknya, bagi sesiapa yang belum memiliki azam sempena sambutan tahun baharu kalendar Islam ini, masih ada masa lagi untuk berbuat demikian.

Berperanan mengingatkan semua pihak tentang hari yang mana besar pengertiannya bagi umat Islam itu, TV2 tidak ketinggalan berkongsi sambutan dengan menayangkan dua drama bertajuk Nasuha pada 25 November 2011, jam 1.30 petang sebelum diikuti keesokkan harinya dengan drama Hati Yang Mengerti pada 26 November 2011, jam 10.00 pagi.

Putri Najwa dan Shajiry bergandingan dalam Nasuha

Tontoni lakonan penuh penghayatan Sabrie Fadhil, Roslan Salleh, Putri Najwa, Shajiry dan Aleza Shahdan dalam Nasuha yang berkisar kehidupan Haji Riduan yang telah lama bersara daripada menjadi Inspektor Polis. ASP Riduan terkenang kembali suatu ketika dahulu ketika dirinya masih bertugas dan dipertanggungjawabkan untuk memberkas perogol bersiri. Namun usahanya tidak berjaya.

Setelah 10 tahun, isterinya meninggal dunia dan dia tinggal bersama dua orang anaknya. Haji Riduan mempelajari ilmu agama di Madrasah dan berjumpa dengan lelaki warak dikenali sebagai Ustaz Nasuha. Pertemuan antara Ustaz Nasuha dengan Haji Riduan menimbulkan persoalan kepada Ustaz Nasuha yang mana seperti pernah melihat Ustaz Riduan. Lalu siapakah sebenarnya Ustaz Nasuha? Apakah kaitan dirinya dengan Haji Riduan?

Diikuti Hati Yang Mengerti yang membawakan lakonan berkesan Azri Iskandar, M.Rajoli, Kuza, Mustaffa Kamal, Sofia Arshad, Fadilah Mansor dan Mohammad Suffian tentang kisah pemuda jalanan bernama Kamal yang melakukan pelbagai jenayah bagi meneruskan kelangsungan hidup di kota. Kini menginjak usia 30 tahun, dia masih meneruskan jenayah seperti memeras ugut, membunuh, memukul dan sebagainya. Dia amat licik sehingga gagal dijejaki pihak berkuasa. Malah Kamal cukup dikenali di kalangan samseng tempatan. Jiwanya yang keras, tidak mengenal erti belas ihsan kerana baginya paling penting dia menerima bayaran yang lumayan.

Satu hari Kamal telah diupah oleh Murad, seorang tokoh perniagaan terkenal yang berniat jahat mahu membunuh isterinya sendiri bernama Ain kerana mahu membolot harta milik isterinya itu. Tugas itu mudah diterima oleh Kamal kerana Murad menjanjikan tawaran yang lumayan sekiranya dia mampu membunuh Ain.

Malang tidak berbau apabila dalam perjalanan untuk membunuh Ain, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya di sebuah kampung. Dia kemudiannya diselamatkan oleh Yusuf sekeluarga termasuklah dua anaknya, Lia dan Ali. Mereka melayan Kamal dengan baik sekali dan cuba membimbing Kamal menjadi muslim yang sebenar. Ketika itu mula terbit keinsafan di hati Kamal.

Setelah sembuh dia menemui Ain dan berterus-terang tentang hasrat Murad yang mengupah Kamal mahu membunuhnya. Ain tidak terkejut sebaliknya dia bersyukur kerana Allah membuka pintu Kamal bertaubat. Namun mampukah Kamal berubah sepenuhnya daripada lembah yang penuh maksiat? Berjayakah dia kembali ke pangkal jalan?

Tonton dua drama menarik tayangan Maal Hijrah 1433H hanya di TV2.

Mustafa Kamal dan Kuza sebagai pasangan suami isteri dalam Hati Yang Mengerti

Azri Iskandar dan M.Rajoli dalam Hati Yang Mengerti

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Honours National Football Heroes Special Aircraft Livery

Lirik Lagu Sedih VIP