PERTANDINGAN BINTANG KECIL 2008 PERINGKAT ZON TENGAH PADA 23 OGOS 2008, JAM 03.00 PETANG DI PLAZA ALAM SENTRAL, SHAH ALAM
Pertandingan Bintang Kecil 2008 Peringkat Zon Tengah yang dianjurkan oleh stesen radio KLfm dan Radio Television Malaysia (RTM) khas untuk si kecil mengetengahkan bakat masing-masing ini bakal berlangsung pada 23 Ogos 2008 (Sabtu), jam 3.00 hingga 5.00 petang yang diadakan bertempat di Plaza Alam Sentral di Shah Alam.
Peserta yang dipilih telahpun melalui satu sesi ujibakat dan berjaya memenangi pertandingan Bintang Kecil di peringkat negeri. Tiga wakil dari setiap negeri yang terlibat iaitu Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor akan berentap untuk meraih gelaran Juara Bintang Kecil 2008 Peringkat Zon Tengah.
Pertandingan ini menyenaraikan sembilan finalis kesemuanya dan mereka ialah; Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, Ili Nurhuda Rifhan Basiron, Norsayzrin Saprudin, Wan Mohd Hafizuddin Mohd Anuar, Mohammad Hazim Azmi, Mohd Shafeiq Shazwan, Muhammad Isma Danial Mat Zin, Saidatul Shahira Zainal Abidin dan Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain.
Wakil Negeri Sembilan yang pertama ialah Siti Amirah Dayana Amerullah yang mempertaruhkan lagu pilihannya Satu Harapan nyanyian Jacklyn Victor. Dengan pengalaman ibunya yang pernah menjadi juara Asia Bagus 1996, pasti Siti Amirah sudahpun bersedia menghadapi pertandingan ini. Seterusnya, adik Ili Nurhuda Rifhan Basiron, pengemar lagu Irama Melayu ini telah memilih lagu Farah Wahida yang bertajuk Semuanya ada di Sini. Peserta terakhir dari Negeri Sembilan, Norsayzrin Saprudin pula akan membawa lagu Erti Hidup nyanyian asal Dayang Norfaizah sebagai pilihannya untuk Pertandingan Bintang Kecil 2008 Peringkat Zon Tengah kelak.
Kuala Lumpur juga menghantar tiga wakilnya iaitu Muhammad Isma Daniel Mat Zain, Saidatul Shahira Zainal Abidin dan Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain. Adik Muhammad Isma, seorang penari kanak-kanak Kelab Budaya DBKL, telah memilih lagu dari genre Irama Melayu Asli, iaitu lagu Zapin Budi nyanyian Tan Sri S.M Salim. Adik Saidatul Shahira pula telah memilih lagu dari Ratu Rock Malaysia, yang juga merupakan idolanya iaitu lagu Rama-Rama dendangan Ella. Wakil terakhir bagi Kuala Lumpur ialah Sharifah Nurilmuhayati dan walaupun meminati bidang perubatan, beliau tetap mencuba nasib dalam pertandingan ini dengan mendendangkan lagu klasik berjudul Warisan, nyanyian Allahyarham Sudirman.
Negeri Selangor pula menghantar wakilnya Wan Mohd Hafizuddin Mohd Anuar. Dan untuk pertandingan kali ini pula, beliau akan menyanyikan lagu Gemuruh dendangan Faizal Tahir. Mohammad Hazim Azmi, wakil seterusnya, telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan Bintang Kecil 2008 anjuran UMNO Tanjung Karang. Beliau pula bakal menyanyikan lagu Bahtera Merdeka dendangan Datuk Siti Nurhaliza. Peserta terakhir dari negeri Selangor ialah Mohd Shafeiq Shazwan. Juga merupakan seorang pengawas sekolah yang berpengalaman dalam nyanyian nasyid, adik Shafeiq memilih untuk mendendangkan lagu M. Nasir bertajuk Bonda di hari pertandingan nanti.
Pastinya pelbagai hadiah menarik menanti peserta-peserta termasuk wang tunai bernilai RM 1,000 beserta hadiah iringan Trofi, sijil dan hamper untuk pemenang tempat pertama, wang tunai bernilai RM 800 beserta hadiah iringan Trofi, sijil dan hamper untuk pemenang ke-dua dan RM 500 beserta hadiah iringan Trofi, sijil dan hamper untuk pemenang ke-tiga. Tidak lupa juga kepada pemenang saguhati yang bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM 300.
Kepada mereka yang berminat untuk menyaksikan bakat-bakat hebat adik-adik ini, bolehlah menghadiri pertandingan ini pada 23 Ogos 2008, pada hari Sabtu di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Pertandingan akan berlangsung selama dua jam bermula pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang. Untuk maklumat lebih lanjut, dengarilah KLfm di frekuensi 97.2 ataupun layari laman web rasmi KLfm di www.kl.fm atau www.rtm.gov.my.