Buat julung kalinya majalah EH! dan Lancome menganjurkan Anugerah Stail EH! 2008. Majlis gilang-gemilang ini telah diadakan di GSC Signature, Tingkat 4, The Gardens Midvalley pada hari Rabu, 6 Ogos 2008 jam 7.00 malam.
Diketuai oleh Pengarang Majalah EH!, Asiah Mion, senarai pencalonan Anugerah Stail EH! telah dilakukan sambil dibantu oleh para panel serta rakan media dalam industri hiburan tanahair. Lebih daripada 100 calon telah disenarai pendek, dan mereka ini terdiri daripada bintang yang sering menghiasi dada-dada media massa, mereka yang sering tampil bergaya di acara-acara prestij dan tentunya mereka yang terlibat secara langsung dalam industri hiburan ini.
13 kategori telah dipertandingkan termasuk satu anugerah utama – “Anugerah Stail EH! 2008”. pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada undian yang telah dibuat oleh pembaca Majalah EH! dan juga orang ramai. Selain daripada itu, undian juga boleh dibuat melalui laman web Majalah EH! dan suratkhabar Berita Harian bermula pada 1 Jun 2008 dan undian telah berakhir pada 31 Julai 2008.
Anugerah ini dilakukan bertujuan mendekatkan industri hiburan dengan fesyen dan kecantikan. Pada dasarnya ia mahu membuka mata dan mengajak jenama fesyen terkemuka antarabangsa mendekati dunia hiburan tempatan yang menyaksikan ramai golongan selebriti tempatan yang boleh diketengahkan sebagai model dan jurucakap.
Acara pada malam itu juga menyaksikan bintang hebat dan tersohor, Aznil Nawawi menggondol dua anugerah, Artis Mesra Peminat dan anugerah kemuncak, Anugerah Stail EH! 2008. Ternyata agak terharu dengan pengiktirafan yang diberi, Aznil mengakui dia pernah menjadi mangsa fesyen rentetan gaya berani mati dan ‘tidak peduli apa orang nak cakap’ sewaktu mula mengacarakan program Pop Kuiz.
Acara yang sepatutnya bermula sekitar 8 malam akhirnya hanya dapat dimulakan pada jam 9.15 malam. Biarpun pertama kali dianjurkan dan kelihatan agak kelam-kabut susunan programnya, anugerah seperti ini harus diberi pujian kerana masih lagi memartabatkan entiti peminat yang cukup dekat di hati selebriti sebagai pengundi yang menentukan pemenang.
Ada juga yang beranggapan anugerah yang dipertandingkan ini bersifat syok sendiri atau anugerah murahan tetapi mungkin perlu merenung seketika kepada konsep dan gaya sebenar majalah EH!
Senarai Pemenang Anugerah Stail EH!
Anugerah Stail EH! 2008: Aznil Nawawi
Selebriti Wanita Paling Bergaya: Camelia
Selebriti Lelaki Paling Bergaya: Anuar Zain
Selebriti Wanita Susuk Tubuh Cantik: Dynas
Selebriti Lelaki Susuk Tubuh Segak: Fahrin Ahmad
Selebriti Mesra Peminat: Aznil Nawawi
Selebriti Wanita Paling Seksi: Amber Chia
Selebriti Lelaki Paling Seksi: Andy (Estranged)
Selebriti Berbakat Unggul: Elly Suriati
Selebriti Paling Fotogenik: Rozita Che Wan
Selebriti Pencapaian Terbaik: Faizal Tahir
Selebriti Pilihan Kulit Majalah: Nasha Aziz
Selebriti Kulit Cantik: Zizie Ezette
Pasangan Selebriti Paling Diminati: Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.
Rina daripada 8TV dan Tini, juruhebah Hotfm akan menjadi pengacara pada malam tersebut manakala artis-artis ternama seperti Camelia, Dina (MI), Athilia dan juga Faizal Tahir akan menghiburkan para jemputan dengan persembahan hebat mereka.