Trauma Zulhuzaimi dalam Telemovie Pelangi Hitam Di TV2
Pelangi selalunya dikaitkan dengan warna-warni yang mampu menyuntik ketenangan dan keceriaan bagi sesiapa sahaja yang memandangnya. Apatahlagi jalinan tujuh warna yang terbentuk tatkala berakhirnya waktu hujan itu hanya sesekali bagi seseorang itu berpeluang menyaksikannya.
Namun bayangkan sekiranya pelangi itu bewarna hitam pekat. Masihkah ianya dipanggil pelangi yang berbeza sama sekali warnanya dengan sinonimnya kini. Hakikatnya ia sekadar gambaran realiti yang ingin disampaikan kepada masyarakat dalam menggambarkan episod hitam berlaku dalam diri seseorang.
Peristiwa hitam yang menghantui hidup Jalil semasa kecil menjadikannya trauma dan hilang pertimbangan akal yang waras. Namun ketrampilan dan pesona yang dimiliki Jalil langsung tidak menunujukkan yang dia sebenarnya orang yang dikehendaki.
Babak-babak menarik penuh mendebarkan ini melatari drama Pelangi Hitam yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 29 Oktober, jam 10.00 pagi mengisi slot Kasih yang berkongsi lakonan hebat Zulhuzaimy bergandingan bersama Elly Mazlein, Aida Radzwill, Tunku Tiara Yasmin, Kismah Johar, Adik Syafimie dan Hazirah Qasdina. Kisahnya bermula dengan watak Jalil mengalami trauma dalam hidup akibat peristiwa hitam yang menimpa dirinya dan kedua ibubapanya yang telah terbunuh semasa bercuti di sebuah resort. Sejak itu, Jalil sering mengalami mimpi ngeri hingga tanpa sedar terbawa-bawa dalam karektor hidupnya.
Jalilah, temannya semasa dia tinggal di kampung bersama datuknya kasihan pada Jalil dan sering menemaninya hinggalah mereka menjelang dewasa. Selepas kematian datuknya, Jalil dihantar ke rumah anak yatim dan membesar di sana sehingga diambil oleh Dato’ Zarina menjadi anak angkatnya dan ditatang bagai minyak yang penuh.
Setelah dewasa, Jalil menjawat jawatan yang penting di syarikat milik ibu angkatnya. Namun, Jalilah tidak pernah dilupakan olehnya. Hubungan sedari kecil yang rapat menjadikan Jalil selesa bersama Jalilah. Ketrampilan dan pesona yang dimiliki Jalil langsung tidak menunjukkan bahawa Jalil sebenarnya seorang pembunuh bersiri yang dikehendaki.
Semasa bercuti dengan Jalilah di sebuah resort, Jalil terjumpa sebatang pokok yang telah ditoreh dahannya dengan ukiran ‘Y.M & J Forever’. Lantas ukiran tersebut mengingatkan Jalil pada peristiwa hitam yang melandanya sewaktu kecil dahulu.
Jalilah ditahan Jalil yang berniat mahu membunuhnya namun Jalilah berjaya melarikan diri dan bersembunyi. Jalilah menghubungi Dato’ Zarina supaya lari ke luar negara dengan segera sebelum Jalil bertindak terhadap mereka.
Namun adakah Jalil akhirnya berjaya dibawa ke muka pengadilan? Bagaimana pula kesudahan hubungannya dengan Jalilah yang menyintainya dengan sepenuh hati?