Desaru Coast, destinasi pantai paling bergaya di Johor, kini semakin bersinar di pentas antarabangsa apabila mengumumkan kerjasama strategik bersama ONE°15 Marina, anak syarikat SUTL Enterprise, di acara gah Singapore Yachting Festival 2025 baru-baru ini. Kerjasama ini bukan sekadar cakap kosong—ianya langkah berani untuk menjadikan Desaru Coast sebagai antara pusat pelayaran dan percutian maritim terulung di rantau ini.
Dalam satu majlis penuh gaya di ONE°15 Marina Sentosa Cove, perjanjian ini dimeterai oleh tiga tokoh utama: Arthur Tay (Pengarah Eksekutif dan CEO SUTL Enterprise), Karina Ridzuan (Pengarah Perkhidmatan Perniagaan Destination Resorts and Hotels Sdn. Bhd.), dan Izrin Hashim (Ketua Pegawai Operasi Desaru Coast).
Operasi Marina Di Terminal Feri Desaru Dan Pengalaman Pelayaran Bertaraf Dunia
Melalui kerjasama ini, ONE°15 Marina Desaru Coast akan mengendalikan wet dan dry berths di Terminal Feri Desaru Coast—memudahkan kapal layar mewah berlabuh dengan penuh selesa. Tapi bukan setakat berlabuh je, tau! Turut diperkenalkan adalah pelbagai aktiviti pelayaran eksklusif yang bakal memikat tetamu, daripada acara pelayaran bertema hingga perkhidmatan sewa kapal layar persendirian.
Menurut Karina Ridzuan, “Kerjasama ini membuktikan komitmen kukuh antara Singapura dan Johor, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Kami amat teruja dapat berganding dengan ONE°15 Marina untuk memperkenalkan fasiliti marina premium dan pengalaman pelayaran curated di Terminal Feri Desaru.”
Karina turut menambah, “ONE°15 Marina Desaru Coast Malaysia akan melonjakkan lagi ekonomi maritim dan rekreasi tempatan dengan meletakkan Desaru Coast dalam peta komuniti kapal layar antarabangsa. Kita bukan sahaja bercakap tentang destinasi, tapi tentang membina komuniti maritim bertaraf dunia.”
Desaru Coast: Lebih Daripada Sekadar Transit, Sebuah Destinasi Impian
Kalau korang rasa Desaru Coast cuma tempat lepak tepi pantai biasa-biasa, korang silap besar. Ia adalah destinasi bertaraf antarabangsa yang menawarkan resort mewah seperti Hard Rock Hotel Desaru Coast, The Westin Desaru Coast Resort, Anantara Desaru Coast Resort & Villas, dan One&Only Desaru Coast. Lengkap dengan padang golf bertaraf dunia, retreat kesihatan, dan kalendar acara lifestyle sepanjang tahun, Desaru Coast benar-benar menawarkan gaya hidup mewah dalam suasana asli Malaysia.
Kini, dengan pengalaman pelayaran daripada ONE°15 Marina, tetamu akan dapat menikmati aktiviti berlayar, pelayaran sunset, dan charter yacht peribadi yang menjadikan percutian mereka lebih epik.
Komitmen ONE°15 Marina Terhadap Komuniti Maritim Asia
Arthur Tay, Pengarah Eksekutif dan CEO SUTL Enterprise, berkongsi keterujaannya, “Saya sangat teruja dengan kerjasama ini kerana ia membawa personaliti baru ke dalam rangkaian ONE°15 yang berkembang di Asia. Visi saya adalah untuk menyediakan pengalaman unik yang memperkaya komuniti ahli, pemilik kapal, dan peminat pelayaran di seluruh rantau ini.”
Kenyataan Arthur Tay bukan omong kosong—Desaru Coast kini bersedia menjadi destinasi impian untuk komuniti pelayaran serantau dan pemain industri maritim global.
Ombak Festival 2025: Acara Kemuncak Yang Tidak Boleh Dilepaskan
Berita menarik lain, kerjasama ini turut dijadikan sebagai ‘trailer’ untuk Ombak Festival 2025, acara kebanggaan Desaru Coast yang akan berlangsung pada September ini. Festival ini bakal menggabungkan muzik, seni, budaya dan pastinya gaya hidup pantai dalam satu pengalaman hebat. Tahun ini, ia akan menjadi lebih istimewa apabila komuniti pelayaran antarabangsa turut dijemput untuk menikmati festival ini sambil merasai kehebatan marina baharu Desaru Coast.
Karina berkata lagi, “Setiap tahun, Ombak Festival membawa pelbagai pengalaman seni dan budaya kepada dunia. Dengan pembukaan ONE°15 Marina Desaru Coast, festival ini akan tambah ‘lit’ dengan kehadiran para pelayar dari seluruh dunia.”
Menghubungkan Lebih Banyak Peluang Antara Johor Dan Singapura
Apa yang lebih penting, kerjasama ini bakal mengukuhkan hubungan maritim antara Johor dan Singapura, membuka laluan mudah untuk pelancong dan komuniti pelayaran. Selain daripada menyemarakkan sektor pelancongan mewah, ia juga membuka peluang untuk pembangunan komuniti tempatan melalui akses kepada pendidikan maritim dan peluang pekerjaan baru.
Ini bukan hanya tentang kapal layar dan glamor. Ini tentang membangunkan ekosistem ekonomi maritim yang mampan, dan pada masa yang sama, memperkenalkan dunia kepada keindahan budaya dan hospitaliti Malaysia.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, kerjasama antara Desaru Coast dan ONE°15 Marina ini adalah langkah visionary yang sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi! Johor memang sudah lama memiliki potensi maritim yang dahsyat, cuma belum cukup digilap. Dengan projek macam ni, Desaru Coast bukan sahaja akan melonjak sebagai destinasi percutian eksklusif di Asia Tenggara, tapi juga sebagai hub maritim antarabangsa yang hidup dan penuh warna.
Budiey rasa, kalau strategi promosi dan pembangunan komuniti tempatan diperkasa betul-betul, Desaru Coast boleh jadi ‘Monaco of the East’. Satu cadangan Budiey—kenapa tidak sekiranya selepas ini diwujudkan pula program Young Mariners untuk melatih anak-anak muda Malaysia menjadi profesional maritim bertaraf dunia? Barulah betul-betul berlayar menuju masa depan!