Filem aksi adiwira tempatan yang sekian lama dinantikan, Keluang Man, bakal menemui penonton di pawagam bermula 29 Mei 2025. Lebih daripada sekadar filem, Keluang Man menandakan permulaan kepada pembentukan ‘Astro Shaw Cinematic Universe’, sebuah usaha berani yang membawa legasi superhero tempatan ke tahap baharu. Dengan pelancaran treler rasmi dan poster utama, serta pelbagai kolaborasi kreatif yang menyokong strategi pemasaran berskala besar, ini bukan sekadar filem – tetapi fenomena budaya pop yang disuntik dengan semangat Malaysia.
Treler Rasmi Dedah Aksi Penuh Ghairah Dan Visual Bertaraf Antarabangsa
Pelancaran treler rasmi mendedahkan sebuah dunia Keluang Man versi moden – penuh dengan aksi mencabar dan visual sinematik yang memukau. Ia bukan sahaja menarik perhatian generasi baharu tetapi juga menghidupkan semula semangat peminat setia yang membesar dengan animasi lagenda ini. Bukan mudah nak capai standard antarabangsa, tapi treler ni membuktikan filem tempatan dah boleh duduk sama tinggi, berdiri sama gah.
Kata Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw, “Kami telah umumkan projek ini sejak tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan – termasuk kolaborasi dengan Kopi Wonda, kemunculan sulung sut Keluang Man sempena Hari Merdeka ke-67, dan mural ikonik di Kluang. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi permulaan kepada satu semesta adiwira tempatan yang menyatukan rakyat Malaysia.”
Tambahnya lagi, “Kehadiran jenama-jenama besar tempatan membuktikan keyakinan industri terhadap nilai dan potensi Keluang Man. Kami amat berterima kasih atas sokongan ini.”
Kolaborasi Epik Bersama Jenama Tempatan: Dari Burger Ke Kasut Eksklusif
Salah satu tarikan utama filem ini ialah kerjasama strategik dengan pelbagai jenama terkenal Malaysia. Antaranya:
Wonda Kopi Kluang edisi terhad, hadir dengan rasa asli bersama Tongkat Ali, menampilkan lima karakter Keluang Man di pek minuman dan hadiah eksklusif seperti figura mini, payung khas, komik edisi terhad dan rantai kunci. Promosi ini berlangsung di pelbagai kedai seperti 7-Eleven, Shell, Petronas, myNEWS dan Family Mart hingga 30 Jun.
Burger ‘Wonda-ful Keluang Man’ hasil kolaborasi dengan myBurgerLab menampilkan roti berwarna maroon dan sos istimewa dengan adunan Kopi Wonda – diinspirasikan oleh sut Keluang Man. Harga bermula dari RM20, dan set lengkap RM41.90.
Keluang Man WONDA Fun Run akan berlangsung pada 18 Mei di Menara DBKL bersempena program Car Free Morning DBKL. Peserta digalakkan memakai tema Keluang Man, dan 1,000 pendaftar terawal akan menerima jersi eksklusif percuma. Pendaftaran dibuka hingga 2 Mei di www.keluangman.com.
Koleksi premium oleh Royal Selangor, termasuk figurin piuter gaya bersilat yang hanya dihasilkan sebanyak 30 unit eksklusif dan pin logam bersalut emas 24K dalam edisi terhad 100 unit.
Kasut FK Sneakers hasil kerjasama dengan jenama tempatan Fung Keong, mengangkat sut retro Keluang Man ke rekaan streetwear moden.
Jersi eksklusif oleh Abstrax yang menampilkan rekaan bergaya tinggi selari dengan semangat adiwira tempatan, diperbuat daripada material premium dan tersedia di outlet terpilih.
Barisan Pelakon Bintang Dan Sutradara Visioner
Di bawah arahan Anwari Ashraf, filem ini menampilkan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar sebagai Keluang Man, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Amelia Henderson, Halim Othman, dan ramai lagi. Disokong oleh kerjasama produksi Astro Shaw, Pasal Productions, dan Idea River Run, filem ini dijangka menjadi kebanggaan baru dalam sinema tempatan.
Siri Animasi Klasik Kini Boleh Ditonton Semula
Sementara menantikan tayangan filem di pawagam, peminat boleh mengimbau semula nostalgia Keluang Man melalui siri animasi musim pertama hingga ketiga yang kini boleh ditonton di www.keluangman.com.
Kempen Digital Berskala Besar Merancakkan Fenomena Keluang Man
Untuk peminat media sosial, pelbagai kandungan menarik boleh ditonton di TikTok, Instagram, Facebook dan X Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi pendapat, reaksi, atau keterujaan anda tentang filem ini.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, ini bukan sekadar filem superhero – ini ialah manifestasi jati diri budaya Malaysia dalam bentuk sinematik. Dengan strategi pemasaran yang menyeluruh, barisan pelakon mantap, kolaborasi ikonik dan elemen nostalgia yang digarap semula, Keluang Man mampu menjadi benchmark baharu untuk filem adiwira Asia Tenggara.
Langkah Astro Shaw untuk membina semesta sinematik sendiri adalah satu langkah berani yang membuka lembaran baru dalam industri filem negara. Cadangan Budiey? Kalau momentum ni diteruskan dengan konsisten dan berani bereksperimen dengan genre serta jalan cerita, kita mungkin akan lihat Malaysia sebagai peneraju sinema adiwira rantau ini. Jadi… jom kita raikan wira gelap malam ini di layar perak mulai 29 Mei nanti!