in , ,

Ulasan Filem ‘Drop’ Hidang Ketegangan Digital Dalam Restoran Mewah

Debaran & Cabaran Dengan Kecanggihan Teknologi: Bila Telefon Pintar Jadi Alat Ugutan

Budiey baru sahaja selesai menonton filem Drop, arahan Christopher Landon, di satu tayangan eksklusif bersama media. Tayangan ini berlangsung dalam suasana yang sangat selesa dengan sistem bunyi yang mengagumkan, sampai terasa setiap detik suspens dan debaran terus ke jantung. Terima kasih yang tidak terhingga kepada penganjur kerana sudi menjemput Budiey untuk hadir dan memberikan ulasan jujur tentang filem ini.

Seperti yang kita tahu, Landon bukan calang-calang pengarah—beliau pernah mengarahkan Happy Death Day, dan kali ini, beliau menyuntik genre thriller dengan sentuhan teknologi masa kini. Konsep AirDrop yang selalu kita anggap remeh, digunakan dengan sangat sinis sebagai alat ugutan dalam filem ini. Memang cerdik premisnya, walaupun kadang-kadang terasa macam terlalu pelik untuk dicerna secara logik.

DROP

Permulaan Yang Biasa, Tapi Cepat Jadi Luar Biasa

Kisah bermula dengan Violet Gates (lakonan Meghann Fahy) yang merupakan seorang ibu tunggal dengan kisah silam yang penuh luka. Dia keluar untuk satu janji temu bersama Henry Campbell (Brandon Sklenar). Pada awalnya, semuanya kelihatan normal, tipikal dating scene yang awkward dan sedikit canggung.

Tapi semuanya berubah apabila Violet menerima satu demi satu mesej dan gambar melalui AirDrop daripada seseorang yang misteri dalam restoran itu. Apa yang mula-mula nampak macam prank budak nakal bertukar jadi mimpi ngeri apabila muncul gambar rumah Violet sendiri—dan lebih dahsyat, rakaman lelaki bertopeng berdiri dalam rumahnya!

Arahan Gila: Bunuh Atau Anak Mati

Filem ini kemudian terus berpacu laju bila Violet dipaksa untuk mencuri sesuatu dari beg Henry dan seterusnya membunuh lelaki itu—atau anaknya akan dibunuh. Budiey dapat rasakan tekanan yang membalut watak Violet. Dia tersepit antara naluri seorang ibu dan survival instinct. Sungguh pun dia tidak berani secara fizikal, semangatnya untuk melindungi anak dan adiknya buat penonton rasa terpaut.

Sepanjang filem, kita bersama Violet cuba teka siapa penghantar ‘drop’ misteri itu. Mungkinkah waiter yang terlalu peramah? Atau pelanggan yang asyik tunduk ke skrin? Dalam ruang restoran yang sempit, permainan “kucing dan tikus” ini terasa macam pentas teater yang penuh konspirasi dan drama.

DROP

Visual Gempak Tapi Gimik Kadang Terlajak

Budiey puji kreativiti Landon dari segi penggunaan visual—bila teks dan gambar dari telefon muncul besar di skrin, seolah-olah kita berada dalam kepala Violet. Teknik ni memang menarik, terutamanya bila dia berlindung dalam tandas sambil tengok kamera rumahnya. Tapi sayangnya, gimik ini cepat bosan dan terasa terlalu bergantung pada kesan visual semata-mata.

Skrip oleh Jillian Jacobs dan Chris Roach juga tidak begitu menyelami trauma Violet secara mendalam. PTSD yang dialaminya hanya jadi bahan untuk menambah ketegangan, bukan untuk memberi lapisan psikologi yang bermakna.

Akhir Yang Tidak Sebegitu Mengejutkan

Malangnya, pengakhiran filem ini agak mengecewakan. Bukan sebab ia tidak logik, tapi lebih kepada ia terlalu dijangka dan tidak meninggalkan impak mendalam. Rasa macam kita dah tahu siapa dalang di sebalik semua ni, dan bila kebenaran terbongkar, tak rasa “wow” pun—lebih kepada “oh, tu je?”. Plot twist yang sepatutnya meletup, jadi macam letupan mercun yang meletup separuh jalan.

Namun, Persembahan Fahy Tetap Padu

Apa yang menyelamatkan filem ini adalah lakonan mantap Meghann Fahy. Beliau berjaya membawa Violet sebagai seorang wanita biasa yang diletakkan dalam situasi luar biasa. Dari senyum sopan dalam situasi panik, sehinggalah keberanian yang dipaksa keluar dari jiwa yang trauma, dia memberikan segala-galanya dalam lakonan ini.

Apa Kata Budiey?

Filem Drop mungkin tidak akan dikenang sebagai thriller terbaik dekad ini, tapi ia tetap berjaya buat Budiey terleka di kerusi, berteka-teki, dan rasa berdebar-debar sepanjang 90 minit. Konsep AirDrop sebagai senjata ugutan memang unik, walaupun agak terbatas dan sukar dipercayai dari segi realiti.

Namun, kombinasi suasana restoran yang eksklusif, permainan visual yang kreatif, dan lakonan yang kuat membuatkan filem ini berbaloi untuk ditonton, sekurang-kurangnya sekali. Kalau anda suka filem dengan elemen ‘tekanan digital’ dan permainan psikologi ringan, Drop patut ada dalam senarai tontonan anda.

Kalau nak Budiey jujur—ia bukan filem yang akan lekat dalam minda, tapi cukup bagus untuk buat kita fikir dua kali sebelum buka AirDrop di tempat awam.

Jangan lupa kunci telefon, dan sentiasa tengok siapa duduk meja sebelah ya?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

40 Pasukan Elit Seluruh Dunia Sertai Kejohanan Tarian Singa Genting