Selepas lebih satu dekad, monoloQue akhirnya kembali dengan buah tangan terbaharu untuk menyemarakkan suasana Aidilfitri. Lagu “Rindu Dendam Hari Raya” yang dilancarkan pada 28 Mac 2025, bukan sekadar karya muzik, tetapi sebuah perjalanan emosi yang merangkumi kerinduan, harapan dan cinta yang mendalam kepada insan-insan tersayang, terutama sekali dalam suasana penuh makna menyambut Syawal.
Lagu Dicipta Pada Saat Akhir Demi Ciptaan Yang Tulus
Menariknya, menurut vokalis dan pengasas monoloQue, loQue, lagu ini dihasilkan dalam keadaan yang sangat spontan dan mendesak. “loQue tabik hormat pada komposer yang boleh buat lagu raya, baru seminggu puasa dah keluar lagu raya,” ujar beliau sambil ketawa kecil.
“Kalau loQue nak buat lagu raya, loQue kena betul-betul feel bulan puasa tu… jadi memang kena buat saat akhir, malam raya baru keluar muzik video. Itulah azimatnya – biar lagu ni bukan sekadar ikut musim tapi kekal sampai bila-bila.”
Perpaduan Tradisional Dan Moden Dalam Susunan Muzik
“Rindu Dendam Hari Raya” bukan sekadar lagu yang ingin menghiburkan, tetapi sebuah pengalaman sonik yang menggabungkan instrumen tradisional seperti rebana, gendang, piano dan biola dengan elemen kontemporari. Gabungan ini menghasilkan susunan muzik yang penuh syahdu, menyentuh hati dan mengimbau nostalgia takbir raya.
Menurut loQue, “Kesayuan lagu ini memang dekat dengan takbir raya… bila dengar, terus rasa macam nak balik kampung peluk mak ayah.” Malah, beliau menegaskan bahawa walaupun ramai komposer kini berlumba-lumba menghasilkan lagu yang mesra TikTok, beliau memilih untuk menyampaikan lagu yang menyentuh hati, bukannya hanya viral di media sosial.
Inspirasi Daripada Legenda Muzik Lama
Lagu ini juga lahir hasil inspirasi daripada legenda muzik tanah air era 50-an dan 60-an, R. Azmi, terutamanya lagu “Rindu Dendam”. “loQue memang ambil semangat dan roh lagu tu untuk hasilkan lagu ini… sambil memberi penghormatan kepada karya lama yang penuh makna,” kata loQue. Dalam erti kata lain, lagu ini ialah belasungkawa berseni kepada zaman emas muzik Melayu lama.
MonoloQue Kembali Dengan Tenaga Baru, Jiwa Lama
Selepas berehat dan mengalami beberapa pertukaran ahli sejak 2009, monoloQue kini kembali dengan gabungan “unsur baru” dan “orang lama” – loQue menyebut kerjasama dengan Harry ‘Misteri’, gitaris utama baru mereka, dan Loko, pemain rebana yang pernah bersama mereka sejak era Butterfingers.
Bakri “Halia” Ismail yang kini mengetuai permainan gendang berkata, “Lagu ni ada roh dia. Bukan kosong. Bahasa klasik, muzik yang penuh jiwa. InsyaAllah kekal malar segar.” Manakala Loko sendiri menggambarkan pengalaman merakam lagu ini sebagai “seronok dan menyentuh perasaan”, terutamanya apabila mendengar hasil akhir buat kali pertama.
Muzik Video Sarat Simbolisme Dan Sentuhan Peribadi
Muzik video untuk “Rindu Dendam Hari Raya” turut dilancarkan pada 29 Mac 2025, dirakam dalam suasana yang sangat spontan dan mencabar – hanya seminggu sebelum Hari Raya. Menariknya, lokasi penggambaran dibuat di rumah ibu bapa loQue di Gelampuri, membawa penonton kepada konsep rumah kampung klasik pada malam rayayang hangat dan penuh cahaya.
Menurut loQue, “Babak kamera zoom ke tiang seri rumah tu… itu bukan sekadar shot biasa. Itu simbolik. Simbol keluarga. Simbol akar.” Tambah menarik, muzik video ini juga menampilkan keluarga sebenar loQue, termasuk ibu bapa, isteri (Dahlia Nadirah Juhari), dan keempat-empat anak mereka: Anggerik Dang Jelita, Seroja Dewi Harapan, Melor Pelangi Merdu, dan Gema Lela Bima Sakti.
Turut membuat penampilan istimewa adalah Emmett Roslan, rakan akrab loQue sejak tiga dekad lalu yang juga vokalis Butterfingers. “Emmett jadi cameo. Tapi dia bukan sekadar cameo… dia wakil semangat brotherhood dan kenangan zaman dulu-dulu.”
Sutradara bersama, Ami, berkata muzik video ini hanya dirakam menggunakan satu kamera sahaja, memberikan rasa lebih intim, dekat dan penuh emosi kepada penonton.
Lagu Kini Boleh Didengar Di Semua Platform
Bagi yang ingin merasai kehangatan dan keindahan sebenar sebuah lagu raya yang bermakna, “Rindu Dendam Hari Raya” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Muzik video rasmi pula telah dimuat naik di saluran YouTube cataloQue, dan dalam masa singkat sahaja telah mencecah lebih 30,000 tontonan.
Tentang monoloQue
Ditubuhkan pada 2009, monoloQue bermula sebagai projek muzik solo oleh Khairil Ridzwan Anuar atau loQue, yang terkenal sebagai pemain gitar Butterfingers. Bermula dengan ahli asal seperti Kadax, Loko, dan Adam (Senyap), kumpulan ini melalui beberapa fasa evolusi. Kini, mereka kembali dalam pasca pandemik dengan konsep “Bunyi Baru”, tetapi masih memegang roh lama yang menjadi tunjang kekuatan mereka.
Muzik mereka sukar dijelaskan dalam satu genre – tetapi kalau nak ringkaskan, monoloQue ialah eksperimen muzik berjiwa puitis.
Apa Kata Budiey?
Budiey berpendapat lagu ini sangat relevan dan menyentuh jiwa, apatah lagi di zaman kita semakin hilang makna dalam sambutan hari raya. Lagu ini bukan sekadar hiburan – ia adalah penegasan kepada nilai kekeluargaan, penghargaan kepada tradisi, dan satu seruan untuk kembali kepada akar budaya yang selama ini menjadi nadi Aidilfitri. Dalam banjirnya lagu-lagu pop raya yang viral dan ‘ringan’, monoloQue tampil sebagai penawar nostalgia – membawa kita kembali ke malam raya yang penuh makna dan kenangan.
Bagi Budiey, “Rindu Dendam Hari Raya” adalah lagu wajib dengar musim ini. Bukan untuk berjoget. Tapi untuk kita duduk, pejam mata, dan rasa…