Astro Shaw kini melangkah setapak ke hadapan dalam mengangkat warisan seni kreatif tempatan dengan mempersembahkan satu kolaborasi yang cukup istimewa bersama jenama piuter tersohor dunia, Royal Selangor.
Kerjasama ini menzahirkan sebuah koleksi eksklusif dan mewah yang diinspirasikan daripada superhero tempatan yang paling ikonik, iaitu Keluang Man. Ya, wira misteri dari Tampoi ini kini bukan sahaja mewarnai layar perak, tetapi juga diabadikan dalam bentuk figurine dan pin piuter edisi terhad yang bernilai tinggi dan penuh sentimental.
Seni Kraf Piuter Bertaraf Dunia Dalam Sentuhan Keluang Man
Apa yang menjadikan koleksi ini benar-benar istimewa bukan sahaja kerana ia membawa nama Keluang Man, tetapi juga kerana ia dihasilkan oleh tangan-tangan mahir tukang piuter Royal Selangor, yang terkenal dengan mutu kraf mereka yang tiada tandingan.
Figurin Keluang Man, yang tampil dalam pose ‘bersilat’ ikonik, dilengkapi dengan kemasan satin halus, memperlihatkan kesungguhan Royal Selangor dalam mengekalkan kualiti dan keaslian.
Menariknya, hanya 30 unit figurin miniatur ini akan dihasilkan. Setiap satu dilengkapi dengan nombor siri tersendiri, menjadikan ia sangat eksklusif dan sesuai untuk pengumpul tegar. Malah, di bahagian tapaknya tersedia ruang khas untuk ukiran peribadi, menjadikan ia lebih unik dan sentimental.
Pin Lapel Emas 24K: Sebuah Lambang Keberanian
Tidak cukup dengan figurin, koleksi ini turut hadir dengan pin lapel piuter istimewa yang menampilkan lambang ikonik Keluang Man – simbol yang cukup sinonim dengan perjuangan wira rakyat ini dalam membanteras kejahatan di malam hari. Tersedia dalam dua kemasan – satin dan bersalut emas 24K, pin ini hanya dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai barangan koleksi edisi mewah.
Strategi Perluasan Jenama Keluang Man Ke Arah Pasaran Premium
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, selaku Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, usaha ini bukan sekadar satu projek kerjasama biasa, tetapi satu strategi jangka panjang untuk memperluaskan nilai harta intelek (IP)tempatan melalui gabungan dengan jenama premium.
“Kolaborasi ini mencerminkan strategi kami untuk memperluaskan nilai IP filem tempatan dan seterusnya memperkukuhkan jenama Keluang Man melalui kerjasama dengan jenama premium seperti Royal Selangor. Ia bukan sekadar koleksi, tetapi satu usaha memperkukuh ekosistem industri kreatif dan mengangkay lagi warisan seni Malaysia, di samping membuka peluang untuk menjangkau sasaran baharu,” jelas beliau dengan penuh semangat.
Filem Baharu Keluang Man Bakal Gegar Pawagam
Sementara menantikan kehadiran filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf yang bakal menemui peminat di pawagam mulai 29 Mei 2025, para penonton boleh mengimbau kembali nostalgia zaman kanak-kanak dengan menonton semula siri animasi asal.
Ini merupakan langkah bijak untuk memperkenalkan semula legenda ini kepada generasi baharu sambil meraikan peminat lama yang telah sekian lama menanti kemunculan semula wira kesayangan mereka.
Filem ini bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi, menjanjikan satu pengalaman sinematik yang cukup menghiburkan dan penuh aksi.
Tonton, Koleksi Dan Kongsi Kegilaan Anda Terhadap Keluang Man
Koleksi edisi khas ini akan mula dijual secara rasmi di outlet terpilih Royal Selangor bermula Mei ini. Peminat tegar Keluang Man serta pengumpul seni halus tempatan digesa untuk membuat tempahan awal kerana unit yang dikeluarkan sangat terhad.
Untuk kekal mengikuti perkembangan, klip eksklusif dan sebarang pengumuman berkaitan Keluang Man, jangan lupa lawati platform media sosial rasmi Astro Shaw dan Astro Gempak, termasuk TikTok, Instagram, X dan Facebook. Gunakan #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk sama-sama berkongsi keterujaan dan menyebarkan semangat superhero tempatan kita kepada seluruh rakyat Malaysia.
Apa Kata Budiey?
Budiey melihat kolaborasi antara Astro Shaw dan Royal Selangor ini sebagai satu langkah strategik yang cerdas – bukan sahaja dalam memperluaskan pengaruh IP filem tempatan, malah turut meletakkan warisan seni Malaysia di peta dunia. Gabungan antara hiburan popular dengan seni kraf yang bernilai tinggi ini membuka ruang untuk industri filem tempatan bernafas dalam dimensi baharu – lebih matang, lebih eksklusif dan lebih bermaruah.
Dengan penghasilan koleksi ini, Budiey percaya bahawa Keluang Man bukan sekadar watak animasi nostalgia, tetapi kini sedang melalui proses penginstitusian budaya pop Malaysia, menjadikannya sebagai satu ikon nasional yang mampu berdiri megah di pentas global. Untuk penggemar budaya tempatan, inilah masanya untuk kita sokong dan banggakan warisan kita sendiri.