Budiey berpeluang merasai sendiri kehangatan aura K-pop yang dibawakan oleh kumpulan wanita sensasi dari Korea Selatan, Kiss Of Life, dalam konsert sulung mereka di Kuala Lumpur pada malam Ahad, 13 April 2025. Khabarnya lebih kurang 3,000 peminat membanjiri Mega Star Arena malam tu.
Terima kasih tak terhingga buat pihak penganjur yang sudi menjemput Budiey menyaksikan sendiri konsert dalam siri jelajah “Kiss Road” ini di Mega Star Arena KL. Jujurnya, Budiey benar-benar terpukau dan terhibur sepanjang malam!
Pentas Dibuka Dengan Semangat Berkobar-Kobar
Sebaik sahaja lampu dewan mula malap dan video pembukaan dipaparkan, sorakan dari peminat — yang dikenali sebagai Malaysian Kissys — membingitkan segenap ruang. Kumpulan yang dianggotai oleh Julie, Natty, Belle dan Haneulmembuka tirai dengan lagu penuh bertenaga “Get Loud” yang memang cukup sesuai untuk menaikkan adrenalin semua penonton.
Lagu seterusnya “Igloo” dibawakan dengan gaya penuh santai sambil keempat-empat ahli kumpulan mengenakan cermin mata hitam — aksi yang cukup ‘cool’ dan menggoda! Persembahan terus memuncak dengan lagu “Bad News” yang menjadi penutup kepada pembukaan penuh impak.
Sapaan Mesra Peminat Malaysia Buat Hati Tersentuh
Selepas tiga lagu bertenaga, mereka mengambil sedikit masa untuk memperkenalkan diri dan menyapa peminat. Belle mencuri perhatian apabila berkata, “Apa khabar, Malaysia? Gembira jumpa korang!” — satu momen yang buat Budiey tersenyum lebar. Terasa mereka benar-benar menghargai kehadiran peminat tempatan.
Natty pula berkongsi rasa teruja dapat menjejakkan kaki buat pertama kali di Kuala Lumpur dan mengakui mereka telah lama menantikan detik istimewa ini. Saat itu, Budiey dapat rasa betapa ikhlas dan dekatnya mereka dengan peminat.
Persembahan Solo Tampilkan Keunikan Setiap Ahli
Konsert diteruskan dengan lagu “Winehouse” dan “Chemistry” yang dibawakan secara langsung buat pertama kali, dan Budiey boleh kata mutu bunyinya sangat mengkagumkan — setiap nota dan vokal kedengaran jelas dan berkualiti tinggi.
Segmen solo masing-masing memang menjadi highlight malam itu. Belle membuka tirai dengan “Countdown”, diikuti Julie yang tampil dengan aksi penuh ‘girl crush’ menerusi “Kitty Cat”. Paling menarik, Haneul berjalan turun ke bawah pentas semasa menyampaikan “Play Love Games”, berinteraksi rapat dengan peminat sambil menyebar cinta dan pesona. Akhir sekali, Natty tampil dengan lagu penuh emosi dan kehebatan vokal menerusi “Sugarcoat”, menutup sesi solo dengan gaya.
Dekati Peminat, Kuasai Pentas Dengan Energi Positif
Apa yang Budiey suka, mereka bukan sahaja bertenaga di atas pentas, malah turut turun ke kawasan penonton sewaktu menyampaikan lagu “No One But Us” dan “My 808”. Budiey sendiri yang duduk di bahagian tepi pun boleh rasa betapa dekatnya mereka dengan peminat. Memang satu pengalaman yang rare dan penuh emosi.
Told you you’ll never know where we’ll end up,”
– KISS OF LIFE
Saat Paling Dinanti-Nantikan: “Sticky”!
Sebaik sahaja rentak pembukaan lagu “Sticky” dimainkan, seluruh arena terus meletup dengan sorakan dan jeritan peminat. Lagu ini memang antara lagu yang paling dinantikan, dan Budiey sendiri menyanyi bersama sambil melambai cahaya dari telefon. Getaran emosi dan tenaga ketika itu memang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Konsert kemudian menjadi lebih syahdu dengan lagu “Nothing”, diserikan dengan suasana penuh magis apabila peminat membuka lampu flash telefon masing-masing, mencipta lautan cahaya yang mengharukan.
Penutup Penuh Makna Dan Momen Mengejutkan
Sebelum mengakhiri persembahan, Kiss Of Life kembali ke pentas untuk memberikan persembahan gempak menerusi “Midas Touch” dan “Shhh”. Namun, kejutan paling menyentuh hati tiba ketika satu video khas dari peminat Malaysia ditayangkan — sebuah kompilasi mesej cinta dan harapan agar mereka kembali ke Malaysia satu hari nanti. Ahli kumpulan dilihat jelas terharu dan hampir mengalirkan air mata.
Sebagai penutup sempurna, mereka menyampaikan “Bye My Neverland” dan “Back To Me” sebagai encore — momen terakhir yang cukup manis untuk dikenang.
Apa Kata Budiey?
Secara keseluruhan, Kiss Of Life berjaya menghadirkan satu malam penuh magis, emosi dan tenaga yang sukar dilupakan. Konsert ini bukan sahaja menyajikan muzik yang mantap, malah membuktikan mereka mampu menguasai pentas dengan aura tersendiri. Budiey sangat menghargai jemputan daripada penganjur dan berterima kasih kerana memberikan peluang untuk menikmati persembahan live yang berkualiti tinggi.
Cadangan Budiey, mungkin lepas ni penganjur boleh sediakan ruang peminat untuk sesi ‘hi-touch’ atau fan meet lepas konsert. Rasa macam sayang kalau malam seindah ini tamat tanpa momen eksklusif bersama peminat. Tapi walau tanpa itu pun, malam ini tetap penuh kenangan manis yang akan terpahat dalam hati peminat Malaysia.
Terima Kasih Buat Penganjur Atas Sokongan Untuk Pembaca
Sebagai tanda penghargaan yang tak ternilai, Budiey ingin merakamkan ucapan terima kasih yang sebesar-besarnya kepada pihak penganjur kerana bukan sahaja menjemput Budiey untuk membuat liputan, malah turut berbesar hati memberikan 10 tiket eksklusif kepada pembaca setia Budiey Channel.
Sokongan sebegini benar-benar menguatkan semangat Budiey untuk terus berkongsi pengalaman istimewa dan menghadirkan lebih banyak peluang menarik buat semua pembaca di masa akan datang. Terima kasih kerana sudi meraikan peminat K-pop di Malaysia dengan cara yang cukup bermakna!