in

Malam Inspitari 2011

MALAM INSPITARI 2011: MELAHIRKAN KARYA KREATIF BARU DALAM DUNIA TARI TANAHAIR

Malam Inspitari kembali lagi dan penganjuran kali ini dicetuskan atas sambutan cukup hebat tahun lalu. Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara. Program kesinambungan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) menyaksikan kolaborasi bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur.

Inspitari yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti negeri serta masyarakat Malaysia yang diperagakan oleh Kumpulan Kesenian JKKN.

Inspitari

Memasuki fasa tahun kedua, Inspitari 2011 membawa objektif memperbanyakkan koleksi tarian baru yang unik, segar dan beridentitikan Malaysia. Sekali gus, meningkatkan daya kreativiti pereka tari dan artis tari setiap Kumpulan Kesenian JKKN. Selain itu, program ini memberi refleksi baru dalam memangkin dan melahirkan kumpulan yang mantap, berketrampilan dan profesional.

Jika digerakkan secara serius bukan saja mampu mempopularkan kembali tarian tradisional. Malah program ini boleh dimanfaatkan sebagai salah satu medium untuk memperkenalkan khazanah tempatan di peringkat antarabangsa.

Melalui inisiatif jitu yang dilaksanakan sebelum ini, penyertaan peserta setiap negeri juga semakin membanggakan dengan pertaruhan karya yang lebih mantap dan kreatif.

Sekalipun bertunjang komersial, keaslian dan disiplin dalam tarian tradisional masih dikekalkan. Improvisasi yang diketengahkan menjana persembahan yang lebih menarik, relevan dan seiring dengan tuntutan peredaran zaman.

Inspitari 2011 yang bakal berlansung tidak lama lagi bakal menghidangkan tarian-tarian olahan baru dari setiap negeri. Berdasarkan kejayaan Inspitari 2010 mencungkil tarian-tarian baru samada tarian lama yang diolah semula atau tarian baru berlandaskan cara hidup masyarakat setempat.

“Ia dijangka meneruskan kejayaan pada tahun ini. Ia dilihat sebagai aktiviti penting yang menyediakan landasan untuk yang lama diberi nafas baru dan kreasi baru berasaskan budaya masyarakat. Aktiviti ini bukan sahaja memperkayakan kamus tari tanahair, malah yang paling penting, mengelakkan kepupusan tarian-tarian lama.

Buat masa ini, Inspitari yang baru masuk tahun kedua, hanya melibatkan kumpulan kesenian dan para koreografer di bawah JKKN sendiri. (Semua negeri mempunyai cawangan JKKN). Inspitari, medan pertemuan yang lama dan yang baru. Memulihara warisan bangsa, memberi makna kepada generasi sedia ada dan seterusnya,” kata Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Inspitari

Kesemua 14 kumpulan mewakili seluruh negeri kini bakal melalui pengisian program seperti bengkel dan latihan kumpulan yang berlangsung pada 26 hingga 30 Oktober ini.

Seramai 233 orang Artis Budaya Kumpulan Kesenian JKKN termasuk 15 jurulatih dari seluruh negeri dan Kumpulan Kesenian Cemerlang akan berhimpun bagi mempersembahkan tari ciptaan baru mereka.

Semua itu, dapat disaksikan nanti Malam Gala Inspitari 2011 pada 29 Oktober ini bermula jam 8.30 malam di Matic dan ia mengalu-alukan kehadiran orang ramai. Masuk adalah secara percuma. Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Majlis YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Datin Seri Utama Masnah Rais.

Istimewa pada malam tersebut juga sebuah karya tari baru untuk rakyat dan orang ramai sesuai sebagai keperluan kepada kesihatan diperkenalkan ‘Joget Ria’ yang akan dipersembahkan pada akhir acara.

JKKN sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanahair dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama.

JKKN amat menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksperimen di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan mereka agar sejajar dengan arus pemodenan dunia tanpa sempadan kini.

Inspitari

Inspitari

Inspitari

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV3 Kids Parade & Cake Day 2011

Battle Of The Sexes Maxis