Thousands Of Years Media (ToYm) kembali menghangatkan industri seni dan kreatif tempatan dengan menganjurkan tiga pertandingan hebat yang menjanjikan hadiah keseluruhan bernilai RM495,000.
Tiga pertandingan utama ini meliputi Pertandingan Penulisan Skrip ToYm Microseries, Pertandingan Bintang Idola ToYm Shining Star, dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm. Platform ini membuka peluang emas kepada penggiat seni, penulis skrip, pelakon, dan bakat baru untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam dunia hiburan.
Pertandingan Penulisan Skrip ToYm Microseries: Peluang Emas Untuk Penulis Skrip
Bagi mereka yang berbakat dalam bidang penulisan skrip, Pertandingan Penulisan Skrip ToYm Microseries memberi peluang keemasan untuk menyerlahkan kreativiti. Penganjur sedang mencari skrip asli sepanjang 30 episod dengan tempoh tayangan dua minit setiap episod. Tema adalah bebas, memberikan ruang kepada penulis untuk berkarya tanpa batasan.
Hadiah lumayan menanti pemenang di mana juara akan membawa pulang wang tunai RM30,000, manakala tempat kedua akan menerima RM20,000 dan tiga pemenang sagu hati masing-masing menerima RM5,000. Penyertaan kini dibuka sehingga 4 Mei 2025, diikuti dengan pengumuman finalis pada 23 Mei 2025. Majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 15 Jun 2025. Ini adalah peluang terbaik untuk penulis skrip menonjolkan karya kreatif mereka dan berpeluang melihat skrip diterbitkan oleh ToYm.
Pertandingan Bintang Idola ToYm Shining Star: Serlahkan Bakat Anda Di Pentas Impian
Bagi mereka yang ingin menggapai impian sebagai penghibur profesional, Pertandingan Bintang Idola ToYm Shining Star menawarkan platform terbaik untuk menonjolkan bakat dalam bidang persembahan, nyanyian, lakonan, dan pelbagai cabang seni lain. Pertandingan ini terbuka kepada peserta berumur 18 hingga 30 tahun yang berani mencuba nasib di pentas berprestij ini.
Dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM220,000, pertandingan ini menawarkan wang tunai, kontrak bakat, dan trofi edisi terhad kepada pemenang. Penyertaan boleh dilakukan secara dalam talian sehingga 8 April 2025, manakala sesi uji bakat akan berlangsung pada 12 dan 13 April 2025. Peserta yang berjaya melepasi peringkat uji bakat akan mengikuti sesi latihan intensif secara berkumpulan (lelaki dan wanita) dari 19 hingga 24 April 2025, sebelum membuat penampilan sulung pada Mei 2025. Ini adalah peluang berharga untuk mereka yang ingin melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan profesional.
Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm: Ruang Kreativiti Dengan Hadiah Lumayan
Bagi penggiat seni visual yang ingin mengembangkan karya mereka dalam dunia drama mikro, Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm menawarkan peluang emas dengan hadiah wang tunai bernilai RM100,000 untuk juara, RM50,000 untuk naib juara, serta lima hadiah sagu hati bernilai RM10,000 setiap satu untuk drama terbaik.
Pertandingan ini mencari tujuh drama mikro berdurasi antara satu hingga dua minit setiap episod dengan pelbagai tema yang menarik. Penyertaan dibuka bermula 28 Mac hingga 15 Mei 2025, dengan pengumuman tujuh drama terbaik pada 30 Mei 2025. Pemenang akan diumumkan dalam majlis anugerah yang akan diadakan pada 15 Jun 2025. Platform ini membolehkan pencipta drama menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam menghasilkan karya pendek yang impactful dan bermakna.
ToYm Komited Membangunkan Industri Kreatif Tempatan
Dengan tiga acara utama ini, Thousands Of Years Media bukan sahaja mencetus fenomena baharu dalam industri hiburan tetapi juga memberi ruang kepada penggiat seni tempatan untuk mengejar impian artistik mereka.
ToYm berusaha memacu pertumbuhan industri budaya dan kreatif di Malaysia dengan menyediakan platform inovatif bagi menghimpunkan bakat-bakat luar biasa serta mencipta karya kreatif yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Kami percaya bahawa kreativiti tiada batasan. Melalui pertandingan ini, kami mahu memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk melangkah lebih jauh dan mempersembahkan hasil kerja mereka kepada dunia,” kata jurucakap ToYm.
Jana Perhatian Meluas & Inspirasi Tanpa Batasan
Sepanjang tempoh pertandingan ini, ToYm berjaya menarik perhatian meluas dari pelbagai pihak. Dengan jangkaan tinggi serta inspirasi yang tidak terhingga, ToYm kini menjadi mercu tanda baharu dalam dunia hiburan tempatan. Setiap tahun, platform ini menghimpunkan karya kreatif dan bakat baru yang muncul, sekaligus memperkasakan industri seni dengan idea-idea segar dan inovatif.
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan penghantaran dan maklumat lain, layari laman web rasmi ToYm di www.thousandsofyearsmedia.com atau ikuti mereka di Facebook di www.facebook.com/ThousandsOfYearsMedia dan Instagram di www.instagram.com/thousandsofyearsmedia. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke emel [email protected].
Apa Kata Budiey?
ToYm benar-benar membawa nafas baharu dalam dunia hiburan tempatan dengan memberikan peluang kepada bakat baru dan penggiat seni yang berani mencabar diri. Bukan sahaja menyediakan hadiah lumayan, tetapi ToYm juga memupuk kreativiti dan menggalakkan ekspresi seni tanpa batasan. Inisiatif ini mampu menjadi pemangkin kepada generasi baharu penghibur dan pencipta kandungan yang lebih berdaya saing di peringkat global. Jika anda berbakat dan mempunyai impian besar dalam dunia seni, ini adalah masa terbaik untuk merebut peluang keemasan ini. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada revolusi kreatif ini!