Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan sebuah drama raya yang bukan sahaja menyentuh hati, malah membawa penonton menyelami isu kesihatan mental dan perjalanan emosi yang mendalam. Suria FM tampil dengan drama raya terbaharu bertajuk “Hayati”, sebuah karya istimewa hasil kolaborasi bersama Yaya Empire Perfume, yang mengangkat tema unik bertemakan ‘Psikologi Emosional Raya’.
Cerita Sarat Emosi, Cabaran Diri Dan Perjalanan Menemui Pengampunan
Berbeza daripada kebanyakan drama raya yang lebih tertumpu kepada kegembiraan dan suasana meriah, “Hayati” tampil dengan pendekatan yang lebih mendalam dan berani. Drama berdurasi 40 minit ini membawa penonton menelusuri kisah kehidupan beberapa individu yang terkesan akibat kemalangan tragis pada malam raya. Kejadian malang ini mengubah keseluruhan hidup mereka, memaksa mereka untuk memulakan perjalanan penyembuhan yang sukar, penuh dengan konflik dalaman serta pergelutan emosi yang sukar digambarkan.
Menariknya, batas antara realiti dan imaginasi dalam drama ini menjadi kabur, mencetuskan pergelutan batin yang menyentuh jiwa. Setiap watak dipaksa berdepan dengan rasa bersalah, bergelut untuk memaafkan diri sendiri dan akhirnya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup dengan penuh harapan dan keikhlasan. Tema ini bukan sahaja relevan, malah amat dekat dengan realiti masyarakat hari ini yang semakin menyedari pentingnya kesihatan mental, terutama dalam suasana perayaan yang sering dipenuhi pelbagai tekanan dan ekspektasi sosial.
Barisan Pelakon Hebat, Kolaborasi Eksklusif Bersama Yaya Empire Perfume
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), drama ini merupakan hasil karya yang dirancang teliti sejak September 2024 dan akhirnya mendapat persetujuan rasmi daripada pihak Yaya Empire Perfume pada November 2024. Selain menampilkan penyampai-penyampai Suria FM, “Hayati” dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail. Lebih istimewa, penyanyi terkenal seperti Ara Johari dan Adam ZBP turut memeriahkan drama ini, termasuk penampilan khas pempengaruh media sosial, Mia Azahar serta pengasas Yaya Empire Perfume sendiri, Puan Nadia Mat Isa.
Drama ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform digital Suria FM, termasuk Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV bermula 20 Mac 2025 (Khamis) jam 12 tengahari. Penonton boleh menikmati drama ini di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan hanya hujung jari.
Penggambaran Penuh Cabaran Dan Dedikasi Tinggi Dari Seluruh Produksi
Dari sudut produksi pula, “Hayati” boleh dikatakan sebagai projek paling besar Suria FM setakat ini. Proses penggambaran mengambil masa selama tujuh hari, dijalankan sepenuhnya di sekitar Lembah Klang. Menariknya, kebanyakan babak dirakam pada waktu malam hingga ke awal pagi, memberi kesan dramatik kepada penceritaan. Salah satu cabaran terbesar adalah penggambaran babak melibatkan sebuah bas, yang mengambil masa tiga hari untuk disiapkan. Tambahan pula, keadaan cuaca yang tidak menentu turut menguji kesabaran dan ketahanan produksi.
Namun begitu, segala cabaran ini berjaya diharungi dengan komitmen padu daripada lebih 100 individu termasuk pelakon dan kru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Hasilnya, “Hayati” hadir sebagai sebuah karya yang berkualiti tinggi, bukan sahaja dari segi sinematografi tetapi juga pergerakan pelakon yang dirancang rapi, agar dapat menyampaikan mesej dengan impak yang mendalam.
Nilai Seni, Kasih Sayang Dan Harapan Dalam Setiap Detik Penceritaan
Pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa, turut meluahkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan Suria FM. Menurutnya, nilai seni dan budaya yang diterapkan dalam drama ini sangat bertepatan dengan misi syarikatnya untuk menyampaikan hiburan berkualiti penuh nilai murni. Tambah beliau lagi, tema “Sebuah Perjalanan Jiwa” yang diketengahkan memberikan peluang untuk menyumbang kepada hiburan bermakna, penuh mesej kekeluargaan, kasih sayang, dan nilai kemanusiaan, lebih-lebih lagi dalam suasana Aidilfitri yang menyatukan hati.
Drama ini diharap mampu merapatkan jurang generasi, menyentuh perasaan semua golongan penonton dan terus dikenang sepanjang masa, bukan sekadar hiburan bermusim. Elemen penceritaan yang segar ini juga bertujuan membangkitkan kesedaran tentang kesihatan mental, bahawa ianya adalah suatu aspek kehidupan yang tidak boleh dipandang ringan.
Lagu ‘Pentas Sandiwara’ Oleh Fugo Jadi Lagu Tema Rasmi
Bagi menambahkan lagi emosi dan penghayatan dalam drama “Hayati”, lagu bertajuk ‘Pentas Sandiwara’ nyanyian Fugo diangkat sebagai lagu rasmi. Lagu ini menggambarkan perjalanan hidup dengan lirik yang sarat makna, sesuai dengan mesej utama drama ini tentang perjuangan jiwa, pengampunan dan harapan. Lagu ini juga telah mula diputarkan di Suria FM dan mendapat sambutan positif khususnya daripada pendengar muda.
Suria FM turut menerbitkan muzik video khas lagu ini, berlatarbelakangkan babak-babak dramatik dalam “Hayati”, memberikan pengalaman menonton yang lebih menyentuh perasaan dan bermakna.
Apa Kata Budiey?
Pada pandangan Budiey, usaha Suria FM dan Yaya Empire Perfume menerbitkan drama “Hayati” ini patut dipuji kerana berani mengangkat isu kesihatan mental dalam konteks Hari Raya, suatu yang jarang-jarang dilakukan dalam industri hiburan kita. Cerita yang menyentuh perasaan, lakonan mantap, dan nilai penceritaan yang mendalam pasti mampu membuka mata masyarakat tentang pentingnya pengurusan emosi dan kesihatan mental, terutama ketika melalui saat-saat sukar dalam hidup. Budiey berharap lebih banyak lagi karya sebegini dapat diterbitkan di masa akan datang yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi menjadi cermin kepada realiti kehidupan.
Jangan lupa saksikan “Hayati” pada 20 Mac 2025 di Facebook dan YouTube Suria TV. Untuk info lanjut, layari suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia di Instagram, TikTok, Facebook, YouTube dan X.