in , ,

Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Bulan Bintang Rayakan Ulang Tahun Ke-10 Dengan Idea Luar Kotak, Budiey Kagum Saksikan Sambutan Luar Biasa. Syabas Bulan Bintang!

Bukit Bintang sekali lagi menjadi pusat perhatian, namun kali ini bukan kerana pesta jualan atau pertunjukan jalanan, tetapi dek kemunculan replika Baju Melayu gergasi setinggi 12 kaki yang menghiasi hadapan pusat beli-belah mewah, The Starhill. Replika luar biasa ini merupakan sebahagian daripada kempen ulang tahun ke-10 jenama fesyen tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia – Bulan Bintang.

Sebagai pengamal media dan pencinta fesyen tempatan, Budiey berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan acara ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ ini secara langsung. Satu kata yang terlintas dalam fikiran Budiey saat pertama kali melihat replika ini: WOW! Ia bukan sahaja besar dan memukau, malah membawa simbolik yang mendalam – satu penghormatan kepada busana tradisional Melayu yang kini diangkat setanding fesyen moden antarabangsa.

Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Replika Gergasi Jadi Tarikan Pelancong, Budaya Melayu Jadi Sorotan

Bukan calang-calang replika ya – selain saiznya yang mencuri tumpuan, ia mencetuskan fenomena budaya apabila menjadi lokasi bergambar pilihan ramai. Dari pelancong asing hingga rakyat tempatan, semua tak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan dengan ikon budaya ini. Budiey sempat rakam sendiri suasana meriah ini – penuh warna, penuh rasa bangga.

Namun begitu, dalam kehangatan sambutan, muncul juga suara-suara sinis di media sosial yang mempertikaikan kewujudan replika tersebut, kononnya menyerupai patung berhala dan tidak sensitif kepada nilai masyarakat.

Tapi, di sebalik kritikan itu, Budiey percaya kreativiti seharusnya diraikan, bukan dihukum. Tambahan pula, inisiatif ini bukan sekadar promosi komersial, tetapi satu manifestasi cinta kepada budaya bangsa.

Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Pengasas Bulan Bintang Angkat Bicara, Jelaskan Matlamat Di Sebalik Replika

Dalam pertemuan eksklusif bersama pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, Budiey dapat merasakan semangat luar biasa beliau dalam menjayakan idea ini. Menurut Azzim, ilham membina replika ini datang secara langsung daripadanya, sebagai strategi promosi kreatif dan berani untuk mengangkat Baju Melayu ke tahap yang lebih membanggakan.

Azzim Zahid Azmi, menegaskan majoriti maklum balas yang diterima adalah positif dan ramai yang menghargai usaha untuk mengangkat budaya Melayu di lokasi tumpuan pelancong.

“Berkenaan replika gergasi, saya dapat dua jenis maklum balas. Ada segelintir yang mengecam, namun majoritinya berbangga dan memberi respons baik. Mereka menghargai usaha untuk mempromosikan budaya tradisi Melayu dan Malaysia,”

– Azzim Zahid Azmi
Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

“Kita sering lihat jenama antarabangsa cipta replika beg tangan dan kasut. Jadi kenapa kita tak boleh buat replika Baju Melayu yang melambangkan budaya kita? Ini bukan soal membesarkan jenama, tapi mengangkat identiti negara,” ujar Azzim penuh yakin.

Beliau juga menekankan bahawa fokus utama bukan pada jenama, tetapi kepada kesedaran tentang Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan.

“Saya sengaja tidak tonjolkan jenama secara berlebihan di replika itu. Saya mahu masyarakat nampak keindahan dan makna Baju Melayu itu sendiri,”

– Azzim Zahid Azmi
Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Setakat ini, kempen yang sudah berjalan selama tiga hari mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada pelancong yang tertarik untuk bergambar dengan replika tersebut.

“Saya sendiri nampak orang bergambar dengan replika ini. Dari jauh saya rakam aksi mereka, dan saya berbangga apabila ramai yang menghargai budaya kita,”

– Azzim Zahid Azmi

Kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ turut menampilkan koleksi istimewa Baju Melayu Bulan Bintang serta koleksi pakaian wanita di bawah label Bulan Bintang Sisters.

Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Duta Popular Meriahkan Acara, Koleksi Eksklusif Tarik Perhatian

Acara ini juga dimeriahkan dengan kehadiran duta-duta Bulan Bintang seperti Shukri Yahaya, Nadhir Nassar, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle. Suasana memang gamat, penuh kemeriahan. Budiey dapat lihat peminat berebut peluang bergambar dan beramah mesra.

Lebih menarik, acara ini turut menampilkan koleksi eksklusif Baju Melayu sempena ulang tahun ke-10, selain koleksi istimewa untuk wanita di bawah label Bulan Bintang Sisters. Budiey sempat meninjau koleksi tersebut dan ternyata ia membawa rekaan moden, elegan dan berkualiti tinggi, sesuai untuk mereka yang mahu tampil bergaya namun tetap mengekalkan nilai tradisi.

Bulan bintang budiey

Apa Kata Budiey? Inspirasi Untuk Jenama Tempatan Lain

Secara peribadi, Budiey amat terinspirasi dengan keberanian dan kreativiti Bulan Bintang. Dalam dunia fesyen yang penuh cabaran, jenama ini tampil berani, menyinar dengan identiti tersendiri, dan berjaya membuktikan bahawa budaya Melayu itu punya tempat di tengah kota metropolitan.

Replika Baju Melayu gergasi ini bukan sekadar simbol kejayaan komersial, tetapi juga simbol harapan – bahawa jenama tempatan mampu bersaing, mampu mencipta fenomena, dan mampu membawa warisan budaya ke mata dunia.

Budiey berharap, akan lebih banyak jenama tempatan tampil dengan idea unik dan berani, kerana siapa tahu, suatu hari nanti replika budaya Malaysia akan terpamer di kota-kota dunia, menjadi bukti bahawa kita bangga dengan asal-usul dan berani mengetengahkan warisan sendiri.

Tahniah Bulan Bintang! Teruskan Menyinar, Bukan Sahaja Di Malaysia Tetapi Di Persada Dunia.

Replika Baju Melayu Gergasi di Starhill Cetus Fenomena Angkat Martabat Budaya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Xiaomi Lancar Lima Produk AIoT Pintar Yang Padu Untuk Pasaran di Malaysia